Sabtu, 6 April 2013

Soalan Bahasa Melayu Kertas 2 Ujian Pertengahan Penggal 1 Tahun 2013


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

 Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan makan bersama-sama dengan keluarga dan halangan untuk mengamalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Budaya makan bersama-sama dengan keluarga kini semakin kurang diamalkan. Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Malangnya, anak-anak zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amat sukar untuk mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang namun kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.

 Ketika makan bersama, ibu bapa dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Hal ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan banyak minum air kosong. Kalau diperhatikan, adab ketika di meja makan kini semakin hilang, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Anak-anak lebih gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen. Jika menjamu selera di meja makan, ada anak-anak yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran ataupun bermain permainan komputer. Ketika inilah ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Adab-adab berkenaan, termasuklah mengajar anak-anak menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk, makan secara beradab, serta melatih mereka mengemas meja selepas makan.

 Waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Ketika makan, ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik di sekolah, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau rakan-rakan rapat mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat mengesan pergerakan harian anak-anak, terutamanya yang sudah masuk usia remaja. Kajian juga menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil minuman keras, penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas.

Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan belajar. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti berlaku. Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah.

(Dipetik dan diubah suai daripada
Amalan Makan Bersama ’,
Harian Metro, 21 Mac 2012)

 
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
 
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata kesejahteraan minda.
[2 markah]

(ii)        Apakah tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak ketika makan?
[3 markah]
 

(iii)       Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga?
[4 markah]
 
 
Soalan 2 (b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan puncanya daripada Ceper itu juga. Kali ini bukan kerana banjir yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan memanjang sampai berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja untuk menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering itu pun kering juga.

Sungai Ceper semakin hari semakin tohor sehingga air sampai paras buku lali. Ikan-ikan terperangkap dan banyak yang mati kerana tidak boleh main air lagi. Sungai menjadi busuk kerana najis tidak boleh mengalir. Hendak mandi menyelam kepala dalam-dalam pun tidak boleh lagi kerana air Ceper betul-betul tohor.

Ibu mengamuk juga. Dia maki-maki Ceper yang boleh jadi begitu sehingga menyusahkan semua. Baruh habis kering. Padi pun kecut di dalam sawah. Yang sudah menguning boleh jadi tahan-tahan sampai benar-benar tunduk. Tetapi banyak yang belum masuk isi habis kering dan mati menjadi jerami begitu sahaja. Yang kuning pun nampak saja besar biji-biji padinya, tetapi banyak yang hampa kerana kemarau panjang sangat dan air Sungai Ceper tidak boleh menolong langsung.

( Dipetik daripada "Ibu dan Ceper"
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i)         Bagaimanakah keadaan Sungai Ceper apabila dilanda kemarau panjang?
[2 markah]

(ii)        Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak apabila bencana alam melanda?
[3 markah]

(iii)       Huraikan satu persoalan daripada petikan dan satu persoalan daripada keseluruhan cerpen ini. 
[4 markah]

 
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Alkisah, maka tersebutlah perkataan Raja Kedah berkelahi dengan saudaranya di dalam negeri Kedah. Kemudian saudaranya yang tua Raja Kedah itu berkirim surat pula menyilakan Opu Daeng yang berlima bersaudara, silakan ke Kedah.

Maka tiada berapa antara maka muafakatlah Opu Daeng yang berlima bersaudara itu. Maka bersiaplah masing-masing dengan kelengkapannya serta dengan kenaikannya sebuah seorang.

Maka sampai waktu ketika yang baik, maka dilangkahkan dengan langkah rijalul ghaib. Maka belayarlah ke negeri Kedah. Serta sampai dipanggil oleh Yang Amtuan Raja Kedah masuk ke dalam kota. Maka berjumpalah dengan Yang Amtuan Kedah. Maka berjamu-jamulah santap nasi. Telah sudah santap air panas, maka Raja Kedah pun berkhabarlah, “Minta tolong perang, kerana saya berkelahi dengan saudara saya sebab berebutkan kerajaan.”

Khabar Raja Kedah, “Jikalau menang saya perang, saya berilah Opu Daeng yang berlima bersaudara, saya berilah seorang lima belas bahara.”

Kemudian dijawab oleh Opu Daeng, “Khabar Raja Kedah itu, saya minta cap tandatangan, dan mana-mana sekalian orang dagang yang datang dari Timur ada di dalam negeri Kedah ini dan seperti Bugis dan Mengkasar dan Mandura semuanya itu diserahkan kepada saya perintahnya.”
 
(Dipetik daripada
Hikayat Opu Daeng Menambun
alam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

 
(i)               Mengapakah Opu Daeng dan saudara-saudaranya diutus supaya datang ke Kedah oleh Raja Kedah?
[2 markah]


(ii)             Nyatakan perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak sekiranya Raja Kedah berjaya mencapai hasratnya untuk memerintah negeri Kedah.
 [3 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, apakah kepentingan sesuatu perjanjian. 

Berikan dua kepentingan.
[3 markah]

 Soalan 2(d) - Petikan Puisi  

Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.  

PANTUN LAPAN KERAT

                                   Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;

Biarlah sabar dalam perlahan,
Itulah tanda tuan beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;

Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ketujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;

Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.
 

( Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka )
 

(i)                 Berdasarkan rangkap pertama, nyatakan sifat-sifat orang yang beriman.

[2 markah]
 
(ii)             Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan generasi baharu mudah terpengaruh oleh budaya Barat?

Berikan dua faktor.
[4 markah] 

(iii)             Jelaskan mesej yang hendak disampaikan berdasarkan pantun di atas.
[ 3 markah ]

 

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a)      Tulis dua ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)                 badan

(ii)               dasar

(iii)             rendah
 [ 6 markah ]
 
(b) Tukar ayat susunan songsang di bawah kepada ayat susunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.


(i)                 Tersusun kemas alat-alat pertukangan di dalam bengkel itu.

(ii)               Perlu kita tamatkan sahaja perlawanan bola sepak ini kerana hujan makin lebat.

(iii)            Akan menerima hadiah utama sesiapa sahaja yang meneka kedudukan bola dengan     tepat. 

 [ 6 markah ]


(c)    Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan   penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

           (i)        Pekerja salun itu telah mencucikan rambut adik yang kerinting mewarnakannya.
           (ii)        Kehilangan anak sulong Puan Rahimah sejak seminggu lalu dirisaukan ahli
                        keluarganya.

(iii)      Kerim muka yang digunakan oleh kakak mudah mendapatkan di pasar raya seluruh negara 
                                                                                                                  [ 6 markah ]
(d)    Dalam setiap ayat di bawah  terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

 (i)               Sebagai pelajar, kita mesti tabah merempuh segala cabaran agar berjaya di masa hadapan.

(ii)               “Pembinaan Planetarium Negara merupakan penanda kemajuan dalam bidang kajian angkasa raya yang dibanggakan oleh kami, “ kata kumpulan pelajar itu.

(iii)             Kerajaan berusaha meninggikan bahasa Melayu melalui inisiatif memperkasakan penggunaan bahasa ini dalam berbagai sektor.

[6 markah]

(e)        Baca petikan di bawah ini dengan teliti kemudian nyatakan tiga peribahasa yang sesuai dengan situasi-situasi dalam petikan tersebut.

             Peraturan sekolah yang menetapkan para pelajar supaya datang awal ke sekolah tepat pada masanya bertujuan untuk melatih pelajar dalam aspek pengurusan masa. Amalan ini kemudiannya akan menjadi kebiasaan dalam kehidupannya, iaitu membahagikan masa untuk menelaah pelajaran dan menjalankan akiviti lain. Segala kerja sekolah yang diberikan akan diselesaikan dengan sempurna dan mereka sentiasa memotivasikan diri sendiri untuk mencapai keputusan terbaik.

 [6 markah]

Soalan 4: Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah  berdasarkan novel-novel yang berikut.

(ii)          Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah

(iv)        Kembara Amira karya Amer Hamzah L.Kadir

(a)     Huraikan dua persoalan ketabahan yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.
[7 markah]

(b)     Jelaskan satu persamaan watak utama yang terdapat dalam dua buah novel yang telah anda kaji.                                                                                                                 
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Pengikut