Rabu, 18 April 2012

Pembentukan Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada reaksi rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Konflik Indonesia dan Filipina.

1.0. Latar Belakang
Ramai sejarawan negara berpendapat bahawa asal penubuhan Malaysia telah mula diilhamkan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat Boneo Utara (1887) yang mencadangkan penggabungan Sarawak dan Sabah dengan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Kemudian cadangan ini dinyatakan sekalim lagi oleh Sir Malcolm MacDonald Gabenor Jeneral Asia Tenggara (1948) dengan memasukkan Singapura dan Brunei dan disokong oleh Lim Yew Hock (1955) dan David Marshall (1955) Seterusnya, Dato Onn Jaafar (1956) mencadangkan pula penggabungan tersebut atas nama Malaysia dengan melibatkan semua negeri yang telah dinyatakan . Akhirnya Lee Kuan Yew wakil Singapura (1959) telah mendesak supaya British berunding dengan Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sahaja namun idea tersebut kurang dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman atas alasan akan berlaku ketidakseimbangan penduduk. Namun pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam majlis makan tengahari di Hotel Adelphi, Singapura anjuran Persatuan Wartawan Luar Negeri telah bersetuju dengan cadangan gagasan Malaysia atas faktor-faktor politik, sosial, ekonomi serta keselamatan negara dan menyuarakan harapan sebuah negara Malaysia dapat dibentuk untuk menjamin satu kedudukan politik yang kukuh.

2.0. Reaksi Penduduk Singapura, Sarawak dan Sabah Terhadap Cadangan Gagasan Malaysia

Sebaik sahaja cadangan pembentukan Malaysia diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman pelbagai reaksi mula timbul. Ada parti politik yang menyokong dengan pandangan yang berbeza, meminta referendum dilakukan, serta tinjauan umum terhadap persetujuan penduduk Singapura, Sarawak dan Sabah hendaklah diperoleh.

2.1. Reaksi Rakyat Singapura
Bagi Singapura, cadangan penggabungan untuk gagasan Malaysia memang ditunggu-tunggu. Sebelum itu pun, melalui pemimpinnya seperti David Marshall dan Lee Kuan Yew telah mendesak supaya British mengadakan rundingan untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura. Antara sebab hasrat itu dituntut oleh Lee Kuan Yew kerana Pengaruh Barisan Sosialis yang memenangi pilihanraya Hong Lim di Singapura akan melemahkan parti pimpinannya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menggugat rancangan British untuk memerdekakan Singapura. Di samping itu, gagasan ini disokong kerana ancaman komunis yang masih ada dan Persekutuan Tanah Melayu mempunyai pengalaman membanteras kegiatan komuis tersebut. Pemimpin Singapura juga menyokong dengan terlaksananya gagasan Malaysia, Singapura akan memperoleh kemerdekaan dengan lebih cepat. Oleh itu apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan cadangan penggabungan pemimpin Singapura lebih berikap proaktif dan menyokong segala usaha ke arah itu.

2.2. Reaksi Rakyat Sarawak
Sebelum Tunku Abdul Rahman mengumumkan persetujuan penubuhan Malaysia, di Sarawak hanya terdapat dua buah pertubuhan politik iaitu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pimpinan Ong Kee Hui yang majoritinya penduduk Cina dan Parti Negara Sarawak (PANAS) dipimpin oleh Dato Bandar Abang Haji Mustapha yang ahlinya terdiri daripada orang Melayu. Kemudian orang Iban pula menubuhkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di bawah pimpinan Stephen Kalong Ningkan. Setelah pengumuman dibuat parti-parti politik di Sarawak mula berkembang dengan hebatnya seperti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA) dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub dan Abdul Talib Mahmud, Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dipimpin oleh Temenggung Jugah Anak Barieng dan Sarawak Chinese Association (SCA).
Pada asalnya cadangan penubuhan Malaysia ini kurang mendapat sokong parti di Sarawak, terutama SUPP yang bimbang dengan bentuk penjajahan baru ke atas Sarawak dan SNAP yang bimbang orang bukan Melayu dan peribumi hilang identitinya. Ada juga parti yang mahu supaya Sarawak merdeka terlebih dahulu sebelum menyertai gagasan tersebut dan takut ekonomi Sarawak dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Namun selepas lawatan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1961 ke Sarawak, pada bulan Oktober 1962 kesemua parti politik ini kecuali SUPP telah bersetuju untuk bergabung nembentuk Parti Perikatan Sarawak dan menyokong usaha tersebut atas alasan untuk mempercepat kemerdekaan Sarawak, meningkatkan pelaburan dan perkembangan industri pertanian, mengimbangi jumlah dan kadar pertumbuhan kaum di Sarawak. Dengan sokongan yang diberikan akhirnya Sarawak telah bersetuju untuk bersama-sama dalam proses pembentukan Malaysia.

2.3. Reaksi Rakyat Sabah
Bagi Sabah pula, sebelum pengumuman Tunku Abdul Rahman untuk membentuk gagasan Malaysia belum wujud lagi parti-parti politik. Parti-parti mula ditubuhkan apabila usul cadangan penggabungan dilakukan untuk mengemukakan pandangan dan mendapatkan sokongan tentangan cadangan gagasan Malaysia seperti Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO Jun 1961) dipimpin oleh Donald Stephens, Pertubuhan kebangsaan Sabah Bersatu ( USNO Disember 1961) dipimpin oleh Datu Mustapha Datu Harun, Parti Pasok Momugun ( Jun1966 ) dipimpin oleh G.S. Sundang dan Parti Demokratik dipimpin oleh Peter Chin. Sama seperti Sarawak, parti-parti di Sabah ini juga menentang dengan alasan yang sama iaitu UNKO bimbang orang bukan Melayu dan kaum peribumi Sabah kehilangan identity dan dikuasai oleh orang Melayu, politik dan ekonomi Sabah akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat, mahukan kemerdekaan terlebih dahulu diberikan serta bimbang tentang isu kemajuan ekonomi dan sosial.
Setelah lawatan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1961 yang menjelaskan kedudukan penggabungan tersebut akhirnya parti-parti politik Sabah bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia. Dalam pada masa yang sama Sabah dan Sarawak telah buat tuntutan sebagai syarat untuk menyertai Malaysia. Syarat ini dikenali sebagai Perkara 20 yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia yang baru oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan yang bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak. Perkara 20 tersebut merangkumi Ketua Negeri, Bahasa Kebangsaan, Agama Islam, kedudukan istimewa penduduk asal negeri dan hal ehwal imigresen, kerakyatan, peruntukan kewangan dan pelajaran. Setelah bersetuju dengan syarat tersebut barulah penggabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak akan dilakukan.

3.0 Konflik Indonesia dan Filipina Terhadap Cadangan Pembentukan Malaysia

Walaupun dasar penggabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak telah dipersetujui namun pihak Indonesi dan Filipina tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Oleh hal yang demikian maka timbullah konflik di Indonesia dan Filipina terhadap hasrat gagasan Malaysia.
Pihak Indonesia telah berpendapat pembentukan Malaysia merupakan satu bentuk neokolonialisme baru yang bakal mengancam Indonesia.Tambahan pula, pada ketika itu peranan Parti Komunis Indonesia telah berjaya mempengaruhi Presiden Soekarno. Untuk itu, Indonesia yang pada asalnya tidak membantah, telah bertindak mengisytiharkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia dengan melancarkan konsep Ganyang Malaysia 1963. Mereka telah menghantar pengintip ke Tanah Melayu untuk merosakkan hasrat gagasan tersebut secara sulit. Tindakan melakukan serangan terhadap kapal-kapal nelayan dan pencerobohan ruang udara Tanah Melayu dilakukan melalui Johor, Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Indonesia bertindak memburuk-burukkan nama Malaysia di Negara Afro-Asia dan Negara Dunia Ketiga.
Untuk menghadapi ancaman Indonesia, Malaysia telah mendapatkan bantuan tentera Komanwel Britain, Australia, New Zealand dan Kanada. Tunku Abdul Rahman juga telah menghantar bantahan kepada Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Tun Abdul Razak pula telah mengadakan lawatan ke negara-negara Afrika untuk menjelaskan situasi yang sebenar tentangan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia.
Sama seperti kedudukan Indonesia, Filipina turut bertindak membantah pembentukan Malaysia. Menerusi Presiden Macapagal, Filipina telah bertindak menuntut hak ke atas Sabah yang didakwanya sebahagian daripada Kesultanan Sulu. Berdasarkan catatan sejarah Sabah telah dipajakkan oleh Sultan Jamalul Alam kepada Baron Von Overback pada 1878 yang kemudian menjualkan haknya kepada Alfred Dent yang menubuhkan syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Syarikat British Utara Borneo (SBUB) pada tahun 1881. Selepas Perang Dunia kedua, SBUB telah menyerahkan Sabah kepada British. Namun waris Sultan Sulu Sultan Ismail Kuram telah menamatkan pajakan tersebut pada 1958. Oleh sebab Kesultanan Sulu telah tamat dan sebahagiannya di bawah tadbiran Filipina, maka Filipina menganggap Sabah adalah sebahagian wilayahnya. Sehubungan dengan itu, Filipina telah menuntut Sabah dikembalikan kepadanya. Namun pada tahun 1966, Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia. Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju mengadakan rundingan dengan menubuhkan MAPHILINDO untuk menyelesaikan pembentukan Malaysia.


4.0. Kesimpulan
Kejayaan pembentukan Malaysia merupakan suatu cabaran untuk semua pemimpin Tanah Melayu ketika itu. Walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui namun atas kesabaran serta kesungguhan mereka, Malaysia telah berjaya dibentuk apabila mendapat sokongan yang padu daripada pemimpin-pemimpin dan parti-parti di Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun Singapura telah menarik diri pada tahun 1965, hasrat pembentukan Malaysia ini telah berjaya sehingga ke hari ini Malaysia telah maju dari segi politik, sosial dan ekonominya.



BIBLIOGRAFI

Ramlah bt Adam et.al (2007), Buku Teks Sejarah Tingkatan 5, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim bin Thukiman (2002), Malaysia : Perspektif Sejarah dan Politik ( Bab 16), Universiti Teknologi Malaysia : Skudai
Nik Anuar Nik Mahmud (1999), Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara, Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi
Mohammad Redzuan Othman et.al (2006), Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Universiti Malaya : Kuala Lumpur.
Portal 54 Tahun Sambutan Kemerdekaan (2012), Penubuhan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan kebudayaan : Kuala Lumpur.

Pengikut