Isnin, 14 Februari 2011

Majalah Sambutan 100 Tahun SK Temoh




Bab 1

SEJARAH PENDIDIKAN SEKOLAH MELAYU DI PERAK

Pendahuluan

Kawasan terawal berkerajaan di negeri Perak ialah Manjung dan Beruas. Kedua-dua kawasan tersebut telahpun terkenal sebagai negeri yang ditadbir oleh Orang-Orang Besar yang kemudian bernaung di bawah kesultanan Melaka. Setelah Melaka jatuh di tangan Portugis, Orang Besar Perak telah menjemput anakanda Sultan Mahmud, sultan terakhir Melaka, untuk menjadi Sultan Mudzafar Syah I di negeri Perak. Semenjak dari itu, iaitu pada 1528, negeri Perak menjadi sebuah kerajaan yang bersultan dan berdaulat. Ramai sultan telah memerintah dan banyak peristiwa telah berlaku sehingga pada 1874 apabila Perak mula ditadbir oleh Residen British. Sistem pendidikan sekolah Melayu bermula setelah British memerintah Perak (dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Tanah Melayu).

Pendidikan Awal di Sekolah Melayu

Pendidikan bagi kanak-kanak Melayu bukan dirancang oleh British dari awal. Ia merupakan satu perkembangan yang berlaku secara tidak sengaja. Namun sedikit demi sedikit ia menjadi sebuah sistem yang akhirnya menjadi dasar British hasil dari penglibatan pentadbir-pentadbir individu British yang mula ketara pada 1880-an. Sekolah Melayu pertama di Perak adalah di Sayong dan Larut. Namun perkembangan kedua-dua buah sekolah tersebut tidak membanggakan kerana sambutan dari orang-orang Melayu sangat mengecewakan. Di antara sebab orang-orang Melayu tidak gemar menghantarkan anak-anak lelaki mereka, apatah lagi anak-anak perempuan, ke sekolah tajaan British itu adalah kerana mereka tidak yakin akan jenis pendidikan yang akan anak-anak mereka pelajari; keduanya mereka memerlukan anak-anak mereka untuk membantu buat kerja-kerja di kebun ataupun sawah. Lagipula kebanyakan anak-anak itu telah diberikan pendidikan agama, iaitu sekurang-kurangnya kelas-kelas Quran dan Fardhu ‘Ain.

Sebelum kedatangan British kebanyakan orang Melayu telah mendapat didikan agama, walaupun dalam kadar yang minima. Sebahagian mereka pula telah pandai menulis dan membaca Jawi. Bagi kebanyakan ibu-bapa pendidikan tersebut sudah mencukupi, kerana yang lebih penting pada ketika itu ialah pendidikan untuk kehidupan, cara-cara mencari nafkah dan mendidik keluarga mengikut nilai-nilai, tata susila dan kebudayaan Melayu tradisional. Di kalangan anak-anak pembesar dan saudagar-saudagar yang tinggal berdekatan dengan pusat pemerintahan dan pelabuhan-pelabuhan, orang-orang Melayu telah terdedah kepada pendidikan Islam yang lebih mendalam dan tinggi mutunya. Mereka telah mengkaji ilmu tasauf, tauhid, Quran dan hadith. ‘Alim ‘ulama dari dalam negeri, Timur Tengah, India, Indonesia dan lain-lain, bertanggungjawab menyibarkan agama Islam ke seluruh negeri. Mereka amat dihormati dan disegani sehingga setengah dari mereka terkenal dalam kalangan masyarakat sebagai keramat. Kubur-kubur mereka sentiasa dikunjungi oleh mereka yang mempercayai kubur-kubur itu ada hikmahnya. Malah, beberapa pusat pengajian pondok telah ditubuhkan di beberapa tempat di negeri Perak ini.

Pendidikan Formal di Sekolah Melayu

Perkembangan sekolah Melayu secara formal di Perak bermula dengan arahan Sir Frederick Weld yang menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat pada 1880. Dia amat terkejut apabila mengetahui bahawa bajet untuk pendidikan di Negeri-negeri Melayu yang Dilindungi British amat kecil, berbeza dengan apa yang berlaku di Negeri-negeri Selat. Pada 1882 ia mengarahkan semua Residen di Negeri-negeri Melayu yang Dilindungi supaya memberikan kepentingan kepada penubuhan sekolah-sekolah venakular Melayu. Respons dari Residen-Residen berbeza. Di Perak ia disambut oleh Hugh Low Residen ketiga Perak (1877 – 1889) yang berjaya menambahkan bilangan sekolah Melayu dari dua buah pada 1881 kepada enam buah pada 1884. Namun jumlah kehadiran murid-murid masih mengecewakan. Banyak alasan diberikan oleh ibu-bapa, seperti sekolah terlalu jauh dari rumah mereka, jalan menuju ke sekolah merbahaya kerana melalui hutan dan terdapat binatang-binatang buas, dan sebagainya. Sebelum itu Residen negeri telah mengeluarkan notis kepada ibu-bapa dan menggesa mereka menghantarkan anak lelaki mereka yang berumur 6 tahun atau lebih ke sekolah. Notis ini cuba meyakinkan mereka bahawa guru-gurunya adalah orang-orang Melayu dan anak-anak akan juga diajar Quran di tempat yang sama, tetapi di sebelah petang. Pelajaran Melayu diajar dari jam 7.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi, pelajaran Quran pula selepas zuhur sehingga jam 4.00 petang.

Perkembangan sekolah-sekolah Melayu di Perak menjadi lebih ketara apabila Frank Swettenham menjadi Residen menggantikan Low pada 1889. Dengan sokongan Gabenor Negeri-Negeri Selat, seorang guru terlatih yang telah mengajar beberapa tahun di Melaka, H.B.Collinge dilantik sebagai Inspektor Sekolah-Sekolah di Perak pada 1890. Ini diikuti dengan penubuhan Jabatan Pelajaran yang pertama, mendahului negeri-negeri lain, pada 1891. Di bawah penyeliaannya sekolah-sekolah dapat diselaraskan perkembangannya dari satu daerah ke daerah yang lainnya, dari segi kurikulum, peratoran-peratoran dan mutu pendidikannya. Perbelanjaan untuk sekolah-sekolah juga dapat ditentukan dan dikawal dengan lebih bijak.

Di Negeri-Negeri Melayu yang lain, Residen-Residen lain, seperti di Selangor dan Negeri Sembilan, cuba mewajibkan kehadiran ke sekolah, dan ibu-bapa dikenakan denda 10 sen setiap hari pada minggu pertama dan 20 sen setiap hari pada minggu kedua jika anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah. Di Perak Swettenham lebih berdiplomasi. Dia tidak mahu mewajibkan kehadiran anak-anak ke sekolah seperti di Selangor dan Negeri Sembilan. Perak mewajibkan kehadiran anak-anak lelaki ke sekolah-sekolah Melayu hanya pada 1916. Pada zaman Swettenham, hasil yang baik dan berkesan yang dilakukan oleh Inspektor Sekolah dan guru-guru Quran yang biasa mengajar dijemput untuk terus mengajar di sebelah petangnya, menjadi daya tarikan kepada ibu-bapa untuk menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah. Kehadiran mereka jelas bertambah baik.

Tidak seperti Low yang lebih berhati-hati dalam perbelajaannya untuk pendidikan, Swettenham mengeluarkan perbelanjaan ke arah yang sama dengan lebih agresif. Dalam tiga tahun yang pertama dia telah menambahkan perbelanjaan untuk pelajaran sekolah Melayu dari $1,256 setahun kepada $10,034. Penubuhan sekolah-sekolah bertambah dari 11 buah pada 1889 kepada 51 buah pada 1891, bilangan murid-murid pula bertambah dari 500 orang kepada 2,780 orang. Ini bermakna hampir 2/3 bilangan sekolah dan murid di seluruh Negeri-Negeri Melayu yang Dilindungi berada di negeri Perak. Di negeri Perak juga 2 buah sekolah untuk kanak-kanak perempuan ditubuhkan pada 1890 dan dua buah lagi pada 1891. Tiga tahun kemudian (1894) 33 buah sekolah lagi didirikan, menjadikan jumlah keseluruhannya 84 buah dan 5 buah lagi untuk kanak-kanak perempuan. Namun Swettenham masih juga berhati-hati untuk menambahkan perbelanjaan untuk sekolah-sekolah sehingga katanya, jalan keretapi dapat disiapkan. Jelaslah bahawa pembangunan infra struktur diambil kira juga sebagai pemangkin kepada penubuhan sekolah-sekolah Melayu.

Mata pelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah dalam tahun 1880-an hanya menulis dan membaca tulisan Melayu (Jawi) dan Quran. Bergantung kepada pegawai-pegawai British yang dipertanggung-jawabkan mengenai sekolah-sekolah Melayu, seperti Pegawai Daerah ataupun Majistret, perkembangan sekolah-sekolah Melayu di Negeri-Negeri yang Dilindungi berbeza-beza. Di Perak hanya selepas perlantikan Inspektor Sekolah-Sekolah barulah mata pelajarannya dipantau dan diselaraskan. Pada 1891 buat pertama kalinya Bahasa Melayu dirumikan oleh Collinge dan diajar bersama-sama tulisan Jawi bagi murud-murid Darjah 3. Sebagai tambahan, sedikit ilmu kira-kira, geografi, pendidikan akhlak dan kebersihan juga diajarkan. Di tahap ini sebenarnya Swettenham juga tidak berminat untuk meningkatkan mutu kurikulum sekolah-sekolah Melayu di Perak, kerana kepadanya memadailah kanak-kanak Melayu menjadi celik huruf, sekadar menjadikan mereka lebih baik dari ibu-bapa mereka. Swettenham juga membantah pelajaran Bahasa Inggeris diajarkan di sekolah-sekolah Melayu kerana dia tidak yakin anak-anak Melayu berupaya menguasai bahasa yang asing kepada mereka.

Kod Pelajaran Persekutuan

Umumnya British masih belum mempunyai satu sistem pelajaran untuk anak-anak Melayu yang jelas pada 1890-an. Perkembangannya masih merupakan tindakan pegawai-pegawai yang berada di situ pada masa itu. Pada 1899 setelah persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) ditubuhkan, barulah dikenalkan satu Kod atau Undang-undang Pelajaran Persekutuan. Inipun lebih memberikan tumpuan kepada perkembangan sekolah-sekolah Inggeris. Sebelum itu dasar pendidikan di antara Perak dan Selangor masih berbeza. Di Perak Swettenham yang jelas tidak menyenangi W.E.Maxwell, Residen Selangor ketika itu, berkeras tidak membenarkan bahasa Inggeris diajarkan di sekolah-sekolah Melayu di negeri itu, tidak seperti di Selangor. Alasannya ialah bahasa Inggeris sangat asing dengan bahasa dan kebudayaan orang-orang Melayu. Baginya orang-orang Melayu tidak akan faham dan dapat menghayati bahasa asing ini, dan ia akan merugikan semua pihak. Walaupun Swettenham ada kebenarannya, namun pada hakikatnya dia memang tidak berminat untuk mempertahankan kebudayaan Melayu mahupun menyemaikan kebudayaan Barat kepada masyarakat Melayu. Dia adalah seorang imperialis yang jelas yang lebih mementingkan sikap taat setia, rajin dan tepat masa untuk tuan-tuan mereka. Tujuan pendidikan bagi orang-orang Melayu yang selalu diwar-warkan untuk melatih mereka sebagai pentadbir rendah kerajaan juga terbukti tidak dapat dicapai. Ini disebabkan semua pentadbiran British dijalankan dalam bahasa Inggeris. Justeru kebanyakan kerani-kerani dalam jabatan kerajaan terdiri dari orang-orang Tamil yang telah mendapat pendidikan dalam Bahasa Inggeris di Ceylon (Seri Langka) ataupun India. Pada umumnya dasar pendidikan British untuk orang-orang Melayu (kecuali anak Orang-Orang Besar) diperlukan untuk terus tinggal di sawah dan ladang dan sentiasa dapat membekalkan buruh yang murah.

Perumian Bahasa Melayu

Satu perubahan besar berlaku pada 1903 apabila R.J.Wilkinson dilantik sebagai Inspektor Sekolah-Sekolah Persekutuan. Dia adalah seorang pendidik dan pentadbir yang mengenalkan tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu bagi semua negeri dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Sebenarnya negeri Perak telah mengenalkannya pada 1891 di bawah Inspektor Sekolah-Sekolah Perak, Collinge. Wilkinson juga telah menerbitkan buku-buku sastera Melayu supaya pengisian pendidikan di sekolah-sekolah Melayu lebih bermakna. Wilkinson jugalah yang mencadangkan supaya sebuah sekolah berasrama penuh didirikan untuk anak-anak Melayu. Maka terbinalah Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 1905 khas untuk mendidik dan melatih anak-anak Melayu sebagai pentadbir-pentadbir. Walaupun pada mulanya sekolah ini adalah diperuntukkan bagi anak-anak orang atasan, namun ia kemudian dibuka juga kepada mereka yang layak. Bahasa pengantar di maktab ini adalah bahasa Inggeris.



Pendidikan di sekolah-sekolah Melayu hanya selama empat tahun sahaja. Murid-murid diajar ilmu kira-kira yang mudah dari darjah satu hingga tiga, dan dalam darjah empat mereka diajar tentang timbangan dan ukuran yang juga mudah. Mereka juga diajar menulis karangan dalam tulisan Jawi dan Rumi mengenai tajuk-tajuk yang mudah dan biasa, seperti mengenai binatang, dan cerita-cerita pendek. Mereka juga diajar ilmu ‘Alam secara umum. Pada 1904 Wilkinson menambahkan tahun pembelajaran menjadi lima supaya murid-murid lebih mahir dalam penguasaan tulisan rumi dalam Bahasa Melayu. Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 1903 telah mencadangkan supaya semua arahan dan peratoran pentadbiran dibuat juga dalam Bahasa Melayu tulisan Rumi seiring dengan Bahasa Inggeris.

Di dalam proses perkembangan di peringkat Persekutuan itu Perak jelas mendahului negeri-negeri lain walaupun kehadiran murid-murid tidak diwajibkan. Ini menunjukkan bahawa kesedaran tentang kepentingan pendidikan telah mula difahami oleh masyarakat Melayu di negeri tersebut. Di antara 1903 dan 1906 bilangan sekolah Melayu bertambah dari 104 kepada 122, berbanding di Selangor dari 38 kepada 41, Negeri Sembilan dari 28 kepada 46 dan Pahang dari 17 kepada 22. Perbelanjaan di Perak juga dinaikkan dari $99,795 kepada $121,525 dalam tempoh yang sama. Bilangan murid juga meningkat dari 6,232 pada 1903 kepada 7,412 pada 1906. Bilangan sekolah untuk murid-murid perempuan juga bertambah menjadi 27 buah pada 1906.

Wilkinson yang memang berminat untuk mengembangkan pendidikan dalam kalangan anak-anak orang Melayu telah dtukar jawatan sebagai pemangku Setiuasaha kepada Residen Perak pada 1906. Justeru, perkembangan pendidikan hanya meneruskan apa yang dikemukakan oleh Wilkinson semasa dia menjadi Inspektor Sekolah-Sekolah Persekutuan. Perubahan lain hanya berlaku dengan perlantikan R.O.Winstedt sebagai Timbalan Pengarah pendidikan NNMB dan Negeri-Negeri Selat pada 1916. Dialah yang mengenalkan sabjek pertanian dan anyaman bakul dan sebagainya, kerana baginya inilah yang paling sesuai bagi anak-anak Melayu dalam kehidupan harian mereka. Anak-anak perempuan diajar jahit menjahit dan sulaman. Seperti Swettenham, Winstedt lebih suka anak-anak Melayu berterusan sebagai petani dan nelayan. Pada masa itu Perak sudah mempunyai 148 buah sekolah untuk lelaki dan 43 buah untuk perempuan dengan jumlah bilangan purata murid-murid seramai 7,997 orang. Perkembangan sekolah-sekolah Melayu di Perak berterusan. Pada 1931 terdapat sebanyak 274 buah sekolah.

Latihan Perguruan

Semenjak dari awal lagi sekolah-sekolah Melayu kekurangan guru-guru yang terlatih. Ini ditampung dengan penggunaan guru-guru latihan di Singapura dan guru-guru Quran untuk mengajar di sekolah-sekolah yang tujuannya adalah juga untuk menggalakkan ibu-bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Maktab Perguruan pertama ditubuhkan di Singapura pada 1878 tetapi ditutup pada 1895. Sebuah lagi maktab didirikan di Melaka pada 1900 yang diikuti dengan sebuah lagi di Taiping yang ditutup dua tahun kemudian. Pada 1913 sebuah Maktab Perguruan dibina pula di Matang Perak. Maktab-maktab inilah yang membekalkan guru-guru terlatih untuk semua negeri di Semenanjung dan Negeri-Negeri Selat. Pada 1922 Maktab Perguruan Sultan Idris didirikan di Tanjung Malim (SITC) yang merupakan sebuah maktab yang lebih besar bagi menggantikan kedua-dua maktab di Melaka dan juga Matang. Maktab ini melatih guru-guru lelaki sahaja. Pada 1935 sebuah Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka ditubuhkan untuk melatih guru-guru wanita sahaja. Pada masa ini sudah terdapat sebanyak 150 buah sekolah Melayu perempuan di seluruh Semenanjung dan Negeri- Negeri Selat. Selain maktab-maktab yang disebut tadi terdapat maktab-maktab perguruan lain, seperti di Johor Bahru dan juga di Kota Bharu. Namun apabila latihan guru dipusatkan, maka SITC menjadi yang terpenting.





Dalam maktab-maktab perguruan tersebut pelatih-pelatih yang biasanya lulusan Darjah 5 di sekolah Melayu, diajar menjadi guru mata pelajaran yang akan diajarkan di sekolah-sekolah, iaitu, Bahasa Inggeris akan mula diajarkan di sekolah-sekolah Melayu (khususnya bagi mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris), Bahasa Melayu, Geografi, ilmu kesihatan dan kebersihan, lukisan, tawarikh, pertanian, anyaman bakul, jahitan. Kelas-kelas Quran mula tidak diajar di sekolah-sekolah Melayu kerana peranannya sebagai tarikan ke sekolah difikirkan tidak lagi diperlukan.

Pendidikan Selepas Perang Dunia Kedua

Selepas Perang Dunia Kedua (pemerintahan Jepun 1941-1945), British bertujuan menyatukan seluruh Semenanjung Tanah Melayu sebagai tanah jajahannya melalui Malayan Union, tetapi gagal setelah mendapat tentangan hebat dari masyarakat Melayu. Sebagai ganti, Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan pada 1948 menyatukan semua negeri di Tanah Melayu kecuali Singapura. Dengan termetrainya PTM dasar pendidikan diubah dengan tujuan untuk menyatukan semua kaum yang menetap dalam negara ini.

Apabila Tanah Melayu dijanjikan kemerdekaan, dasar pendidikannya mengambil kira cadangan-cadangan pendidikan untuk semua kaum. Ordinan Pelajaran 1952 telah dikenalkan dengan mengambil kira laporan-laporan Fenn-Wu dan Barnes. Namun Ordinan ini kurang disenangi banyak pihak termasuk orang Melayu. Justeru, satu laporan baru digubal, iaitu Laporan Razak 1956 yang diketuai Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran Tanah Melayu yang pertama. Laporan ini menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan semua sekolah dijeniskan sebagai Sekolah Kebangsaan ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan. Sekolah-sekolah menengah Melayu mula dirancangkan. Dalam tempoh ini perkembangan pendidikan di negeri Perak selaras dengan perkembangan pendidikan di seluruh negara.

Pendidikan selepas Merdeka

Setelah Tanah Melayu (kemudian Malaysia) mendapat kemerdekaan pada 1957, sebuah Kementerian Pelajaran telah ditubuhkan. Rentetan dari Laporan Razak beberapa Laporan lain digubal yang pada umumnya diasaskan kepada Laporan Razak tadi. Semua kurikulum diselaraskan dalam semua jenis sekolah rendah dan menengah. Sekolah-sekolah menengah Melayu berasrama penuh ataupun harian giat dibangunkan. Di Perak beberapa sekolah menengah telah didirikan. Di antaranya ialah Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) sekolah berasrama penuh di Ipoh yang dibuka pada 1957. Ia memberikan peluang kepada pelajar lelaki Melayu seluruh negara yang mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Darjah Enam di sekolah rendah. Di Bandar-bandar dalam setiap daerah-daerah sekolah menengah Melayu harian juga ditubuhkan. Perak juga berbangga kerana kerajaan negeri sendiri telah mendirikan dua buah sekolah menengah agama Islam bagi pelajar lelaki di Sekolah Menegah Agama Izuddin Shah pada 1959 diikuti dengan sebuah sekolah jenis yang sama bagi pelajar-pelajar perempuan di Sekolah Menengah Agama Raja Taayah. Kedua-duanya di Ipoh.







Bagi ribuan pelajar lelaki dan perempuan Melayu yang lain yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat menengah dalam tahun 1960-an, mereka ditempatkan di sekolah-sekolah menengah Inggeris yang sedia ada dan berdekatan dengan kawasan mereka masing-masing melalui kelas-kelas tambahan khas “Remove Class” selama setahun untuk memahirkan diri dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Apabila Bahasa Melayu telah sepenuhnya digunakan di peringkat sekolah rendah dan diteruskan di peringkat sekolah menengah, kelas ini telah dimansuhkan. Puncak tertinggi pelajar-pelajar aliran Bahasa Melayu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertiary dalam negara ialah Universiti Kebangsanan Malaysia yang ditubuhkan pada 1970.

Pada umumnya perkembangan pendidikan di Negeri Perak semenjak lebih seratus tahun yang lalu telah memperlihatkan kepesatan yang cukup membanggakan. Sekarang (2010) ribuan sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti telah didirikan di negeri tersebut yang dibiayai oleh kerajaan dan juga swasta.
Rujukan

Chai Hong Chan, 1964. The Development of British Malaya, 1896-1906. Kula Lumpur, Oxford University Press.

Haris Md Jadi, 1990. Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sufean Hussin, 1993. Pendidikan di Malaya: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur, Dewan Bahsa dan Pustaka.

Stevenson, Rex, 1975. Cultivators and Administrators. British Educational Policy towards the Malays 1875-1906. Kuala Lumpur, Oxford University Press.



Bab 2

Sejarah Sekolah Kebangsaan Temoh


Pendahuluan

Penubuhan sekolah-sekolah didorong oleh kehendak masyarakat yang bilangannya mencukupi supaya ia tidak sia-sia. Masyarakat juga sedar bahawa pendidikan merupakan harta yang paling kekal bagi anak-anak mereka. Demikian jugalah keadaannya dengan penubuhan Sekolah Kebangsaan Temoh yang pada mulanya digelar Sekolah Melayu Temoh. Ia didorong oleh masyarakat yang bilangannya pada awal kurun ke-20 mulai berkembang dengan pesatnya. Keadaan ini adalah disebabkan oleh perkembangan ekonomi perlombongan dan pertanian di persekitarannya serta perkembangan perhubungan jalan keretapi dan jalanraya.


Perkembangan Ekonomi, Perhubungan Jalan Keretapi / Jalanraya dan Temoh

Pada awal kurun ke-19 Perak sudah dikenali sebagai pengeluar bijih timah yang terpenting di rantau ini. Ini telah menggalakkan ribuan orang-orang Cina dari Negeri-Negeri Selat dan Tanah Besar China untuk meneroka kawasan perlombongan terutama di kawasan Larut dan Matang di utara Perak. Pergaduhan dalam kalangan pelombong-pelombong di pertengahan kurun tersebut telah mendorong pihak berkuasa British di Negeri-Negeri Selat yang pada masa itu berpusat di Pulau Pinang, untuk campur tangan secara tidak langsung. Kepesatan pengeluaran bijih timah ini juga telah menyebabkan pembesar-pembesar negeri berselisih di antara satu sama lain kerana berebutkan kawasan-kawasan yang kaya. Ini telah berentetan dan melibatkan juga rebutan takhta dalam kalangan pewaris negeri sehingga pada 1874 secara langsung British mula menjajah Perak. Dengan pemerintahan mereka perlombongan di kawasan ini menjadi lebih pesat kerana British telah mengenalkan dasar ekonomi laissez-faire (bebas). Akibatnya ribuan pemodal dari negeri-Negeri Selat dan Eropah telah menderu ke kawasan perlombongan yang kaya, khususnya di kawasan Larut dan Matang, dan menjadikan Taiping sebagai pusat pentadbiran negeri.

Rentetan dari perkembangan perlombongan tersebut jalan keretapi telah dibina dari pelabuhan Larut di Teluk Kertang ke Taiping dan disambung ke Port Weld mulai pada 1881 untuk memudahkan pemunggahan eksport bijih timah ke Pulau Pinang dan barang-barang import ke kawasan ini. Di antara 1889-1895 perlombongan bijih timah berkembang ke kawasan Kinta yang didapati lebih kaya dari Larut-Matang. Justeru, pembinaan jalanraya dan jalan keretapi juga mengarah ke kawasan yang baru ini, iaitu dari Taiping ke Ipoh. Pada 1893 Tapah Road di sebelah selatan telah dihubungkan dengan jalan keretapi ini dengan pelabuhan Teluk Intan (dahulunya Teluk Anson) di kawasan Hilir Perak. Pada 1896 Ipoh dapat dihubungkan secara langsung dengan Teluk Intan. Biasanya pembinaan jalan keretapi ini dilengkapi hampir selari dengan jalanraya. Pekan Temoh terletak kira-kira 6 batu dari selatan Kampar dalam kawasan Kinta yang kaya dengan perlombongan bijih timah dan 6 batu di utara Tapah, pusat pentadbiran British bagi daerah Batang Padang yang mempunyai 35 buah estet getah berdaftar. Jalan keretapi dan jalanraya dari Taiping-Ipoh-Tapah Road ke Teluk Intan melalui Temoh. Dengan itu juga, Temoh yang sebelum ini agak sunyi menjadi tumpuan baru penduduk-penduduk dari pelbagai kaum. Mereka yang mempunyai modal membuka kebun-kebun kecil getah, atau terlibat dalam penjualan getah, dan yang lain-lain pula mencuba nasib sebagai pekerja-pekerja di estet-estet atau di kebun sendiri, ataupun di perlombongan bijih timah. Kebnyakan penduduk Melayu membuka petempatan di sebelah utara dan selatan jalan keretapi. Si sinilah terbinanya Kampung Temoh Stesen, tempat didirikan sebuah sekolah Melayu pada 1907.



Perkembangan Jalan Keretapi Perak 1885 - 1896



Pertambahan Penduduk dan Pembinaan Sekolah Melayu Temoh

Temoh yang terletak dalam daerah Batang Padang (luas kawasan 275,039 hektar) sama-sama merasai kepesatan perkembangan ekonomi dan penduduknya. Pada 1901 Laporan Banci Penduduk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mencatatkan jumlah bilangan penduduk di Batang Padang adalah kira-kira 19,000 orang yang merangkumi pelbagai kaum. Bilangan orang Cina seramai lebih 9,000 orang berbanding lebih 7,000 orang Melayu dan hampir 3,000 orang India. Bilangan ini melonjak pada 1911 menjadikan jumlah besarnya kira-kira 33,000 orang atau 57.7% dalam masa 10 tahun. Pertambahan ini jelas disebabkan oleh perpindahan masuk penduduk-penduduk dari tempat lain, sama ada dari dalam negeri ataupun dari luar negara. Dari jumlah ini orang Cina seramai lebih 16,000 orang, orang Melayu hampir 11,000 dan orang India hampir 6,000 orang.

Temoh yang berada dalam Mukim Chenderiang (luas kawasan 24,346 hektar) di daerah Batang Padang ini merangkumi kawasan-kawasan pekan dan perkampungan. Ia dapat menggambarkan pola penduduknya dari lokasi tempat tinggal mereka. Kebanyakan orang yang tinggal dalam kawasan pekan Temoh, iaitu yang berdekatan jalanraya dan jalankeretapi terdiri dari orang-orang Cina dan kebanyakan yang tinggal dalam kawasan perkampungan adalah orang-orang Melayu. Orang-orang India yang bilangannya jauh lebih kecil, kebanyakan mereka berada dalam kawasan estet ataupun bertaburan di pinggir jalan keretapi dan jalanraya sebagai buruh binaan.

Jumlah penduduk di Temoh pada 1901 adalah hanya 806 orang, tetapi pada 1911 ia naik mendadak sehingga berjumlah 3,382 orang, satu lonjakan sebanayak 319.6%. Kenaikan ini juga merupakan satu fenomena yang luar biasa kerana ia mendahului bilangan dan kenaikan bilangan penduduk di Tapah, bandar pentadbiran daerah Batang Padang itu sendiri. Pada 1901 bilangan penduduk di Tapah seramai 2,244 orang dan meningkat hanya sebanyak 3.6% menjadi 2,326 orang pada 1911. Seperti tren biasa yang berlaku dalam tempoh ini kenaikan jumlah penduduk di Temoh amat jelas disebabkan oleh penghijrahan masuk penduduk-penduduk. Dalam tempoh ini jugalah wujud kawasan perkampungan orang-orang Melayu yang berdekatan dengan jalanraya dan jalan keretapi, seperti Kampung Mesjid, Kampung Perak, Kampung Temoh Station, Kampung Haji Salleh, kampong Sekolah, Kampung Baru Temoh, dan kawasan di pendalaman sedikit di sebelah barat jalan keretapi, seperti Kampung Air Semambu, kampong Sungai dadih, Kampung Haji Dahlan, Kampung Tengah, Kampung Haji Arif dan Simpang Empat. Kawasan perkampungan yang di pinggir jalanraya menuju ke Tapah, adalah Kampung Batu Mesjid, kampong Batu Tiga dan Kampung Baru Banir Estet. Pada 1901 bilangan orang Melayu di Temoh adalah 150 orang dan bertambah menjadi 481 orang pada 1911, iaitu pertambahan sebanyak 220.6%. Bilangan rumah yang diduduki orang-orang Melayu pada 1911 ialah 407 buah. Ini bererti setiap orang Melayu di Temoh mempunyai rumah dan bilangan orang yang tinggal di dalamnya kecil. Nisbah lelaki:perempuan orang Melayu pada tahun yang sama adalah 247:234, bererti kebanyakan penduduk Melayu di Temoh berkeluarga.

Melihatkan rumah-rumah tinggalan penduduk-penduduk di kawasan Temoh, khususnya yang berdekatan dengan jalan keretapi, yang besar-besar dan berada dalam kawasan halaman yang luas, mendorong kita untuk membuat tanggapan bahawa orang-orang Melayu di situ merupakan orang-orang yang senang dari segi ekonomi dan berpengetahuan. Maka tidak hairanlah juga pada awal kurun ke-20 ini, mereka berhubungan dengan pihak-pihak pentadbir, sama ada penghulu mahupun Pegawai Daerahnya (biasanya British) untuk memperbaiki hal ehwal pendidikan anak-anak mereka. Seperti yang dijelaskan dalam bab 1, pendidikan di Perak mengalami perkembangan yang paling pesat di seluruh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, apatah lagi apabila Inspektor Sekolah-sekolah Persekutuan adalah R.J.Wilkinson yang memang berminat untuk mengembangkan sekolah vernakular Melayu. Dalam tempoh inilah berkemungkinan pemimpin-pemimpin Melayu di Temoh bersepakat untuk memohon didirikan sebuah sekolah untuk anak-anak mereka. Pada 1907 permintaan mereka dipenuhi dengan terbinanya sebuah bangunan berdekatan dengan stesyen keretapi Temoh, dan dinamakan Sekolah Melayu Temoh.



Perkembangan Sekolah Melayu Temoh


Sekolah Melayu Temoh mempunyai bangunan yang panjangnya kira-kira 50 kaki X 25 kaki, didirikan di atas tanah reserve Keretapi Tanah Melayu. Ia bertiang kira-kira empat kaki tingginya dari tanah, berlantaikan papan, bertangga batu, berbumbungkan genting dan berdindingkan bertam. Ia mempunyai tingkap yang rapat dan banyak di sekeliling dindingnya, membolehkan aliran udara berterusan dan nyaman. Tingkap-tingkap itu juga dibuat dari bertam dan boleh dibuka dari bawah ke atas dengan menongkatkan sebatang kayu sebagai penegaknya. Tidak ada pembahagian bilik darjah. Kumpulan murid dikelompokkan mengikut tahap-tahapnya dan setiap satu dikendalikan oleh seorang guru. Tidak ada laporan atau catatan lengkap mengenai guru-guru dan murid-murid di tahap ini. Apa yang diketahui adalah murid-murid yang mendaftar pada 1907 kira-kira 80 orang.

Murid-murid lelaki dan perempuan datang dari kampung di sekeliling Temoh, termasuklah Kampar yang belum mempunyai sekolah Melayunya sendiri. Terdapat sebanyak 16 buah kampung atau kawasan kesemuanya yang menghantarkan kanak-kanak ke sekolah ini. Kampung tersebut ialah Kampung Batu Tiga, Kampung Batu Masjid, Kampung Banir, kampong Sungai Dadeh, Kampung Sungai Ketiau, Kampung Haji Arif, Kampung Haji Salleh, Kampung Sekolah, Balai Polis, Kampung Baru Temoh Stesyen, Kampung Raja (sekarang kawasan kiri kanan jalan dekat Rumah Murah), Kampung Belakang Kedai, Kampung Masjid, Kampung Depan Stesyen, Kampung Baru dan kampong Perak. Setiap kampong didominasi oleh suku-suku kaum tertentu seperti orang Melayu Perak, Mendeling, Rawo, Natar, Melayu Kampar, Jawa dan sebagainya, yang masing-masing masih bertutur dalam lughat masing-masing. Kebanyakan kanak-kanak bercakap bahasa Melayu ‘buku’ (baku) hanya apabila mereka di sekolah sahaja.



Kebanyakan murid berpakaian kain dan baju Melayu. Ada yang berkasut atau berterompah ataupun berkaki ayam. Murid-murid yang datang dari Kampar menaiki keretapi dan berpakaian kemeja dan seluar kerana mereka datang dari pekan. Keretapi yang membawa murid dari Kampar biasanya sampai di stesyen Temoh pada jam 8.30 pagi. Justeru, kelas dimulakan pada masa itu dan habis pada jam 11.30 pagi. Pelajaran yang diajar adalah ilmu kira-kira, membaca dan menulis Jawi dan Rumi dan melukis. Alat pengajarannya ialah papan hitam dan kapur, sedangkan murid-murid menggunakan papan batu dan pensil batu. Setelah habis satu pelajaran, tulisan di papan batu dipadam dengan air yang dibawa murid-murid dalam botol kecil bekas botol minyak wangi Santalia. Buku tulisan tidak ada langsung. Buku bacaan pula amat terhad atau tiada. Kerja sekolah di rumah tidak pernah ada, bermakna apabila sampai di rumah murid-murid tidak mengulang pelajaran mereka. Namun telah menjadi kebiasaan murid-murid tersebut meneruskan pelajaran agama mereka khususnya belajar membaca Quran dengan ustaz atau ustazah (Imam atau Lebai) di rumah guru-guru itu. Kadang-kadang belajar mengaji ini dilakukan di waktu malam.

Umur murid-murid tidak ditentukan, tetapi kebanyakan mereka adalah di antara 7 hingga 12 tahun atau lebih. Bagi murid-murid perempuan 12 tahun itu merupakan umur yang dianggap dewasa (dara sunti). Kebanyakan mereka berhenti sekolah selepas ini kerana akan bertunang dan dikahwinkan. Yang lelaki mungkin meneruskan pelajaran mereka, pada waktu itu hanya sampai ke darjah empat sahaja. Namun sambutan terhadap sekolah Melayu ini amat menggalakkan. Bilangan murud-muridnya bertambah dengan pesat dan bangunan sekolah tersebut sudah tidak dapat menampung mereka. Pada tahun 1932 sebuah bangunan baru yang panjangnya 64 kaki dan lebarnya 30 kaki dan tingginya 10 kaki dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Salleh bin Haji Abdul Rahman, yang membuka Kampung Haji Salleh. Tempat ini kira-kira 300 meter di sebelah barat jalan keretapi dan sekolah Melayu yang pertama. Pada masa ini sudah terdapat 350 orang murid kesemuanya. Seperti senibina sekolah yang pertama, bangunan ini berdindingkan dan bertingkap bertam. Keseluruhan dinding djadikan tingkap yang dibuka dari bawah ke atas dan bertingkatkan kayu sebagai penegaknya. Atapnya dari genting. Tiang dan tangganya dibuat dari batu yang teguh dan bersimen. Pada 1939 terdapat pertambahan seramai 106 orang lagi murid, lalu bahagian bawahnya dijadikan tempat belajar juga. Dindingnya dibuat dari besi bersilang sahaja seperti pagar tetapi berpintu dan lantainya disimen. Seperti di bahagian atas, ia tidak mempunyai pembahagian bilik darjah. Kelas-kelas dikelompokkan sahaja mengikut darjahnya. Tempoh 1930-an sehingga Pendudukan Jepun merupakan tempoh kemuncak bagi sekolah Melayu Temoh ini. Bilangan muridnya ramai dan kurikulumnya bertambah.



Guru-Guru Besar

Nama guru-guru besar yang dapat diingati, tetapi tidak lengkap adalah seperti berikut:

Nama mereka sebelum 1923 tidak dapat diingati/dikesan. Diharapkan sesiapa yang membaca sejarah ini dan dapat memberikan nama-nama mereka sangat dihargai
Nama Guru Besar Tahun Perkhidmatan

1. Encik Dolah (1922-1925)
2. Encik Abdul Majid (1925-1927)
3. Encik Ramli (1927-1929
4. Encik Dolah (1929-1940)
5. Encik Abu Hanifah (1940-1944)
6. Encik Yahaya (1944-1948)
7. Encik Bahariddin (1948-1949)
8. Encik Mohamad Nor b. Buyong (1949-1952)
9. Encik Abdul Malek b. Soreh (1952-1957)
10. En. Yahaya (1957-1958)
11. Encik Abdul Malek b Soreh (1958-1962)
12. Encik Abdul Manan b Ahmad (1962-1970)
13. Tuan haji Mohd Taib b Haji Abdullah (1970-1977)
14. Encik Ghazali b Ariffin (1977-1978)
15. Encik Saidin b Abdul Hamid (1978-1987)
16. Encik Jamhori b Ujang Nordin, AMP,PJK (1987-1996)
17. Encik Mustafa b Mat (1996-1998)
18. Encik Badaruddin b Abdul Rashid (1998-2001)
19. Puan Saadiah bt Mohd Zam (2001-2003)
20. Encik Abdul Rashid b Malek (2003-2004)
21. Encik Jalaluddin b Abdullah (2004-2005)
22. Pem GB En Mohamad Yunus b Ali Bas (2005-2006)
23. Encik Mohd Azmi b Kasim (2006-2008)
24. Puan Rosnah bt Haji Buang (2008-2010)

Di antara 1941 hingga 1945 Sekolah Melayu ini telah diambil alih oleh tentera Jepun dan pengajaran dan pembelajarannya dijepunkan. Keadaan menjadi kelam kabut. Ramai murid yang tidak meneruskan pelajaran. Demikian juga dengan guru-guru. Sesiapa yang masih berada di situ terpaksa mengajar dan belajar Jepun mengikut kurikulum dan Bahsa Jepun dan diajar supaya menghormati Maharaja Jepun. Tidak banyak dapat dikisahkan untuk tempoh ini kerana kebanyakan yang hidup di zaman ini sudah tiada lagi.

Pada 1945 Jepun telah kalah dan British datang semula mengambil alih pentadbiran di seluruh Semenanjung Tanah Melayu di bawah Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration. Sistem persekolahan telah disambung semula seperti sebelumnya. Murid-murid dan guru-guru kembali meneruskan pengajaran dan pembelajaran. Bilangan murid bertambah dengan pesat dan dasar British untuk memberikan peluang kepada murid-murid untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris dan Menengah dikenalkan. Guru Bahasa Inggeris yang didatangkan dari Government English School Tapah telah dihantar ke sekolah ini untuk mengajar Bahasa Inggeris. Murid-murid dari Darjah Empat dan Lima dibenarkan mengambil peperiksaan khas, dan yang berjaya dapat meneruskan pelajaran dalam Special Malay Classes di Government English School Tapah. Di antara guru yang terawal mengajar Bahasa Inggeris ini ialah Encik Omar Baki. Keadaan seperti ini berterusan sehingga selepas merdeka apabila sekolah ini ditukar nama dan didaftarkan sebagai Sekolah Kebangsaan Temoh pada 1970. Sebilangan besar bekas murid yang melanjutkan ke sekolah Inggeris ini berupaya meneruskan pendidikan mereka ke universiti, kolej-kolej, dan lain-lain dan menjawat jawatan-jawatan tinggi.

Bilangan murid mulai menurun dalam 1970-an ini kerana Sekolah-Sekolah Kebangsaan yang baru mula didirikan. Contohnya, Sekolah Kebangsaan didirikan di Sungai Lesong (Simpang Empat), di Batu Tiga, di Banir, dan lain-lain. Di antara 1970 hingga 1980 seramai kira-kira 40 orang murid sahaja yang mendaftar dalam Darjah Satu. Pada 1990-an hanya kira-kira 30-an orang murid sahaja dan meleset ke 20-an orang dalam 2000. Namun begitu murid-murid ini kebanyakan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah Menengah aliran Melayu di Tapah ataupun ke sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Tunku Andul Rahman (STAR) dan Sekolah Izuddin (Menengah Agama Lelaki) atau Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah di Ipoh, dan lain-lain. Ramai juga yang dapat terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Maktab dan universiti tempatan mahupun seberang laut. Hasilnya bekas murid Sekolah Kebangsaan ini ada yang menjadi ahli-ahli akademik, koperat, professional dan warga negara Malaysia yang berjasa kepada kampong, daerah, negeri, negara dan juga di peringkat antarabangsa.


Rujukan

Amarjit Kaur, 1985. Bridge and Barrier. Transport and Communications in Malaya 1870-1957. Singapore, Oxford University Press.

Federated Malay States, 1911. Review of the Census Operations and Results. Published by Command. London, Darling & Son.

Maklumat Lisan:

Badriyah Haji Salleh Darjah Satu Sekolah Melayu Temoh pada 1949

Hajah Hafsatun bt Haji Salleh, Darjah Satu di Sekolah Melayu Temoh pada awal 1930-an


BAB 3

PENTADBIRAN SEKOLAH KEBANGSAAN TEMOH


Guru-Guru Besar

Nama guru-guru besar yang dapat diingati, tetapi tidak lengkap adalah seperti berikut:

Nama mereka sebelum 1923 tidak dapat diingati/dikesan. Diharapkan sesiapa yang membaca sejarah ini dan dapat memberikan nama-nama mereka sangat dihargai


Nama Guru Besar Tahun Perkhidmatan

1. Encik Dolah (1922-1925)
2. Encik Abdul Majid (1925-1927)
3. Encik Ramli (1927-1929
4. Encik Dolah (1929-1940)
5. Encik Abu Hanifah (1940-1944)
6. Encik Yahaya (1944-1948)
7. Encik Bahariddin (1948-1949)
8. Encik Mohamad Nor b. Buyong (1949-1952)
9. Encik Abdul Malek b. Soreh (1952-1957)
10. En. Yahaya (1957-1958)
11. Encik Abdul Malek b Soreh (1958-1962)
12. Encik Abdul Manan b Ahmad (1962-1970)
13. Tuan haji Mohd Taib b Haji Abdullah (1970-1977)
14. Encik Ghazali b Ariffin (1977-1978)
15. Encik Saidin b Abdul Hamid (1978-1987)
16. Encik Jamhori b Ujang Nordin, AMP,PJK (1987-1996)
17. Encik Mustafa b Mat (1996-1998)
18. Encik Badaruddin b Abdul Rashid (1998-2001)
19. Puan Saadiah bt Mohd Zam (2001-2003)
20. Encik Abdul Rashid b Malek (2003-2004)
21. Encik Jalaluddin b Abdullah (2004-2005)
22. Pem GB En Mohamad Yunus b Allah Bus (2005-2006)
23. Encik Mohd Azmi b Kasim (2006-2008)
24. Puan Rosnah bt Haji Buang (2008-2010)

Barisan Penolong-Penolong Kanan
SK Temoh Tahun 2010

01. En Mohamad Yunus b Allah Bus Penolong Kanan Pentadbiran
02. Puan Marina bt Mohamad Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
03. Encik Mohamad Fadzil b Ramli Penolong Kanan Kokurikulum



Gambar-Gambar Barisan Pentadbiran dan Guru-Guru 100 Tahun SK Temoh



Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 1953


Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 1974


Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 1976


Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 1988


Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 1994


Barisan Guru-Guru SK Temoh Tahun 2009



BAB 4

PERSATUAN BEKAS MURID-MURID ( PBMSKT )

Latar belakang

Persatuan Bekas Murid-Murid Sekolah Kebangsaan Temoh, Temoh Stesen atau kenali sebagai PBMSKT telah mula dicadangkan semasa Encik Jamhori b Ujang Nordin, AMP,PJK (1987-1996) iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Temoh yang ke 16. Namun pengasasannya terhenti apabila kurang mendapat sokongan daripada bekas-bekas murid dan guru sekolah ini sendiri. Selepas pada tahun 2005 timbul kesedaran beberapa orang bekas murid sekolah ini yang sebelum ini berkhidmat di luar kawasan Temoh dan yang telah bersara kembali ke Temoh khususnya Temoh Stesen telah mencadangkan agar sambutan 100 tahun sekolah ini diadakan apabila menyedari bahawa sekolah ini akan genap seratus tahun penubuhannya iaitu pada 2007. Persetujuan untuk menyambut 100 Tahun Sekolah kebangsaan Temoh telah turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak termasuk tokoh-tokoh akademik yang menjadi bekas murid sekolah ini seperti Dr Badriyah Haji Salleh bekas Profesor di Universiti Sains Malaysia dan Prof Dr Haji Mohammad Bohari Haji Ahmad pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sokongan ini akhirnya berterusan sehingga pada tahun 2008 jawatankuasa penaja ditubuhkan untuk membentuk persatuan bekas murid sekolah ini. Pihak jawatankuasa penaja telah bersetuju untuk melantik Prof Dr Haji Mohammad Bohari Haji Ahmad sebagai pengerusi, Dr Badriyah Haji Salleh sebagai Naib Pengerusi, Haji Khaidir Haji Othman guru cemerlang Bahasa Melayu sebagai setiausaha serta beberapa bekas murid sebagai ahli jawatankuasa penaja. Jumlah jawatankuasa penaja ini dianggotai oleh 12 orang ahli serta Puan Rosnah Haji Buang Guru Besar Sekolah Kebangsaan Temoh sebagai penasihat. Senarai jawatankuasa penaja persatuan ini adalah seperti berikut :


Jawatankuasa Penaja Persatuan Bekas Murid SK Temoh 2008

Penasihat : Puan Rosnah bt Hj Buang ( GB SK Temoh )
Pengerusi : Prof Dr Haji Mohamad Bohari b Hj Ahmad
Naib Pengerusi : Dr Hajah Badriyah bt Haji Salleh
Setiausaha : Haji Khaidir b Haji Othman
Ahli Jawatankuasa :Haji Janaro b Haji Ariff
Haji Masduki @ Haji Abdul Hanan b Haji Abd Rahim
Allahyarham Haji Tahir b Kusri
Puan Siti Khawa bt Hj Mahfud
Puan Sarimah bt Mohd Yusof
Encik Mohammad Kamil Fauzi b Hj Mahfud
Encik Ahmad Nizam b Hj Mohd Daud
Encik Mohd Harun b Abd Majid
Encik Mohamed Yunus b Allah Bus
Encik Salleh b Hamid

Seterusnya pada awal tahun 2009 ahli jawatankuasa penaja telah bersetuju untuk memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara Cawangan Perak Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan Persatuan Bekas Murid Sekolah kebangsaan Temoh atau dikenali sebagai PBMSKT. Pada 13 Ogos 2009 penubuhan persatuan ini telah diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara Kementerian Dalam Negeri dengan nombor pendaftaran 1723-09-PRK. Mesyuarat agung yang pertama telah diadakan pada 30 Ogos 2009 dirasmikan oleh Enck Khamdan bin Iskhandar Penolong PPD Kemanusiaan Daerah Batang Padang. Dalam mesyuarat agung ini pelantikan jawatankuasa penaja Persatuan Bekas Murid Sekolah Kebangsaan Temoh sesi 2009 – 2011 telah disahkan sebagai jawatankuasa persatuan ini yang sebenarnya. Mesyuarat telah bersetuju melantik ahli jawatankuasa seperti berikut :

Jawatankuasa Persatuan Bekas Murid SK Temoh Sesi 2009 – 2011

Penasihat : Puan Rosnah bt Hj Buang ( GB SK Temoh )
Pengerusi : Prof Dr Haji Mohamad Bohari b Hj Ahmad
Naib Pengerusi : Dr Hajah Badriyah bt Haji Salleh
Setiausaha : Haji Khaidir b Haji Othman
Naib Setiausaha : Encik Mohammad Kamil Fauzi b Hj Mahfud
Bendahari : Puan Sarimah bt Mohd Yusof
Ahli Jawatankuasa :Haji Janaro b Haji Ariff
Haji Masduki @ Haji Abdul Hanan b Haji Abd Rahim
Puan Siti Khawa bt Hj Mahfud
Encik Ahmad Nizam b Hj Mohd Daud
Encik Mohd Harun b Abd Majid
Encik Mohamed Yunus b Allah Bus
Encik Salleh b Hamid



Siaran Media Berkaitan Penubuhan Persatuan Bekas Sekolah Kebangsaan Temoh
Temoh Stesen, 35350 Temoh, Perak.









Gambar Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Murid SK Temoh Sesi 2009 - 2011
Bersama-sama Ahli-ahli Persatuan Bekas Murid SK Temoh yang hadir pada Mesyuarat Agong Kali Pertama Tahun 2009


BAB 5

BANGUNAN 100 TAHUN SEKOLAH KEBANGSAAN TEMOH, PERAK ( 1907 - 2010 )










Pengikut