Rabu, 18 April 2012

Faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan Kesultanan Melayu Melaka dan faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya. Suatu penilaian kritis.

1.0. Latar belakang
Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara pada sekitar tahun 1400. Apabila Parameswara telah berjaya membentuk Melaka baginda telah menyususn strategi seperti sistem pemerintahan yang teratur, menjadikan Melaka bandar pelabuhan , hubungan diplomatik serantau dan antarabangsa diwujudkan. Melalui konsep ‘ikatan daulat’ baginda telah berjaya membangunkan Melaka bersama-sama dengan pembesar yang lain, bantuan orang Laut, orang Melayu, dan orang Asli. Melaka telah menjadi negara Islam setelah Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dengan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Syah. Kegemilangan Melaka terus dilakukan oleh pemerintahan selepas Sultan Iskandar Syah terutamanya semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah. Kesultanan Melayu Melaka ini telah berjaya bertahan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas kepada Portugis pada tahun 1511 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

2.0 Faktor-Faktor Perkembangan Kesultanan Melayu Melaka
Perkembangan Kesultanan Melayu Melaka dapat dilihat sejak bermulanya pemerintahan Parameswara sekitar 1400 sehingga kemangkatannya. Namun begitu berdasarkan pendapat sejarawan telah menyatakan bahawa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya berlaku ketika pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459 – 1477). Terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi perkembangan Kesultanan Melayu Melaka seperti berikut :
2.1. Kebijaksanaan Sultan Pemerintah Melaka.
Kebijaksanaan Sultan Melaka bermula dari pengasasnya sendiri iaitu Parameswara yang telah membentuk sistem pentadbiran yang teratur iaitu melantik pembesar bertanggungjawab hal ehwal balairung seri, 40 orang bentara yang menjalankan perintah raja dan melantik biduanda kecil. Kemudian untuk melicinkan urusan negara Sultan Melaka melantik Pembesar Empat Lipatan yang dikenali sebagai Pembesar Berempat yang kemudian dibantu oleh Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua yang menjalankan tanggungjawab dengan bijak dan jujur. Mereka ini diberi kuasa mentadbir wilayah, sungai atau pulau yang dikenali sebagai “Kawasan pegangan”. Di samping itu, mereka diberikan amanah untuk memungut cukai.
Dengan cara ini mereka memberikan sokongan padu dan taat setia kepada sultan yang akhirnya menjadikan negara kuat dan maju. Kesannya apabila pentadbiran berjalan dengan baik Melaka menjadi sebuah negara yang aman, penduduknya bersatu-padu, kuat dan agak sukar untuk pihak musuh menguasai Melaka. Sultan Melaka juga bijak menyelesaikan perbalahan rakyatnya, menjaga keamanan dan keselamatan negeri. Tokoh pembesar yang berwibawa seperti Bendahara Tun Perak yang berjaya mengalahkan serangan Siam, bijak membantu dan menasihati sultan menjadikan Melaka kuat dan berjaya meluaskan pengaruh dan wilayahnya di Asia Tenggara. Apabila rakyat sesebuah negara taat kepada pemimpin, bersatu-padu, melaksanakan tanggungjawab dengan setia dan jujur, bekerjasama membangunkan ekonomi, sanggup mempertahankan negara maka sesebuah negara akan aman, maju dan kuat.
2.2. Melaka sebagai Pusat Perdagangan
Apabila pentadbiran Melaka berjalan dengan baik, atas faktor kedudukan geografi, Melaka yang strategik di pertengahan laluan perdagangan antara Timur dan Barat, terlindung daripada tiupan angin monsun Barat Daya ditambah pula sumber hasil negara seperti hasil pertanian dan hasil hutan yang banyak telah menyebab Sultan Melaka dan pembesarnya menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan. Pelabuhan Melaka ini akhirnya berkembang sebagai pusat perdagangan. Ramai pedagang yang singgah asalnya untuk mencari makanan dan air telah menjadikan Melaka sebagai pusat pengumpulan dan pertukaran barangan dagangan. Syahbandar dilantik bagi menguruskan hal ehwal perdagangan ini. Pelbagai kaedah perdagangan diperkenalkan seperti sistem cukai dan surat kebenaran berniaga yang menjana ekonomi Melaka. Penggunaan mata wang yang diperkenalkan menjadikan perdagangan menjadi mudah, berkembang dan maju.
Dengan perancangan yang teliti oleh Kesultanan Melayu Melaka, Melaka akhirnya membangun dan menjadi pelabuhan entrepot yang terkenal pada masa itu. Justeru itu, apabila Melaka berkembang menjadi pusat perdagangan, Melaka yang sebelumnya sebuah negara yang ekonominya berasaskan agraria bertambah kepada ekonomi yang bersifat maritim. Melaka berjaya mengambil peranan Srivijaya selepas itu. Kesannya ekonomi Melaka meningkat dengan baik, kurang pengangguran kerana rakyat mendapat pekerjaan dan kemiskinan dapat dihapuskan. Hal yang demikian menjadikan Melaka bukan sahaja sebuah negara yang kuat malah berjaya dalam dalam bidang ekonomi. Seterusnya Melaka makmur dan sejahtera.
2.3. Melaka Menjadi Pusat Ilmu Pengetahuan
Islam mula berkembang di Melaka melalui mubaligh Arab yang bernama Syeikh Abdul Aziz dari Makkah. Setelah Pameswara memeluk Islam, Islam berkembang dengan giatnya. Pedagang Islam dari Arab dan India mula memainkan peranan dalam pengembangan Islam sambil berdagang. Ada juga yang mengahwini penduduk Melaka. Melaka akhirnya menjadi pusat penyebaran Islam di rantau ini. Institusi keagaman seperti masjid, surau, madrasah-madrasah dan sekolah-sekolah pondok mula tertubuh. Dengan sokongan Sultan Melaka, istana dijadikan sebagai pusat kegiatan intelektual, Di situlah berkumpulnya golongan cerdik pandai, jurutulis, pengarang dan ulama tersohor.Melaka terus berkembang sebagai pusat ilmu pengetahuan. Pengenalan sistem tulisan jawi juga turut membantu pengembangan ilmu di Melaka.Banyak hasil penulisan dilakukan termasuk dua buah buku undang-undang Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.Buku yang diterjemahkan juga turut dilakukan seperti buku-buku sastera hikayat dan saduran. seperti Hikayat Amir Hamzah , Hikayat Bualn Belah dan Hikayat Nabi Bercukur.
Kejayaan Melaka dalam bidang ilmu pengetahuan telah menyebabkan Melaka terus maju dan berkembang. Melaka berjaya mengeluarkan cerdik pandai serta ulama yang berpengetahuan tinggi. Dengan terkenalnya Melaka sebagai pusat ilmu pengetahuan maka ramai cendikiawan datang ke Melaka dan menjadikan Melaka sebagai pusat rujukan dan keilmuan.

3.0 Faktor Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka
Ramai dalam kalangan sejarawan bersetuju bahawa kejatuhan Kesulatanan Melayu Melaka bermula sebaik sahaja Sultan Mahmud Syah menaiki tahta Kerajaan Melaka. Mereka berpendapat faktor utama yang menyumbang kepada kejatuhan ini ialah kelemahan kepimpinan Melaka. Persitiwa pembunuhan Bendahara Tun Mutahir oleh Sultan Mahmud Syah kerana dendanm dan gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin menjadikan Melaka merudum. Sikap pembesar Melaka yang suka berpuak-puak dan memfitnah sesama sendiri menyebabkan Melaka berada dalam keadaan tidak stabil. Apabila menyedari kesilapannya Sultan Mahmud Syah telah menyerahkan kuasa kepada Sultan Ahmad Syah yang tidak cekap dan lemah. Pengganti Bendahara Tun Mutahir iaitu Bendahara Tun perpatih Putih pula seorang yang sudah tua dan tepok yang tidak mampu lagi mentabir Melaka.
Apabila sultan dan pembesar yang khianat kepada tanggungjawabnya dan membiarkan pembesar-pembesar melaksanakan tugas mengikut sesuka hati, amalan pilih kasih, konflik perebutan kuasa dan suka melakukan fitnah memfitnah telah menyebabkan sistem pemerintahan menjadi lemah. Kesannya masalah perpaduan akan berlaku, nilai-nilai norma kehidupan seperti bantu-membantu dan saling menghormati terhakis dan rakyat menjadi lemah, berpecah belah dan tidak utuh. Hal yang demikian menyebabkan sistem pertahanan Melaka turut lemah dan akhirnya membuka ruang pihak musuh seperti Portugis yang memang telah lama ingin menguasai dan menjajah Melaka. Akhirnya Melaka telah dikalahkan oleh Portugis dengan bantuan Si Kitol sebagai pengkhianat negara yang memberi maklumat kelemahan pertahanan Melaka yang menyebabkan Sultan Mahmud Syah, keluarga diraja Melaka dan semua pembesar Melaka terpaksa berundur ke Muar. Walaupun beberapa kali Sultan Mahmud cuba mengambil kembali Melaka namun gagal.

4.0 Penutup
Kesimpulannya kejayaan sesebuah negara sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagai terletak di bahu pemimpinnya. Apabila pemimpin kuat maka negara atau rakyatnya menjadi kuat. Andai pemimpinnya lemah maka runtuh dan rosak binasalah sesebuah negara. Oleh itu, pemimpin yang berilmu pengetahuan, berwibawa, berkarisma serta memiliki nilai-nilai murni perlu dilahirkan dalam sesebuah negara untuk memimpin negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.



BIBLIOGRAFI
Ahmad Fawzi bin Mohd Basri et.al (2002) , Buku Teks Sejarah Tingkatan 1, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia
Kassim bin Thukiman (2002), Malaysia : Perspektif Sejarah dan Politik ( Bab 3), Skudai : Universiti Teknologi Malaysia
Dr Mohd Yusuff bin Hashim (2012), Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu, Melaka : Perbadanan Muzium Negeri Melaka.
Wikipedia, Ensiklopedia Bebas (2011), Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu ), Kuala Lumpur : Wikimedia Project.
Abdul Rahman bin Ismail et.al (2012), Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka 1262, Melaka : IKSEP.

Pembentukan Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada reaksi rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Konflik Indonesia dan Filipina.

1.0. Latar Belakang
Ramai sejarawan negara berpendapat bahawa asal penubuhan Malaysia telah mula diilhamkan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat Boneo Utara (1887) yang mencadangkan penggabungan Sarawak dan Sabah dengan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Kemudian cadangan ini dinyatakan sekalim lagi oleh Sir Malcolm MacDonald Gabenor Jeneral Asia Tenggara (1948) dengan memasukkan Singapura dan Brunei dan disokong oleh Lim Yew Hock (1955) dan David Marshall (1955) Seterusnya, Dato Onn Jaafar (1956) mencadangkan pula penggabungan tersebut atas nama Malaysia dengan melibatkan semua negeri yang telah dinyatakan . Akhirnya Lee Kuan Yew wakil Singapura (1959) telah mendesak supaya British berunding dengan Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sahaja namun idea tersebut kurang dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman atas alasan akan berlaku ketidakseimbangan penduduk. Namun pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam majlis makan tengahari di Hotel Adelphi, Singapura anjuran Persatuan Wartawan Luar Negeri telah bersetuju dengan cadangan gagasan Malaysia atas faktor-faktor politik, sosial, ekonomi serta keselamatan negara dan menyuarakan harapan sebuah negara Malaysia dapat dibentuk untuk menjamin satu kedudukan politik yang kukuh.

2.0. Reaksi Penduduk Singapura, Sarawak dan Sabah Terhadap Cadangan Gagasan Malaysia

Sebaik sahaja cadangan pembentukan Malaysia diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman pelbagai reaksi mula timbul. Ada parti politik yang menyokong dengan pandangan yang berbeza, meminta referendum dilakukan, serta tinjauan umum terhadap persetujuan penduduk Singapura, Sarawak dan Sabah hendaklah diperoleh.

2.1. Reaksi Rakyat Singapura
Bagi Singapura, cadangan penggabungan untuk gagasan Malaysia memang ditunggu-tunggu. Sebelum itu pun, melalui pemimpinnya seperti David Marshall dan Lee Kuan Yew telah mendesak supaya British mengadakan rundingan untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura. Antara sebab hasrat itu dituntut oleh Lee Kuan Yew kerana Pengaruh Barisan Sosialis yang memenangi pilihanraya Hong Lim di Singapura akan melemahkan parti pimpinannya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menggugat rancangan British untuk memerdekakan Singapura. Di samping itu, gagasan ini disokong kerana ancaman komunis yang masih ada dan Persekutuan Tanah Melayu mempunyai pengalaman membanteras kegiatan komuis tersebut. Pemimpin Singapura juga menyokong dengan terlaksananya gagasan Malaysia, Singapura akan memperoleh kemerdekaan dengan lebih cepat. Oleh itu apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan cadangan penggabungan pemimpin Singapura lebih berikap proaktif dan menyokong segala usaha ke arah itu.

2.2. Reaksi Rakyat Sarawak
Sebelum Tunku Abdul Rahman mengumumkan persetujuan penubuhan Malaysia, di Sarawak hanya terdapat dua buah pertubuhan politik iaitu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pimpinan Ong Kee Hui yang majoritinya penduduk Cina dan Parti Negara Sarawak (PANAS) dipimpin oleh Dato Bandar Abang Haji Mustapha yang ahlinya terdiri daripada orang Melayu. Kemudian orang Iban pula menubuhkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di bawah pimpinan Stephen Kalong Ningkan. Setelah pengumuman dibuat parti-parti politik di Sarawak mula berkembang dengan hebatnya seperti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA) dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub dan Abdul Talib Mahmud, Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dipimpin oleh Temenggung Jugah Anak Barieng dan Sarawak Chinese Association (SCA).
Pada asalnya cadangan penubuhan Malaysia ini kurang mendapat sokong parti di Sarawak, terutama SUPP yang bimbang dengan bentuk penjajahan baru ke atas Sarawak dan SNAP yang bimbang orang bukan Melayu dan peribumi hilang identitinya. Ada juga parti yang mahu supaya Sarawak merdeka terlebih dahulu sebelum menyertai gagasan tersebut dan takut ekonomi Sarawak dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Namun selepas lawatan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1961 ke Sarawak, pada bulan Oktober 1962 kesemua parti politik ini kecuali SUPP telah bersetuju untuk bergabung nembentuk Parti Perikatan Sarawak dan menyokong usaha tersebut atas alasan untuk mempercepat kemerdekaan Sarawak, meningkatkan pelaburan dan perkembangan industri pertanian, mengimbangi jumlah dan kadar pertumbuhan kaum di Sarawak. Dengan sokongan yang diberikan akhirnya Sarawak telah bersetuju untuk bersama-sama dalam proses pembentukan Malaysia.

2.3. Reaksi Rakyat Sabah
Bagi Sabah pula, sebelum pengumuman Tunku Abdul Rahman untuk membentuk gagasan Malaysia belum wujud lagi parti-parti politik. Parti-parti mula ditubuhkan apabila usul cadangan penggabungan dilakukan untuk mengemukakan pandangan dan mendapatkan sokongan tentangan cadangan gagasan Malaysia seperti Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO Jun 1961) dipimpin oleh Donald Stephens, Pertubuhan kebangsaan Sabah Bersatu ( USNO Disember 1961) dipimpin oleh Datu Mustapha Datu Harun, Parti Pasok Momugun ( Jun1966 ) dipimpin oleh G.S. Sundang dan Parti Demokratik dipimpin oleh Peter Chin. Sama seperti Sarawak, parti-parti di Sabah ini juga menentang dengan alasan yang sama iaitu UNKO bimbang orang bukan Melayu dan kaum peribumi Sabah kehilangan identity dan dikuasai oleh orang Melayu, politik dan ekonomi Sabah akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat, mahukan kemerdekaan terlebih dahulu diberikan serta bimbang tentang isu kemajuan ekonomi dan sosial.
Setelah lawatan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1961 yang menjelaskan kedudukan penggabungan tersebut akhirnya parti-parti politik Sabah bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia. Dalam pada masa yang sama Sabah dan Sarawak telah buat tuntutan sebagai syarat untuk menyertai Malaysia. Syarat ini dikenali sebagai Perkara 20 yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia yang baru oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan yang bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak. Perkara 20 tersebut merangkumi Ketua Negeri, Bahasa Kebangsaan, Agama Islam, kedudukan istimewa penduduk asal negeri dan hal ehwal imigresen, kerakyatan, peruntukan kewangan dan pelajaran. Setelah bersetuju dengan syarat tersebut barulah penggabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak akan dilakukan.

3.0 Konflik Indonesia dan Filipina Terhadap Cadangan Pembentukan Malaysia

Walaupun dasar penggabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak telah dipersetujui namun pihak Indonesi dan Filipina tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Oleh hal yang demikian maka timbullah konflik di Indonesia dan Filipina terhadap hasrat gagasan Malaysia.
Pihak Indonesia telah berpendapat pembentukan Malaysia merupakan satu bentuk neokolonialisme baru yang bakal mengancam Indonesia.Tambahan pula, pada ketika itu peranan Parti Komunis Indonesia telah berjaya mempengaruhi Presiden Soekarno. Untuk itu, Indonesia yang pada asalnya tidak membantah, telah bertindak mengisytiharkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia dengan melancarkan konsep Ganyang Malaysia 1963. Mereka telah menghantar pengintip ke Tanah Melayu untuk merosakkan hasrat gagasan tersebut secara sulit. Tindakan melakukan serangan terhadap kapal-kapal nelayan dan pencerobohan ruang udara Tanah Melayu dilakukan melalui Johor, Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Indonesia bertindak memburuk-burukkan nama Malaysia di Negara Afro-Asia dan Negara Dunia Ketiga.
Untuk menghadapi ancaman Indonesia, Malaysia telah mendapatkan bantuan tentera Komanwel Britain, Australia, New Zealand dan Kanada. Tunku Abdul Rahman juga telah menghantar bantahan kepada Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Tun Abdul Razak pula telah mengadakan lawatan ke negara-negara Afrika untuk menjelaskan situasi yang sebenar tentangan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia.
Sama seperti kedudukan Indonesia, Filipina turut bertindak membantah pembentukan Malaysia. Menerusi Presiden Macapagal, Filipina telah bertindak menuntut hak ke atas Sabah yang didakwanya sebahagian daripada Kesultanan Sulu. Berdasarkan catatan sejarah Sabah telah dipajakkan oleh Sultan Jamalul Alam kepada Baron Von Overback pada 1878 yang kemudian menjualkan haknya kepada Alfred Dent yang menubuhkan syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Syarikat British Utara Borneo (SBUB) pada tahun 1881. Selepas Perang Dunia kedua, SBUB telah menyerahkan Sabah kepada British. Namun waris Sultan Sulu Sultan Ismail Kuram telah menamatkan pajakan tersebut pada 1958. Oleh sebab Kesultanan Sulu telah tamat dan sebahagiannya di bawah tadbiran Filipina, maka Filipina menganggap Sabah adalah sebahagian wilayahnya. Sehubungan dengan itu, Filipina telah menuntut Sabah dikembalikan kepadanya. Namun pada tahun 1966, Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia. Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju mengadakan rundingan dengan menubuhkan MAPHILINDO untuk menyelesaikan pembentukan Malaysia.


4.0. Kesimpulan
Kejayaan pembentukan Malaysia merupakan suatu cabaran untuk semua pemimpin Tanah Melayu ketika itu. Walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui namun atas kesabaran serta kesungguhan mereka, Malaysia telah berjaya dibentuk apabila mendapat sokongan yang padu daripada pemimpin-pemimpin dan parti-parti di Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun Singapura telah menarik diri pada tahun 1965, hasrat pembentukan Malaysia ini telah berjaya sehingga ke hari ini Malaysia telah maju dari segi politik, sosial dan ekonominya.



BIBLIOGRAFI

Ramlah bt Adam et.al (2007), Buku Teks Sejarah Tingkatan 5, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim bin Thukiman (2002), Malaysia : Perspektif Sejarah dan Politik ( Bab 16), Universiti Teknologi Malaysia : Skudai
Nik Anuar Nik Mahmud (1999), Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara, Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi
Mohammad Redzuan Othman et.al (2006), Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Universiti Malaya : Kuala Lumpur.
Portal 54 Tahun Sambutan Kemerdekaan (2012), Penubuhan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan kebudayaan : Kuala Lumpur.

Cabaran Profesyen Perguruan Pada Masa Kini

Ramai berpendapat secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan ‘jalan mati’ setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion guru. Namun sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di Negara kita seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik darjah dan sekolah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan, ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu (unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain), pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Oleh itu, secara lateralnya cabaran membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan sahaja dalam biik darjah namun di sekolah secara amnya.

Antara cabaran profesion guru di sekolah rendah ialah tugas seorang guru dalam menyampaikan pengajarannya dalam bilik darjah. Buat masa ini guru terpaksa menggunakan pendekatan, teknik dan kaedah yang terbaharu dalam sistem pendidikan yang diperkenalkan. Cara ‘chalk and talk’ bukan lagi suatu kaedah yang sesuai. Guru mesti menguasai kaedah pedagogi yang sinonim dengan pengetahuan sedia ada murid yang bersifat homogenius, menggunakan bahan bantuan mengajar yang sistematik. Apabila bahan bantuan mengajar digunakan guru terpaksa menggunakan teknologi terkini dengan sumber kewangan yang terhad. Kaedah berpusatkan murid mesti dilaksanakan dalam pengajaran seseorang guru. Guru kena berfungsi sebagai medarator yang berkesan. Pencapaian objektif mesti berbentuk eksplisit yang mampu merangsang murid memahami isi pembelajaran. Penilaian secara formatif perlu dilaksanakan. Oleh itu, secara keseluruhan sistem penyampaian guru dalam pembelajaran dan pengajaran bukan lagi berbentuk stereotaip tetapi berbentuk proaktif.

Persediaan seorang guru bukan lagi berbentuk nota atau ringkasan mengajar tetapi persediaan mengajar yang lengkap bermula daripada set induksi, perkembangan isi pengajaran, penilaian formatif dan kesimpulan yang dikaitkan dengan nilai. Unsur nilai tambah seperti pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, pembelajaran masteri dan kecerdasan pelbagai juga perlu diterapkan yang mempunyai kaitan dengan penyerapan dan penggabungjalinan dalam isi pengajaran. Untuk menghadapi cabaran ini seorang guru perlu menggunakan peluang kursus penambahbaikan pedagogi yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum Jabatan pelajaran dan Pusat Perkembangan Kurikulum. Penggunaan bahan autentik sebagai bahan bantu mengajar dapat menyelesaikan keperluan bahan bantuan mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Semua ilmu pedagogi yang diperoleh akan dapat dilaksankan dengan baik.

Selanjutnya, cabaran lain yang terdapat pada seseorang guru ialah seorang guru diberikan pelbagai jawatan yang bukan sepatutnya dilakukan oleh seseorang guru. Seorang guru terpaksa memegang beberapa potfolio dalam sesuatu jawatankuasa yang diwujudkan atas kapasiti yang tidak berkaitan dengan subjek yang diajar. Sebagai contoh, seorang guru yang sudah dilantik sebagai Ketua Panitia subjek terpaksa menjadi ahli untuk jawatankuasa bagi pengurusan Hal Ehwal Murid seperti Bahagian Perabot, Keceriaan dan Keselamatan sekolah serta Pengurusan Bangunan dan Pemuliharaan Bangunan dan pelbagai ini. Dengan kesibukan dalam menyediakan rancangan pembelajaran dan pengajaran dalam kelas serta menanda latihan murid seorang guru terpaksa menguruskan hal-hal yang sedemikian seperti sistem pemfailan, inventori, rekod kemas kini dan sebagainya yang perlu dilengkapkan dan diurus dengan baik. Cabaran ini kena dilaksanakan oleh guru bagi membantu proses pembangunan dan aset sekolah. Untuk mengatasi cabaran ini seorang guru perlu bijak mengagihkan masa semasa di sekolah iaitu menyampaikan isi pengajaran dan melakukan penandaan buku semasa di bilik darjah. Dalam proses tersebut guru perlu mengisi masa lapang atau masa tidak mengajar untuk melaksanakan sistem pendokumentasian tersebut. Justeru itu, seseorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan kerja-kerja samping tersebut. Kerangkaan kerja perlu disediakan dengan lebih detail beserta dengan senarai semak.

Di samping itu, cabaran berkaitan dengan penyediaan pelbagai dokumen yang terlalu rencam serta tidak melibatkan tugas utama seorang guru dalam pengurusan pembelajaran dan pengajaran (PNP) dalam bilik darjah. Seorang guru seolah-olah terpaksa menjadi kerani yang perlu mengisi pelbagai dokumen pengurusan pendidikan. Seorang guru terpaksa mengagihkan pinjaman buku teks, sistem maklumat murid, sistem kokurikulum sekolah dan borang-borang tertentu yang melibatkan murid yang langsung tiada kaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah. Kadang-kadang terdapat borang-borang yang terpaksa diisi secara ‘adhock’ dan perlu disegerakan. Tugas guru yang sepatutnya lebih kepada pengajaran dan mendidik telah lari daripada tugasan yang sebenar namun seorang guru perlu melakukannya bagi keperluan dalam pengurusan pentadbiran murid. Pendapat ini bersesuaian dengan kajian yang telah dikemukakan oleh Prof Dr Aminah Ayob Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim ( 2010 : Slide 21) dalam pembentangan kertas kerja Pendidikan Guru Profesional : Cabaran Masa Hadapan di Akademi Sains Malaysia menyatakan bahawa cabaran guru kini ialah terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian di samping menyampaikan isi pengajaran ketika mengulas satu artikel dalam suratkhabar. Justeru itu, untuk menghadapi cabaran seseorang guru perlu memegang beberapa jawatan yang bukan ada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dan penyediaan pelbagai dokumen, seorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan kerja-kerja samping tersebut. Takwim persekolahan mesti dikemas kini. Kerangkaan kerja dan masa perlu disediakan dengan lebih detail beserta dengan senarai semak. Patuhi jadual yang ditetapkan untuk memudahkan seorang guru bergerak. Semua hal tersebut akan dapat membantu seorang guru melaksanakan tugasnya.

Seterusnya, seorang guru juga terpaksa menghadapi cabaran yang melibatkan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya seperti Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dimulai pada tahun 2002.Walaupun dasar tersebut melibatkan guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik namun dasar tersebut tetap dirasai oleh seluruh warga sekolah. Pihak sekolah telah diarahkan untuk memastikan dasar tersebut berjalan. Akibatnya terdapat unsur-unsur yang cuba mendiskriminasikan subjek lain terutamanya bahasa Melayu seolah-olah bahasa Melayu bukan lagi bahasa pengantar dan merentasi kurikulum sekolah. Walaupun dasar ini tidak selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 namun pihak sekolah tetap melaksanakannya dengan matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah serta meningkatkan peratus sains dan matematik seperti suatu formula ‘tiga dalam satu’. Namun apabila kajian semula dilaksanakan atas persetujuan Mesyuarat Meja Bulat Kementerian Pelajaran Malaysia dasar ini telah bersetuju untuk diubah. Sekali lagi guru dihadapkan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kalau mengikut proses dasar ini melibatkan bahasa Melayu yang akan mengambil alih tempat bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Sains da Matematik secara proses ‘soft landing’. Dasar ini perlu dilaksanakan atas faktor yang dikemukakan dalam Buku Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris ( 2011:8 ) oleh Kementerian Pelajaran yang merasionalkan perubahan tersebut kerana berdasarkan kajian UNESCO yang menyatakan murid lebih mudah mempelajari pelajaran dengan menggunakan bahasa ibundanya dan profisiensi Bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik hanya sekitar 25% sahaja. Bagi menghadapi cabaran ini seorang guru perlu bersiap siaga dari segi mental dan fizikal kerana dasar yang sering berubah-uabh. Namun hal yang demikian ini, tidak menghalang seorang guru untuk mengikuti dan melaksanakan dasar tersebut mesti dilakukan hanya bermatlamat untuk kejayaan murid. Oleh sebab kerangka masa telahpun ditetapkan maka seorang guru akan akur dengan proses dan prosedur tersebut.

Tambahan lagi, cabaran lain yang perlu dihadapi oleh seorang guru ialah cabaran program-program kokurikulum wajib di sekolah yang mesti didedahkan kepada semua murid. Kokurikulum yang terdiri daripada persatuan dan unit uniform perlu diikuti oleh guru dan murid. Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan program yang berkaitan dengan sukan iaitu ‘Dasar 1 Murid 1 Sukan’.Dengan program tersebut ini bermakna tanggungjawab guru makin bertambah. Guru bukan sahaja perlu melaksanakan aktiviti kokurikulum namun pengisian aktiviti tersebut perlu ada perancangan yang lebih kemas kini. Bilangan hari yang perlu berkokurikulum pula telah bertambah dengan penyusunan oleh pihak pentadbiran kokurikulum iaitu Hari rumah sukan pada hari Isnin, 1 Murid 1 Sukan pada hari Selasa, Kegiatan kokurikulum pada hari Rabu dan latihan pasukan sekolah kokurikulum dan sukan pada hari Khamis. Hal ini menyebabkan seorang guru berada dari pagi hingga petang di sekolah selama 4 hari berturut-turut. Bagi menghadapi cabaran ini seorang guru perlu melaksanakan jadual yang berkala sifatnya iaitu pengagihan kerja mengikut giliran bertugas iaitu seorang guru hanya perlu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sebanyak dua kali berselang minggu.

Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang makin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, cabaran yang datang perlu disahut oleh seorang guru sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dan dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan walaupun sosiologi sekolah tidak memberangsangkan. Itu tugas dan tanggungjawab seorang guru di sekolah rendah.

























BIBLIOGRAFI
Aminah Ayob Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim ( 2010 : Slide 21) dalam Pembentangan Kertas Kerja Pendidikan Guru Profesional : Cabaran Masa Hadapan, Kuala Lumpur : Akademi Sains Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2007), Kamus Dewan Edisi Keempat , Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), Buku Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pena Cikgu (2011), Cabaran Seorang Guru dalam Blog Pena Cikgu, Malaysia.
Rosiah Othman (2012), Cabaran Seorang Guru dalam Blog Rosiah Othman, Pedas Negeri Sembilan.



Pengikut