Jumaat, 19 April 2013

Kerancuan Bahasa Melayu


1.0.                            Latar belakang

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang telah digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah sejak Dasar Pendidikan diperkenalkan pada tahun 1956 atau Penyata Razak 1956 sehingga kini. Seterusnya Bahasa Melayu turut dijadikan bahasa wajib lulus dalam peperiksaan dan akhirnya berkembang menjadi suatu bahasa pengantar bagi aliran sekolah rendah dan menengah. Dengan pengukuhan bahasa Melayu melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 kedudukan bahasa Melayu telah diperkemas secara menyeluruh dengan memantapkan struktur sebutan, ejaan peristilahan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasanya yang menyebabkan bahasa ini juga mengalami proses perkembangan dan asimilasi sama seperti bahasa lain yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang standard yang digunakan dalam bentuk lisan atau penulisan. Walaupun bahasa Melayu telah mengalami proses tersebut namun bahasa ini tidak terkecuali daripada kerancuan atau pencemaran bahasa yang telah digunakan secara lazim oleh kebanyakan masyarakat. Murid-murid sekolah tidak terkecuali menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul atau rancu. Kadang-kadang bahasa Melayu yang mereka gunakan nampak betul tetapi apabila dikaji dengan mendalam sebenarnya banyak penggunaan bahasa tersebut salah dan tidak betul struktur dan penggunaannya.  Hal ini berlaku kerana terdapat beberapa pengaruh yang menyebabkan berlakunya sedemikian.

 2.0.         Definisi Konsep

Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 ), telah menjelaskan bahawa kata ‘rancu’ ialah tidak teratur, campur aduk, kacau (bahasa) kekeliruan serta mentakrifkan perkataan kerancuan sebagai             keadaan rancu ( tidak teratur dsb  [maksud imbuhan ke__an itu sendiri yang bermaksud keadaan atau ciri rancu] ), kekacauan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak betul. Dr. Nik Safiah Karim ( 1986) pula,  pencemaran bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Berdasarkan pendapat di atas dapatlah disimpulkan bahawa definisi kerancuan bahasa ialah kekacauan bahasa akibat kekeliruan oleh pengguna bahasa. Perkataan-perkataan yang sinonim dengannya ialah kecelaruan, kesalahan dan kesilapan dalam penggunaan bahasa dalam bentuk berkomunikasi dan penulisan bahasa Melayu. Kerancuan yang sering berlaku termasuklah kerancuan daripada aspek sebutan, ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa.


3.0.      Faktor-faktor Berlakunya Kerancuan Bahasa Melayu.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada kerancuan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid. Jika dahulu kerancuan bahasa ini hanya dipengaruhi oleh bahasa ibunda , dialek / bahasa daerah dan bahasa Inggeris, sejajar dengan perkembangan masa yang terus berkembang peranan media massa, bahan cetak dan peningkatan teknologi telah menyebabkan kerancuan bahasa Melayu ini makin meluas dalam kalangan murid-murid di sekolah.

3.1.      Pengaruh bahasa ibunda.

Kerancuan bahasa Melayu berlaku kerana terdapat pengaruh bahasa ibunda yang digunakan oleh murid-murid di sekolah. Bagi murid Melayu kesalahan tersebut kurang ketara berbanding murid bukan Melayu. Satu daripada kesalahan umum murid bukan Melayu ialah kegagalan mereka mengenali perbezaan antara bunyi é dan e semasa membaca dan menulis. Sebagai contoh perkataan homonim iaitu kata yang sama ejaan dan / atau sama sebutannya tetapi mempunyai makna yang berbeza. Contohnya :

            perak ( logam )            :           perak ( terpinga-pinga )
                        semak ( kaji )               :           semak ( kusut )
                        perang ( warna )          :           perang ( gaduh )
                       sepak ( tampar )           :           sepak ( tendang )
 
Abdullah Hassan (1980) berpendapat bahawa perbezaan antara ‘sepak’ dan ‘sépak’ adalah jauh berbeza. Begitu juga kebanyakan murid bukan Melayu terutama murid  Cina tidak dapat menyebut bunyi sengau lelangit keras ny dan lelangit lembut ng dengan tepat. Oleh sebab ejaan setiap bunyi itu mempunyai dua lambang maka ramai yang menyebutnya sebagai dua bunyi. Dalam hal ini, kadang-kadang berlaku juga kesalahan kepada murid Melayu dan India.Kesalahan tersebut sering terjadi apabila huruf gabung ny diucapkan sebagai dua bunyi iaitu n dan y  seperti dalam banyak  atau ban-niak  (sepatutnya ba-nyak ), ( ni-a-muk atau n-ya-muk sepatutnya nya-muk ) dan kun-ning     ( sepatutnya ku-ning ) Dalam hal ng juga, n diasingkan daripada g seperti dalam ung-gu atau un-gu (sepatutnya u-ngu), tan-gan (sepatutnya ta-ngan ) dan pengan-kap ( sepatutnya        penga-kap). Akibat pengaruh bahasa ibunda ramai murid gagal menyebut perkataan-perkataan di atas dengan betul.
 
3.2.      Pengaruh bahasa dialek / daerah

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) telah menyatakan  dialek (dialék) bermaksud               satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-lain lagi. Pemilihan kepada penggunaan bahasa daerah boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Jika kita lihat di sekolah,        guru-guru gemar mengambil jalan mudah dan cenderung menggunakan bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa pengantar dengan alasan murid lebih mudah memahami sesuatu yang disampaikan oleh guru dan suasana pengajaran akan bersifat menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi kemesraan antara guru dan murid.

Namun, tanpa disedari sikap ambil mudah ini akan melahirkan murid-murid yang lemah dalam penguasaan  
bahasa. Bagi murid-murid pula kerana bahasa dialek / daerah ini sudah menjadi bahasa pertama yang mereka perolehi dari rumah maka dalam pertuturan seharian mereka akan menggunakan bahasa tersebut. Sebagai contoh bahasa dialek Perak seperti wanita itu idak perasan ada orang mengikutinya  ( sepatutnya wanita itu tidak sedar ada orang yang mengikutinya ), Dia orang ( deme ) tahu bahaya tapi masih pakei barang kemes ( sepatutnya mereka mengetahui bahaya tetapi masih lagi memakai barang kemas ) dan orang rame yang buat hel masing-masing ( sepatutnya orang ramai melakukan hal mereka masing-masing ). Begitu juga murid cina yang terpengaruh dengan dialek cina seperti Aku talak tau mahu jawab soalan kamu ma (sepatutnya saya tidak tahu hendak menjawab soalan kamu) dan Susah ma sebab talak olang mau tolong ( sepatutnya susah kerana tiada orang yang hendak menolong).

 3.3.      Pengaruh bahasa asing.

Pengaruh bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris juga merupakan faktor murid bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu yang salah penggunaannya. Kesalahan ini berlaku kerana penggunaan istilah yang tidak tepat. Sebagai contoh, oleh sebab begitu ghairah untuk menggunakan bahasa Inggeris, maka banyak perkataan Inggeris telah cuba dimelayukan. Perkataan bajet misalnya, diambil daripada perkataan Inggeris budget dengan alasan lebih tepat. Alasan yang dikemukakan ialah perkataan belanjawan membawa makna yang negatif, iaitu orang yang suka berbelanja. Begitu juga pembelajaran dan pengajaran guru yang lebih mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti dalam pengajaran Matematik dan Sains. Walaupun terdapat bahasa Inggeris yang telah distandadisasikan kepada bahasa Melayu iaitu menjadi kata pinjaman namun terdapat penggunaan sebutan dan ejaan yang salah. Sebagai contoh

3.3.1.      ‘e’ pepet tidak boleh disisipkan antara dua konsonan yang bergugus.
 

         BI                                   BM Betul                    BM salah
                  Brake                                brek                             berek
                  Clinic                                klinik                           kelinik
                 Project                              projek                          perojek
                 Tragedy                            tragedi                         terajedi


3.3.2.      Ejaan huruf gugus konsonan di akhir kata.

3.3.2.1.Bentuk ‘-nce’ ditukar kepada ‘-ns’ atau ‘-n’. Contohnya :     Insurans , ambulans, sains, elaun, lesen, ordinan
3.3.2.2.Bentuk ‘-rd’  ditukar kepada ‘rd’ atau ‘d’. Contohnya : Kastard, standard, rekod, kadbod
            poskad, wad
3.3.2.3.Bentuk ‘-rt’ ditukar kepada  ‘-rt’ atau ‘-rta’. Contohnya: Eksport,  import , konsert, skirt,
            carta
3.3.2.4.Bentuk ‘-rm’ ditukar kepada ‘-rm’ atau ‘-rma’. Contohnya: Kloroform, platform, firma,
           norma

3.3.2.5.Bentuk gugus konsonan akhir seperti ‘-t’ , ‘-d’ , ‘-p’  atau ‘-b’ digugurkan digantikan dengan ‘-k’ , ‘-s’ , ‘-p’ , ‘-m’ atau ‘-f’. Contohnya :

-ct                    è        k :        projek, dialek, produk
            -nt                    è        n :        akaun, simen, sarjan
            -st                    è        s :         pos,  Ogos,  nasionalis
           -pt                    è        p :        konsep, skrip, bankrap
          -mp                  è        m:        setem, kem
          -mb                  è        m:        bom
           -nd                   è        n:         paun,  dividen,  bon
           -ft                    è        f:          lif,  overdraf


3.4.      Pengaruh Teknologi.

Seiringan dengan peningkatan zaman moden, pelbagai teknologi telah digunakan. Sekarang masyarakat mudah berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan sistem yang baik seperti laman interaksi menggunakan media sosial seperti ‘facebook’ , blog dan twitter atau menggunakan telefon bimbit. Kebanyakan medium bahasa yang digunakan bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hal yang demikian telah menimbulkan kecelaruan atau kekeliruan serta kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa singkatan yang berleluasa dalam laman sosial seperti ‘facebook’ dan sistem pesanan ringkas ( bahasa ‘sms’) telah menyebabkan bahasa Melayu menjadi bahasa rojak kerana  bahasa Melayu telah digunakan secara salah dari aspek ejaan, pemilihan kata  dan strukutur ayatnya. Sebagai contoh laman ‘facebook’ di bawah ini.

 

·         TRICK TOPUP FREE..!!
Ak dpt dri kwn ak yg keje kt kdai hp..puas ak pjuk,,akhrnye dia bgtau ak cmane cra nk reload dgn free.. Jd,,lps ni..xpyh la korg sushkn dri g kdai utk reload... Reload ni adlh sah dcc undang2.. Reload ni utk no 012,013,014,016,017,018,019,010 dan 0111..Ok..baca ktrangn dbwh ni dan fham btol2... Cra ni hny boleh dgunakn pd 20-30hb pd stiap bulan shaja..sbb mse 2 diorg tgh upgrade talian..pda pgguna 013,014,019,010 dan 0111..dail 1415007, utk pgguna 012,016,017,018...dail 1465653 dan tggu slpas korg dgr bunyi "tut,tut" hilang..pstu dail 1313 dan tggu skajp dan msukkn no hp korg..nnti dgr dye ckp "please insert your pin number"..haaa pstu korg msukknla no ni 011784613312550788755400001..tggu smpai dye kte no pin slesai...lps tu, dail 5546 utk smenanjung dan 8081 utk sabh dan srawak..nnti korg dgr "for airtime topup press 961691"...lps tkan no tu,, tkan no hp skali lgi dan tggu smpai bunyi "tuttt" hbis... Pstu tkan 25510054 diikuti 6913...lps tu korg dgr "your pin number is accept"..pstu tkan 1107 dan dgr "your key number is accept"..pstu korg tkan 6455 dan dgr " your password is accept" pstu tkan no hp korg skali lgi dan dgr "kepala hotak kau brjmbul..zman skarg ni mna ad free...msuk toilet pn kna byr".. Pstu korg trus end call.

Top of Form

Sharifah Syafiqah adoi..dh semngat dh nk topup nie!!! siva!! i kill u!! hahahahahaa

Siva Kumar ‎;P biasa thane Meiyo Kalai...

Siva Kumar hahaha... mle2 ak pn mmng rse mcmt Sharifah Syafiqah.. ^^
 

3.6.      Pengaruh majalah, cerpen dan novel.
Selain daripada penggunaan teknologi, pengaruh bahan-bahan cetakan dan bacaan yang kadang-kadang bersifat picisan juga telah berjaya mempengaruhi murid-murid menggunakan bahasa Melayu rancu. Terdapat banyak kesalahan bahasa yang digunakan oleh penulis atau pengarang, untuk menjadikan bahasa Melayu yang digunakan dalam majalah, novel dan cerpen semata-mata untuk melahirkan bahasa yang digunakan menarik dan sesuai dengan bahan yang hendak ditulis namun mengenepikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dari aspek pemilihan kata dan tatabahasanya. Secara tidak langsung apabila bahasa Melayu yang digunakan salah maka hal ini akan digunakan pula oleh murid-murid yang menyangka bahawa bahasa yang digunakan oleh pengarang atau penulis itu betul. Sebagai contoh pemilihan kata sinonim  iaitu perkataan yang mempunyai maksud dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama tetapi berlainan konteksnya. Pemilihan sinonim dan kesinoniman dalam ayat mestilah betul berdasarkan pemilihan konteks, rujukan, leksikal dan makna. Sebagai contoh perkataan ‘bawa’ berdasarkan sinonim  junjung è    di kepala, pikul è di bahu, kelek è rapat ke dada, julang è ke atas, galas è di belakang badan, tatang    è di tangan, kandar è di kedua-dua bahu dan kepit è di ketiak.
            Kesalahan yang paling banyak terdapat dalam majalah, cerpen dan novel ialah kesalahan tatabahasa dari aspek penggunaan kata, frasa dan ayat. Sebagai contoh, kesalahan penggunaan kata tersebut ialah kata ganti nama diri ‘ia’ hanya untuk manusia dan tidak boleh digunakan untuk rujukan kepada benda, konsep dan binatang. Sebagai contoh perabot ini sangat mahal kerana ia diimport dari Itali ( sepatutnya perabot ini sangat mahal kerana diimport dari Itali). Begitu juga dalam ayat Pembunuh itu ditangkap. Ianya akan didakwa di mahkamah esok.  (sepatutnya Pembunuh itu ditangkap. Ia akan di dakwa di mahkamah esok) ianya’ adalah tidak wajar kerana kedua-dua perkataan itu terdiri daripada kata ganti nama diri ketiga. Contoh-contoh lain ialah kesalahan penggunaan kata ‘dari’ dan ‘daripada’. seperti ayat Dia berjalan kaki daripada Kota Tinggi ( sepatutnya Dia berjalan kaki dari Kota Tinggi ), Saya menantinya daripada pukul dua petang ( sepatutnya Saya menantinya dari pukul dua petang ), Kain itu dibuat dari sutera. ( sepatutnya Kain itu dibuat daripada sutera), Surat itu saya terima dari abang ( sepatutnya Surat itu saya terima daripada abang ) dan Kumpulan itu terdiri dari 10 orang pelajar.( sepatutnya Kumpulan itu terdiri daripada 10 orang pelajar ). Berlaku juga kesalahan penggunaan kata pemeri seperti Ahmad adalah guru ( sepatutnya Ahmad ialah guru ), Keputusan pengadil itu ialah tidak adil ( sepatutnya Keputusan pengadil itu adalah tidak adil ), Dia adalah merupakan perancang utama projek itu ( sepatutnya Dia merupakan perancang utama projek itu ) dan Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong  itu akan diadakan esok. ( sepatutnya Sukacita dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan diadakan esok.)
Terdapat juga kesalahan dalam penggunaan frasa seperti penggunaan kata adjektif yang diulang iaitu dalam ayat Baju-bajunya cantik-cantik. ( sepatutnya Baju-bajunya cantik ) dan Rumah-rumah di kawasan itu besar-besar ( sepatutnya Rumah-rumah di kawasan itu besar ).Begitu juga penggunaan hukum DM selalu berlaku kesalahan seperti mini bas ( sepatutnya bas mini ), goreng pisang ( sepatutnya pisang goreng ) dan cili sos ( sepatutnya sos cili ).
Kesalahan yang lain yang dapat diteliti ialah kesalahan frasa kerja iaitu peluasan frasa kerja tak transitif seperti ayat  Dia terlupa janjinya (sepatutnya Dia terlupa akan janjinya), Pasukan Malaysia bertemu pasukan India (sepatutnya Pasukan Malaysia bertemu dengan pasukan India ) dan Dia bertanya saya ( sepatutnya Dia bertanya kepada saya ). Kesalahan Peluasan frasa kerja tak transitif dalam ayat mesti disisipkan dengan kata sendi seperti penggunaan frasa kerja tak transitif  imbuhan apitan ‘beR----kan’. Ayat menjadi salah jika disisipkan kata sendi antara kata kerja tak transitif berimbuhan ‘beR---kan’ seperti ayat Dia tidur dengan berbantalkan dengan lengan ( sepatutnya Dia tidur berbantalkan dengan lengan ) dan Penjahat itu bersenjatakan dengan sepucuk pistol (sepatutnya Penjahat itu bersenjatakan sepucuk pistol). Berlaku juga kesalahan frasa kerja transitif berlaku apabila disisipkan kata lain antara kata kerja transitif dengan objek seperti ayat Mereka membincangkan tentang perkara itu ( sepatutnya Mereka membincangkan perkara itu ), Dia belum mengetahui akan hal itu (sepatutnya Dia belum mengetahui hal itu ) dan Mereka akan mendalamkan lagi sungai itu  ( sepatutnya Mereka akan mendalamkan sungai itu lagi ). Terdapat juga kesalahan frasa kerja pasif bentuk frasa kerja pasif kata ganti diri I dan II tidak boleh disamakan dengan bentuk frasa kerja pasif kata ganti diri III. Hal ini kerana kata ganti diri  I dan II mesti hadir di hadapan kata kerja dalam ayat seperti ayat Jambangan itu digubah oleh saya ( sepatutnya Jambangan itu saya gubah ), Baju itu ibu jahit  ( sepatutnya Baju itu dijahit oleh ibu ) dan  Meja-meja itu disusun oleh kami (sepatutnya Meja-meja itu kami susun ). Seterusnya kesalahan frasa kerja pasif diri I dan II tidak boleh disisipkan dengan kata lain antara kata nama dan kata kerja seperti ayat Tempat itu saya belum kunjungi lagi ( sepatutnya Tempat itu belum saya kunjungi lagi ) dan Buku itu anda mesti pulangkan ( sepatutnya Buku itu mesti anda pulangkan ).
 
4.0.      Langkah-langkah yang diambil untuk membantu murid-murid menguasai Bahasa Melayu Standard.
      Bahasa Melayu standard merupakan bahasa Melayu yang telah mengalami tranformasi dan asimilasi serta terus berkembang sehingga sekarang dari aspek sebutan, ejaan, peristilahan, kosa kata, semantik , tatabahasa dan laras bahasa. Inilah hasil perjuangan oleh pakar-pakar bahasa dan linguistik  Melayu setelah bahasa Melayu diangkat dan dimartabatkan oleh pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh bahasa yang lalu sehingga menjadi bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar wajib di sekolah-sekolah.  Justeru, langkah-langkah yang konsisten perlu diambil untuk membantu murid-murid menguasai bahasa Melayu standard ini seterusnya dapat mengelakkan dan membetulkan kerancuan bahasa Melayu
Antara langkah untuk membantu murid-murid bagi tujuan tersebut, guru boleh menggunakan modul dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu.Menurut Kamarudin Haji Husin et. Al (1998) modul merupakan strategi pembelajaran dan pengajaran yang berpusatkan bahan bersifat pukal yang melibatkan bahan-bahan bercetak dan pembelajaran yang terancang. Melalui modul ini satu unit pembelajaran yang sempurna ataupun satu topik dapat diajarkan kepada murid tanpa bimbingan dan penyeliaan guru. Modul tersebut hendaklah mengandungi isi kandungan pembelajaran bahasa Melayu standard, latihan bertopik dan ujian pra dan pos yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu standard. Semua aspek kandungan dan kemahiran berbahasa dimasukkan dan digunakan oleh semua murid. Modul ini juga boleh digunakan dalam kelas, di luar waktu biasa atau dibawa balik ke rumah. Oleh itu, melalui modul ini ujian pra dan ujian pos membolehkan murid mengukur prestasi mereka juga. Dalam masa yang sama murid-murid akan diminta oleh guru untuk membina folio bahasa Melayu sama seperti modul tersebut. Justeru, kemahiran dan penguasaan berbahasa murid dapat ditingkatkan.
Di samping itu, guru juga perlu menyediakan buku-buku rujukan dan bahan bacaan bahasa Melayu yang berilmiah kepada murid-murid. Bahan-bahan bacaan picisan dan yang tidak berinformasi  hendaklah dielakkan. Melalui  program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM), guru sepatutnya membimbing murid-murid memilih bahan bacaan yang betul-betul sesuai dengan aras kognitif mereka. Guru juga menggalakkan murid-murid memilih bahan-bahan cetakan seperti surat-surat khabar, majalah, cerpen dan novel yang menggunakan bahasa Melayu standard. Dalam hal ini juga guru perlu membekalkan mereka dengan Kamus Dewan, Buku Sistem Ejaan Rumi terkini dan buku tatabahasa terbaharu sebagai bahan rujukan tambahan bagi membantu mereka meluaskan pembacaan secara ektensif agar dapat murid-murid meningkatkan penguasaan sebutan,ejaan, pemilihan diksi, kosa kata dan tatabahasa serta laras bahasa . Seterusnya murid-murid juga diminta menulis atau membuat laporan daripada program yang dilaksanakan tersebut. Dengan cara itu murid-murid dapat dapat menguasai bahasa Melayu standard dengan baik.
Selanjutnya, langkah yang perlu diambil guru untuk membantu murid-murid meningkatkan penguasaan bahasa Melayu standard, guru  perlu mempelbagaikan pendekatan, kaedah dan bahan bantuan mengajar semasa mengajar mata pelajaran bahasa Melayu. Dalam hal ini , bahan berbentuk interaktif yang berbantukan komputer dalam pembelajaran dan pembelajaran bahasa Melayu standard boleh dilaksanakan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) menyatakan bahawa interaktif ialah (komp) membolehkan pengaliran maklumat dua hala yang berterusan antara komputer dengan penggunannya atau antara pengguna dengan pengguna melalui komputer. Guru perlu memilih bahan interaktif yang sesuai dan betul berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu standard. Guru seharusnya membimbing murid-murid melayari laman web, menggunakan blog-blog dan media sosial untuk mencari informasi berkaitan dengan bahasa Melayu standard. Setelah mendapatkan maklumat tersebut guru boleh meminta murid mencetak dan mengumpulkannya bahan tersebut untuk dijadikan bahan rujukan melalui pembikinan buku skrap bahasa Melayu standard atau dijilidkan menjadi buku. Buku tersebut disimpan di suatu sudut bacaan sebagai bahan ulang kaji.
Tambahan lagi, untuk meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Melayu standard guru juga perlu mempelbagaikan teknik  pengajarannya. Dalam pembelajaran dan pengajaran di kelas banyak teknik yang boleh guru laksanakan yang ada kaitan dengan bahasa Melayu standard seperti teknik lakonan, teknik bertemu ramah, teknik syarahan, teknik perbualan dan permainan bahasa. Melalui semua teknik ini guru menyampaikan isi pengajaran bahasa Melayu  dengan menggunakan bahasa Melayu baku iaitu baku dalam sebutan, struktur ayat yang gramatis, tatabahasa dan laras bahasa yang standard. Dengan itu murid akan faham cara untuk menggunakan bahasa Melayu standard yang betul dalam proses perbualan dan bekomunikasi, yang akhirnya membantu mereka menggunakan bahasa Melayu standard dalam penulisan.
 
Seterusnya, langkah yang boleh diambil oleh guru adalah dengan mengadakan aktiviti-aktivi kebahasaan bahasa Melayu standard. Guru perlu melaksanakan aktiviti bulan bahasa bahasa Melayu bersesuaian dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melaksanakan aktiviti bulan bahasa Kebangsaan pada bulan September setiap tahun. Guru hendaklah merangka aktiviti yang boleh merangsang minat murid untuk menguasai bahasa Melayu standard ini seperti pertandingan sahibba, forum remaja, perbahasan bahasa Melayu Ala Parlimen, teka silang kata dan kuiz bahasa Melayu. Bagi setiap pertandingan guru turut menyediakan hadiah yang menarik sebagai ganjaran. Melalui pertandingan tersebut murid-murid akan lebih rajin dan tekun untuk membuat ulang kaji dan rujukan bagi mengambil bahagian dalam aktiviti kebahasaan ini. Minat murid akan bertambah. Secara tidak langsung penguasaan mereka dalam bahasa Melayu standard terutama ejaan, kosa kata , tatabahasa dan laras bahasa bahasa Melayu dapat ditingkatkan.
 
Di samping itu,  guru juga perlu mewujudkan suatu sudut bahasa Melayu standard sama ada di dalam kelas ataupun mewujudkan bilik bahasa Melayu.Sudut atau bilik ini dilengkapkan dengan alat pandang dengar, bahan-bahan bacaan bercetak, buku skrap, modul-modul bahasa Melayu dan bahan-bahan bacaan dan interaktif untuk digunakan oleh murid-murid. Sudut atau bilik ini juga berfungsi sebagai bilik pembelajaran kendiri murid (SAL). Murid-murid diberi kelonggaran untuk menggunakan sudut atau bilik dan bahan tersebut dalam tempat tersebut sahaja. Guru turut menyuruh murid membuat catatan dan membuat laporan tentang penggunaan sudut atau bilik bahasa tersebut, Sudut atau bilik ini hendaklah dikemas dan dihias untuk menarik minat murid mengunjunginya. Guru seharusnya memastikan bahan-bahan dan peralatan yang ada di sudut atau bilik tersebut mencukupi dan baik. Melalui sudut atau bilik ini, murid-murid dapat belajar bahasa Melayu standard secara kendiri dan berhemah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu standard mereka.
Kesimpulannya, melalui aktiviti kurikulum  dan kokurikulum  akademik sokongan bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh guru sama ada dalam atau luar bilik darjah sebenarnya dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu standard murid. Guru hanya perlu bertindak dan mengusahakan beberapa langkah yang berkesan dan baik untuk mencapai tujuan tersebut.
 
Bibliografi
Abdullah Hassan (1987). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Asraff (1988). Sebutan Baku Bahasa Melayu Berdasarkan Prinsip Fonemik, Petaling Jaya : Sasbadi Sdn Bhd.
Aawang Sariyan (1995). Sebutan Baku dan Ejaan Rumi, Sealangor Darul Ehsan: Synergymate Sdn. Bhd
Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), Kamus Dewan Edisi Keempat, Hulu Klang : Dawama Sdn Bhd
Farid M.Onn dan Ajid Che Kob (1981) Pengaruh Bahasa Daerah Dalam Proses pembelajaran Bahasa Malaysia di Kalangan Pelajar-Pelajar Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi
Kamarudin Hj Husin dan Siti Hajar Hj Abdul Aziz (1998) Kaedah Mengajar Bahasa Melayu, Serdang : Universiti Putra Malaysia.
Nik Safiah Karim (1986), Bahasa Melayu Persoalan dan Pergolakan, Kuala Lumpur : Gateway Publishing House Sdn Bhd.
 

Sabtu, 6 April 2013

Soalan Bahasa Melayu Kertas 2 Ujian Pertengahan Penggal 1 Tahun 2013


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

 Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan makan bersama-sama dengan keluarga dan halangan untuk mengamalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Budaya makan bersama-sama dengan keluarga kini semakin kurang diamalkan. Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Malangnya, anak-anak zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amat sukar untuk mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang namun kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.

 Ketika makan bersama, ibu bapa dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Hal ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan banyak minum air kosong. Kalau diperhatikan, adab ketika di meja makan kini semakin hilang, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Anak-anak lebih gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen. Jika menjamu selera di meja makan, ada anak-anak yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran ataupun bermain permainan komputer. Ketika inilah ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Adab-adab berkenaan, termasuklah mengajar anak-anak menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk, makan secara beradab, serta melatih mereka mengemas meja selepas makan.

 Waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Ketika makan, ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik di sekolah, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau rakan-rakan rapat mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat mengesan pergerakan harian anak-anak, terutamanya yang sudah masuk usia remaja. Kajian juga menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil minuman keras, penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas.

Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan belajar. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti berlaku. Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah.

(Dipetik dan diubah suai daripada
Amalan Makan Bersama ’,
Harian Metro, 21 Mac 2012)

 
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
 
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata kesejahteraan minda.
[2 markah]

(ii)        Apakah tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak ketika makan?
[3 markah]
 

(iii)       Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga?
[4 markah]
 
 
Soalan 2 (b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan puncanya daripada Ceper itu juga. Kali ini bukan kerana banjir yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan memanjang sampai berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja untuk menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering itu pun kering juga.

Sungai Ceper semakin hari semakin tohor sehingga air sampai paras buku lali. Ikan-ikan terperangkap dan banyak yang mati kerana tidak boleh main air lagi. Sungai menjadi busuk kerana najis tidak boleh mengalir. Hendak mandi menyelam kepala dalam-dalam pun tidak boleh lagi kerana air Ceper betul-betul tohor.

Ibu mengamuk juga. Dia maki-maki Ceper yang boleh jadi begitu sehingga menyusahkan semua. Baruh habis kering. Padi pun kecut di dalam sawah. Yang sudah menguning boleh jadi tahan-tahan sampai benar-benar tunduk. Tetapi banyak yang belum masuk isi habis kering dan mati menjadi jerami begitu sahaja. Yang kuning pun nampak saja besar biji-biji padinya, tetapi banyak yang hampa kerana kemarau panjang sangat dan air Sungai Ceper tidak boleh menolong langsung.

( Dipetik daripada "Ibu dan Ceper"
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i)         Bagaimanakah keadaan Sungai Ceper apabila dilanda kemarau panjang?
[2 markah]

(ii)        Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak apabila bencana alam melanda?
[3 markah]

(iii)       Huraikan satu persoalan daripada petikan dan satu persoalan daripada keseluruhan cerpen ini. 
[4 markah]

 
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Alkisah, maka tersebutlah perkataan Raja Kedah berkelahi dengan saudaranya di dalam negeri Kedah. Kemudian saudaranya yang tua Raja Kedah itu berkirim surat pula menyilakan Opu Daeng yang berlima bersaudara, silakan ke Kedah.

Maka tiada berapa antara maka muafakatlah Opu Daeng yang berlima bersaudara itu. Maka bersiaplah masing-masing dengan kelengkapannya serta dengan kenaikannya sebuah seorang.

Maka sampai waktu ketika yang baik, maka dilangkahkan dengan langkah rijalul ghaib. Maka belayarlah ke negeri Kedah. Serta sampai dipanggil oleh Yang Amtuan Raja Kedah masuk ke dalam kota. Maka berjumpalah dengan Yang Amtuan Kedah. Maka berjamu-jamulah santap nasi. Telah sudah santap air panas, maka Raja Kedah pun berkhabarlah, “Minta tolong perang, kerana saya berkelahi dengan saudara saya sebab berebutkan kerajaan.”

Khabar Raja Kedah, “Jikalau menang saya perang, saya berilah Opu Daeng yang berlima bersaudara, saya berilah seorang lima belas bahara.”

Kemudian dijawab oleh Opu Daeng, “Khabar Raja Kedah itu, saya minta cap tandatangan, dan mana-mana sekalian orang dagang yang datang dari Timur ada di dalam negeri Kedah ini dan seperti Bugis dan Mengkasar dan Mandura semuanya itu diserahkan kepada saya perintahnya.”
 
(Dipetik daripada
Hikayat Opu Daeng Menambun
alam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

 
(i)               Mengapakah Opu Daeng dan saudara-saudaranya diutus supaya datang ke Kedah oleh Raja Kedah?
[2 markah]


(ii)             Nyatakan perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak sekiranya Raja Kedah berjaya mencapai hasratnya untuk memerintah negeri Kedah.
 [3 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, apakah kepentingan sesuatu perjanjian. 

Berikan dua kepentingan.
[3 markah]

 Soalan 2(d) - Petikan Puisi  

Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.  

PANTUN LAPAN KERAT

                                   Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;

Biarlah sabar dalam perlahan,
Itulah tanda tuan beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;

Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ketujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;

Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.
 

( Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka )
 

(i)                 Berdasarkan rangkap pertama, nyatakan sifat-sifat orang yang beriman.

[2 markah]
 
(ii)             Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan generasi baharu mudah terpengaruh oleh budaya Barat?

Berikan dua faktor.
[4 markah] 

(iii)             Jelaskan mesej yang hendak disampaikan berdasarkan pantun di atas.
[ 3 markah ]

 

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a)      Tulis dua ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)                 badan

(ii)               dasar

(iii)             rendah
 [ 6 markah ]
 
(b) Tukar ayat susunan songsang di bawah kepada ayat susunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.


(i)                 Tersusun kemas alat-alat pertukangan di dalam bengkel itu.

(ii)               Perlu kita tamatkan sahaja perlawanan bola sepak ini kerana hujan makin lebat.

(iii)            Akan menerima hadiah utama sesiapa sahaja yang meneka kedudukan bola dengan     tepat. 

 [ 6 markah ]


(c)    Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan   penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

           (i)        Pekerja salun itu telah mencucikan rambut adik yang kerinting mewarnakannya.
           (ii)        Kehilangan anak sulong Puan Rahimah sejak seminggu lalu dirisaukan ahli
                        keluarganya.

(iii)      Kerim muka yang digunakan oleh kakak mudah mendapatkan di pasar raya seluruh negara 
                                                                                                                  [ 6 markah ]
(d)    Dalam setiap ayat di bawah  terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

 (i)               Sebagai pelajar, kita mesti tabah merempuh segala cabaran agar berjaya di masa hadapan.

(ii)               “Pembinaan Planetarium Negara merupakan penanda kemajuan dalam bidang kajian angkasa raya yang dibanggakan oleh kami, “ kata kumpulan pelajar itu.

(iii)             Kerajaan berusaha meninggikan bahasa Melayu melalui inisiatif memperkasakan penggunaan bahasa ini dalam berbagai sektor.

[6 markah]

(e)        Baca petikan di bawah ini dengan teliti kemudian nyatakan tiga peribahasa yang sesuai dengan situasi-situasi dalam petikan tersebut.

             Peraturan sekolah yang menetapkan para pelajar supaya datang awal ke sekolah tepat pada masanya bertujuan untuk melatih pelajar dalam aspek pengurusan masa. Amalan ini kemudiannya akan menjadi kebiasaan dalam kehidupannya, iaitu membahagikan masa untuk menelaah pelajaran dan menjalankan akiviti lain. Segala kerja sekolah yang diberikan akan diselesaikan dengan sempurna dan mereka sentiasa memotivasikan diri sendiri untuk mencapai keputusan terbaik.

 [6 markah]

Soalan 4: Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah  berdasarkan novel-novel yang berikut.

(ii)          Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah

(iv)        Kembara Amira karya Amer Hamzah L.Kadir

(a)     Huraikan dua persoalan ketabahan yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.
[7 markah]

(b)     Jelaskan satu persamaan watak utama yang terdapat dalam dua buah novel yang telah anda kaji.                                                                                                                 
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Pengikut