Khamis, 10 Mei 2012

Soalan Bahasa Melayu kertas 2 PPT Tingkatan 5 2012

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah permainan tradisional dan langkah-langkah untuk menghidupkan permainan tradisional. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Di negara kita , terdapat pelbagai jenis permainan tradisional daripada pelbagai suku kaum. Antara yang paling popular termasuklah wau, batu seremban, congkak, gasing, konda-kondi, dan banyak lagi. Permainan tradisional dimainkan sama ada oleh kanak-kanak, remaja atau orang dewasa. Namun, kini permainan tradisional semakin terpinggir dan dibayangi oleh permainan moden. Permainan tradisional juga seperti permainan moden dapat membina fizikal kerana pemainnya perlu bergerak aktif, pantas, dan laju. Seseorang yang aktif dalam permainan lazimnya mempunyai bentuk badan yang cantik dan sahsiah yang baik.

Selain itu, permainan tradisional juga menjadi kegiatan riadah untuk mengisi masa senggang setelah pulang dari sekolah dan selepas penat bekerja. Bermain permainan tradisional secara perseorangan ataupun berpasukan dapat mengeratkan hubungan sama ada dalam kalangan pemain ataupun anggota keluarga. Bagi permainan yang lebih besar seperti gasing, wau, dan sebagainya, permainan itu dapat menarik perhatian penduduk dari kampung yang berdekatan sama ada sebagai pasukan lawan atau penonton.Permainan yang dimainkan secara berpasukan pula secara langsung dapat menanam sikap dan nilai kerjasama. Tanpa kerjasama ahli kumpulan, permainan tidak dapat dilangsungkan dengan baik, apatah lagi untuk mencapai kemenangan. Kekuatan sesebuah pasukan bukan sahaja memerlukan kerjasama, malahan bergantung pada ciri kepimpinan dan kepatuhan pengikutnya terhadap arahan ketua serta peraturannya. Setiap permainan juga menuntut pemainnya berfikir untuk mengatur strategi dan memilih teknik yang terbaik untuk menang. Tanpa strategi dan teknik yang bagus, sudah pasti permainan menjadi hambar. Tidak ada pihak yang bermain sekadar untuk menjadi pihak yang kalah.

Permainan tradisional juga tidak memerlukan peralatan khusus seperti raket,kasut, bola dan gelanggang tersendiri. Alat yang digunakan sungguh mudah dan boleh didapati di sekeliling kita seperti biji buah, kayu, buluh, bulu ayam, dan sebagainya.Pendek kata, kita tidak perlu membeli apa-apa peralatan dan tidak melibatkan gelanggang, berbeza dengan permainan moden yang memerlukan gelanggang atau padang. Oleh itu, sesiapa sahaja boleh memainkannya dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Permainan tradisional juga boleh dimainkan di mana-mana dan bila-bila masa sama ada di luar atau di dalam rumah.

Untuk mengembalikan permainan tradisional itu ke pangkuan remaja kini barangkali terlalu sukar kerana kebanyakannya tidak begitu popular lagi dan tidak sesuai dengan persekitaran yang ada kini. Malahan kebanyakan remaja sekarang beranggapan bahawa permainan tradisional merupakan permainan yang ketinggalan zaman. Ada juga yang berpendapat bahawa permainan tradisional bukan sahaja tidak menyeronokkan, tetapi membuang masa mereka sahaja, serta membosankan. Tegasnya, untuk menggelakkan permainan tradisional daripada terus dilupakan, pelbagai usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda dan hati masyarakat kita.
(Dipetik dan diubah suai daripada
“Remaja dan Permainan Tradisional”
oleh Hanapi Dollah,
Dewan Siswa, September 2009)


Soalan 2 : Pemahaman

[35 markah]

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata semakin terpinggir.
[2 markah]

(ii) Pengarang telah menyatakan beberapa tanggapan remaja terhadap permainan tradisional.

Nyatakan tanggapan-tanggapan tersebut
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah peranan penting yang boleh dimainkan oleh pihak sekolah ntuk menghidupkan kembali permainan tradisional di negara kita.

Huraikan dua peranan tersebut.
[4 markah]


Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri ..

"Semua askar Punjabi mati. Kubu Kuala Pak Amat jatuh. Juga di Dasar dan Sabak. Jepun berada di mana-mana."

Suara Pak Husain sangat lemah. Dia sudah dimandikan oleh Mak Bidah. Darahnya sudah dicuci. Tetapi semangat Pak Husain sudah hilang. Dia menjadi takut-takut. Dia selalu meracau dan menyebut apa-apa sahaja yang dilihatnya sebagai tentera Jepun.Dia melihat mayat di mana-mana, walaupun kami tidak melihatnya. Kwong yang menyerobot ke dalam perasaan Pak Husain sangat membimbangkan kami. Beberapa malam berikutnya ayahku tidak tidur-tidur kerana menjaga PakHusain. Dia mesti dijaga. Dia yang bertanggungjawab datam usaha menyelamatkan kami. Aku dapat bayangkan apa yang akan berlaku ke atas kami sekaliannya yang di pangkalan kalau tentera-tentera Jepun itu sempat turun. Bukankah keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun itu telah menyelamatkan kami? Alangkah besar jasanya. Alangkah!

Kisah Pak Husain dipaksa supaya menguburkan mayat sehari suntuk telah berkembang dari mulut ke mulut. Kisah itu mengapung terus dari Kampung Dal ke kampung-kampung yang lain. Berkembang di Tebing Tinggi, di Dasar, di Kemumin, di Pancur, di Pualu Tukang Dolah dan di Teluk Kitang. Cerita itu tidak dirasakan baktinya selain kami penghuni asli kampung Pak Amat.

Pak Husain telah menyelamatkan kami

(Dipetik daripada
'Pahlawan Buntung'
oleh S.Othman Kelantan
dalam antologi Dirgahayu "Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah kesan yang dialami oleh Pak Husain setelah dia dipaksa menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati?
[2 markah]

(ii) Apakah usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membalas jasa pejuang kemerdekaan negara seperti Pak Husain, pada pendapat anda?
[3 markah]

(iii) Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu nilai murni lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]


Soalan 2(c) -Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah sampai ke taman itu, maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berseru-seru, “Adakah nenekku di rumah?” Maka sahut peri itu, “Tikar dan bantal seperti ada orang tidur.” Maka kata segala dayang-dayang itu, “Benarlah kata tuan puteri baharu pula rumah nenekku itu ada tempat ketiduran laki-laki rupanya.” Maka kata peri itu, “Adapun tempat tidur siang hari itu tempat hamba tidur pada malam hari.” Maka ia pun tertawa serta bergurau dan bersenda. Maka tuan puteri pun berbedak dan berlangirlah. Maka ramailah bergosok-gosok. Maka barang lakunya tuan puteri itu habis dilihat oleh Raja Indera Bumaya itu. Maka baginda pun berahilah dalam hatinya. Sungguhlah seperti kata peri itu. Maka tuan puteri pun pergilah mandi keluar di dalam cindai itu serta diiringkan oleh segala dayang-dayang dan inang pengasuh sekalian.

Setelah sudah maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi pun turun mandi. Maka Raja Indera Bumaya pun turun berjalan di tepi kolam itu, seorang pun tiada melihat dia. Maka Raja Indera Bumaya pun berlindung pada pohon kemunting. Maka baginda pun menjadikan dirinya seekor burung bayan terlalu indah-indah rupanya. Syahadan, adapun matanya itu daripada intan dan bulunya itu daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Maka bayan itu pun hinggap pada pohon kemunting itu seraya berbunyilah terlalu merdunya suaranya.

(Dipetik daripada
“Hikayat Langlang Buana”
dalam antalogi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berikan maksud rangkai kata maksud barang lakunya.
[2 markah]

(ii) Nyatakan keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh burung bayan tersebut.
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Raja Indera Bumaya perlu menukarkan dirinya menjadi seekor burung bayan yang cantik?

Berikan dua sebab
[ 3 markah ]


Soalan 2 (d)- Sajak

Baca sajak di bawah dengan telitl, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
.
KECEK - (V)
Awang Abdullah

1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pemah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.

(Dewan Sastera, Mac 1989)

Doa Terakhir, 1995
Antalogi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka


(i) Dalam rangkap kedua dan ketiga penyajak menyatakan persamaan antara kehidupan seorang petani dengan seorang nelayan.

Berikan persamaan tersebut.
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah masalah kemiskinan dalam masyarakat dapat ditangani?

Jelaskan dua cara tersebut.

[4 markah]

(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut.

[3 markah]



Soalan 3 : Pengetahuan Pemahaman dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan kata di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) menyalahi – menyalahkan
(ii) melebihi – melebihkan
(iii) menghiasi – menghiaskan

[6 markah]

(b) Tukarkan cakap ajuk di bawah kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya.

Amin : Selamat petang, boleh saya bercakap dengan Farid?

Encik Malik : Selamat petang, siapa yang bercakap tu?

Amin : Saya Amin, kawan sekelas Farid.

Encik Malik : Maafkan pak cik nak. Farid baru saja keluar. Ada apa-apa
pesanan dapat pak cik sampaikan?

Amin : Saya nak ajak Farid ke rumah Ali untuk berbincang tentang kerja kursus kami.

Encik Malik : Nanti pak cik sampaikan pesanan ni kepada Farid.

Amin : Terima kasih, pak cik.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Ibu memotongkan kek itu kepada sepuluh bahagian supaya dapat diagehkan kepada anak-anak yatim itu.

(ii) Semua calun yang akan menduduki peperiksaan SPM diminta semak angka giliran masing-masing di bilik kaunseling.

(iii) Orang kampung lebih suka menghabiskan masa beristirehat di warung kopi Pak Ali sambil mengisikan perut mereka.

[6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Sistem penghawa dingin yang tidak berfungsi telah menyebabkan lima orang pekerja-pekerja syarikat itu mati ketika berada di dalam terowong yang panas.

(ii) Pihak ibu bapa begitu murka kerana pihak sekolah tidak melaksanakan hukuman merotan mengikut prosedur yang betul.

(iii) Kita tidak boleh bergantung kepada sektor perindustrian semata-mata oleh kerana sektor pertanian juga memainkan peranan untuk menyumbangkan pendapatan negara.

[6 markah]


(e) Baca ayat-ayat di bawah ini dengan teliti dan kemudian tuliskan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

(i) Choong dan Raju dinasihati oleh guru kaunseling itu agar berbaik-baik semula dan melupakan segala persengketaan yang wujud antara mereka.

(ii) Zafir tidak senang duduk di dalam kelasnya, terutama selepas dia dipanggil oleh guru kelasnya masuk ke bilik pengetua.

(iii) Sebagai ibu bapa, kita hendaklah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil lagi agar mereka menjadi insan yang berguna.
[6 markah]


Soalan 4 : Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah

(vii) Kembara Amira karya Amer Hamzah B. L Kadir


(a) Jelaskan dua contoh peristiwa yang berfaedah yang dapat anda peroleh setelah membaca novel tersebut.
[7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, jelaskan satu persoalan kerjasama yang terdapat dalam setiap novel.
[8 markah]
KERTAS SOALAN TAMAT

Pengikut