Rabu, 18 April 2012

Faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan Kesultanan Melayu Melaka dan faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya. Suatu penilaian kritis.

1.0. Latar belakang
Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara pada sekitar tahun 1400. Apabila Parameswara telah berjaya membentuk Melaka baginda telah menyususn strategi seperti sistem pemerintahan yang teratur, menjadikan Melaka bandar pelabuhan , hubungan diplomatik serantau dan antarabangsa diwujudkan. Melalui konsep ‘ikatan daulat’ baginda telah berjaya membangunkan Melaka bersama-sama dengan pembesar yang lain, bantuan orang Laut, orang Melayu, dan orang Asli. Melaka telah menjadi negara Islam setelah Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dengan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Syah. Kegemilangan Melaka terus dilakukan oleh pemerintahan selepas Sultan Iskandar Syah terutamanya semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah. Kesultanan Melayu Melaka ini telah berjaya bertahan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas kepada Portugis pada tahun 1511 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

2.0 Faktor-Faktor Perkembangan Kesultanan Melayu Melaka
Perkembangan Kesultanan Melayu Melaka dapat dilihat sejak bermulanya pemerintahan Parameswara sekitar 1400 sehingga kemangkatannya. Namun begitu berdasarkan pendapat sejarawan telah menyatakan bahawa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya berlaku ketika pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459 – 1477). Terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi perkembangan Kesultanan Melayu Melaka seperti berikut :
2.1. Kebijaksanaan Sultan Pemerintah Melaka.
Kebijaksanaan Sultan Melaka bermula dari pengasasnya sendiri iaitu Parameswara yang telah membentuk sistem pentadbiran yang teratur iaitu melantik pembesar bertanggungjawab hal ehwal balairung seri, 40 orang bentara yang menjalankan perintah raja dan melantik biduanda kecil. Kemudian untuk melicinkan urusan negara Sultan Melaka melantik Pembesar Empat Lipatan yang dikenali sebagai Pembesar Berempat yang kemudian dibantu oleh Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua yang menjalankan tanggungjawab dengan bijak dan jujur. Mereka ini diberi kuasa mentadbir wilayah, sungai atau pulau yang dikenali sebagai “Kawasan pegangan”. Di samping itu, mereka diberikan amanah untuk memungut cukai.
Dengan cara ini mereka memberikan sokongan padu dan taat setia kepada sultan yang akhirnya menjadikan negara kuat dan maju. Kesannya apabila pentadbiran berjalan dengan baik Melaka menjadi sebuah negara yang aman, penduduknya bersatu-padu, kuat dan agak sukar untuk pihak musuh menguasai Melaka. Sultan Melaka juga bijak menyelesaikan perbalahan rakyatnya, menjaga keamanan dan keselamatan negeri. Tokoh pembesar yang berwibawa seperti Bendahara Tun Perak yang berjaya mengalahkan serangan Siam, bijak membantu dan menasihati sultan menjadikan Melaka kuat dan berjaya meluaskan pengaruh dan wilayahnya di Asia Tenggara. Apabila rakyat sesebuah negara taat kepada pemimpin, bersatu-padu, melaksanakan tanggungjawab dengan setia dan jujur, bekerjasama membangunkan ekonomi, sanggup mempertahankan negara maka sesebuah negara akan aman, maju dan kuat.
2.2. Melaka sebagai Pusat Perdagangan
Apabila pentadbiran Melaka berjalan dengan baik, atas faktor kedudukan geografi, Melaka yang strategik di pertengahan laluan perdagangan antara Timur dan Barat, terlindung daripada tiupan angin monsun Barat Daya ditambah pula sumber hasil negara seperti hasil pertanian dan hasil hutan yang banyak telah menyebab Sultan Melaka dan pembesarnya menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan. Pelabuhan Melaka ini akhirnya berkembang sebagai pusat perdagangan. Ramai pedagang yang singgah asalnya untuk mencari makanan dan air telah menjadikan Melaka sebagai pusat pengumpulan dan pertukaran barangan dagangan. Syahbandar dilantik bagi menguruskan hal ehwal perdagangan ini. Pelbagai kaedah perdagangan diperkenalkan seperti sistem cukai dan surat kebenaran berniaga yang menjana ekonomi Melaka. Penggunaan mata wang yang diperkenalkan menjadikan perdagangan menjadi mudah, berkembang dan maju.
Dengan perancangan yang teliti oleh Kesultanan Melayu Melaka, Melaka akhirnya membangun dan menjadi pelabuhan entrepot yang terkenal pada masa itu. Justeru itu, apabila Melaka berkembang menjadi pusat perdagangan, Melaka yang sebelumnya sebuah negara yang ekonominya berasaskan agraria bertambah kepada ekonomi yang bersifat maritim. Melaka berjaya mengambil peranan Srivijaya selepas itu. Kesannya ekonomi Melaka meningkat dengan baik, kurang pengangguran kerana rakyat mendapat pekerjaan dan kemiskinan dapat dihapuskan. Hal yang demikian menjadikan Melaka bukan sahaja sebuah negara yang kuat malah berjaya dalam dalam bidang ekonomi. Seterusnya Melaka makmur dan sejahtera.
2.3. Melaka Menjadi Pusat Ilmu Pengetahuan
Islam mula berkembang di Melaka melalui mubaligh Arab yang bernama Syeikh Abdul Aziz dari Makkah. Setelah Pameswara memeluk Islam, Islam berkembang dengan giatnya. Pedagang Islam dari Arab dan India mula memainkan peranan dalam pengembangan Islam sambil berdagang. Ada juga yang mengahwini penduduk Melaka. Melaka akhirnya menjadi pusat penyebaran Islam di rantau ini. Institusi keagaman seperti masjid, surau, madrasah-madrasah dan sekolah-sekolah pondok mula tertubuh. Dengan sokongan Sultan Melaka, istana dijadikan sebagai pusat kegiatan intelektual, Di situlah berkumpulnya golongan cerdik pandai, jurutulis, pengarang dan ulama tersohor.Melaka terus berkembang sebagai pusat ilmu pengetahuan. Pengenalan sistem tulisan jawi juga turut membantu pengembangan ilmu di Melaka.Banyak hasil penulisan dilakukan termasuk dua buah buku undang-undang Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.Buku yang diterjemahkan juga turut dilakukan seperti buku-buku sastera hikayat dan saduran. seperti Hikayat Amir Hamzah , Hikayat Bualn Belah dan Hikayat Nabi Bercukur.
Kejayaan Melaka dalam bidang ilmu pengetahuan telah menyebabkan Melaka terus maju dan berkembang. Melaka berjaya mengeluarkan cerdik pandai serta ulama yang berpengetahuan tinggi. Dengan terkenalnya Melaka sebagai pusat ilmu pengetahuan maka ramai cendikiawan datang ke Melaka dan menjadikan Melaka sebagai pusat rujukan dan keilmuan.

3.0 Faktor Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka
Ramai dalam kalangan sejarawan bersetuju bahawa kejatuhan Kesulatanan Melayu Melaka bermula sebaik sahaja Sultan Mahmud Syah menaiki tahta Kerajaan Melaka. Mereka berpendapat faktor utama yang menyumbang kepada kejatuhan ini ialah kelemahan kepimpinan Melaka. Persitiwa pembunuhan Bendahara Tun Mutahir oleh Sultan Mahmud Syah kerana dendanm dan gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin menjadikan Melaka merudum. Sikap pembesar Melaka yang suka berpuak-puak dan memfitnah sesama sendiri menyebabkan Melaka berada dalam keadaan tidak stabil. Apabila menyedari kesilapannya Sultan Mahmud Syah telah menyerahkan kuasa kepada Sultan Ahmad Syah yang tidak cekap dan lemah. Pengganti Bendahara Tun Mutahir iaitu Bendahara Tun perpatih Putih pula seorang yang sudah tua dan tepok yang tidak mampu lagi mentabir Melaka.
Apabila sultan dan pembesar yang khianat kepada tanggungjawabnya dan membiarkan pembesar-pembesar melaksanakan tugas mengikut sesuka hati, amalan pilih kasih, konflik perebutan kuasa dan suka melakukan fitnah memfitnah telah menyebabkan sistem pemerintahan menjadi lemah. Kesannya masalah perpaduan akan berlaku, nilai-nilai norma kehidupan seperti bantu-membantu dan saling menghormati terhakis dan rakyat menjadi lemah, berpecah belah dan tidak utuh. Hal yang demikian menyebabkan sistem pertahanan Melaka turut lemah dan akhirnya membuka ruang pihak musuh seperti Portugis yang memang telah lama ingin menguasai dan menjajah Melaka. Akhirnya Melaka telah dikalahkan oleh Portugis dengan bantuan Si Kitol sebagai pengkhianat negara yang memberi maklumat kelemahan pertahanan Melaka yang menyebabkan Sultan Mahmud Syah, keluarga diraja Melaka dan semua pembesar Melaka terpaksa berundur ke Muar. Walaupun beberapa kali Sultan Mahmud cuba mengambil kembali Melaka namun gagal.

4.0 Penutup
Kesimpulannya kejayaan sesebuah negara sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagai terletak di bahu pemimpinnya. Apabila pemimpin kuat maka negara atau rakyatnya menjadi kuat. Andai pemimpinnya lemah maka runtuh dan rosak binasalah sesebuah negara. Oleh itu, pemimpin yang berilmu pengetahuan, berwibawa, berkarisma serta memiliki nilai-nilai murni perlu dilahirkan dalam sesebuah negara untuk memimpin negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.



BIBLIOGRAFI
Ahmad Fawzi bin Mohd Basri et.al (2002) , Buku Teks Sejarah Tingkatan 1, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia
Kassim bin Thukiman (2002), Malaysia : Perspektif Sejarah dan Politik ( Bab 3), Skudai : Universiti Teknologi Malaysia
Dr Mohd Yusuff bin Hashim (2012), Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu, Melaka : Perbadanan Muzium Negeri Melaka.
Wikipedia, Ensiklopedia Bebas (2011), Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu ), Kuala Lumpur : Wikimedia Project.
Abdul Rahman bin Ismail et.al (2012), Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka 1262, Melaka : IKSEP.

Pengikut