Jumaat, 15 Jun 2012

Abstrak Kajian Tindakan ( Action Research )


Tajuk             :          Meningkatkan Penguasaan Penggunaan Gaya Bahasa dalam Puisi              ( KOMSAS ) Murid Tingkatan 5. ( 2009 )

Sekolah           :           Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning

                                    31920 Mambang DiAwan, Perak.

Fokus Kajian :

Fokus utama kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan penggunaan gaya bahasa dalam pembelajaran KOMSAS khususnya puisi tradisional dan sajak dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tingkatan 5 Ekonomi Asas (EA). Kajian ini melibatkan 30 orang murid Tingkatan 5EA  sebagai responden.

Perancangan

Untuk melengkapkan kajian ini, pengkaji telah melaksanakan ujian pra terlebih dahulu untuk membuat penilaian tentang tahap kemampuan murid menguasai penggunaan gaya bahasa dalam puisi tradisional dan sajak. Kebanyakan latihan menggunakan buku ‘Anak Laut’. Setelah pengkaji meneliti masalah pembelajaran serta amalan pengajaran guru berdasarkan item-item yang ditentukan pengkaji telah membuat suatu rumusan bahawa pengajaran dan pembelajaran murid telah menyebabkan mereka tidak menguasai kemahiran estetika ini dengan baik. Terdapat murid yang keliru dengan penyampaian guru dan melakukan kesilapan menjawab ujian pra serta gagal dalam menguasai gaya bahasa ini. Oleh itu, perancangan tindakan untuk kajian ini akan berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran guru dengan menggunakan suatu akronim SIPERMUDAH+K dengan penekanan terhadap kemahiran bahasa estetika bergabung jalin dengan kemahiran membaca dan menulis.

Tindakan.

Dalam melaksanakan kajian ini , pengkaji telah menjalankan tindakan dalam tiga sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu deduktif, eklektif 1 dan eklektif 2. Pada sesi pertama pengajaran guru lebih berfokus kepada menggunakan rumus SIPERMUDAH+K dengan menekankan maksud setiap abjad sehingga habis membentuk satu akronim. Contoh-contoh dikemukakan berdasarkan abjad tersebut. Panduan mengaitkan akronim tersebut dengan contoh-contoh daripada buku ‘Anak Laut’ dijalankan. Teknik guru lebih kepada menerang dengan menekankan hukum dan syarat-syarat rumus kemudiannya contoh-contoh berkaitan secara deduktif. Latihan individu diberikan. Kemudian jawapan diberikan oleh guru. Dalam sesi pengajaran guru yang kedua aktiviti individu dan kumpulan dijalankan. Guru mengedarkan contoh-contoh daripada Antologi ‘Kerusi’ Tingkatan 5. Dengan memilih puisi-puisi tradisional pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Murid diminta mengenal pasti dan menyenaraikan gaya bahasa yang terdapat dalam puisi tersebut. Kemudian murid mengaitkan dengan akronim SIPERMUDAH + K tersebut. Dalam kumpulan pula, guru memberikan aktiviti berdasarkan puisi tradisional yang lain. Setiap kumpulan akan mengkaji puisi yang diberi dan kemudian membentangkannya. Guru menggunakan pendekatan induktif →  contoh  → deduktif dan membuat generalisasi.  Guru membaiki kesalahan murid. Bagi sesi pengajaran ketiga guru lebih menekankan murid sendiri menerangkan maksud akronim SIPERMUDAH + K. Dengan menggunakan sajak dalam buku ‘Kerusi’ aktiviti individu dan kumpulan dijalankan. Aktiviti yang sama turut dilakukan seperti sesi pengajaran kedua dengan menggunakan pendekatan deduktif → contoh → induktif  dan membuat generalisasi. Penilaian diberikan di akhir setiap sesi pengajaran dan pembelajaran.

Penilaian

Hasil kajian menunjukkan bahawa melalui penggunaan akronim SIPERMUDAH + K dalam pengajaran dan pembelajaran gaya bahasa KOMSAS telah mendapati berlaku perubahan dalam meningkatkan penguasaan penggunaan gaya bahasa KOMSAS dalam kalangan murid Tingkatan 5EA. Murid-murid berjaya menguasai kemahiran estetika ini dan meningkatkan prestasi mereka dengan baik berbanding ujian pra sebelumnya. Mereka juga mudah mengingati maksud akronim tersebut. Di samping itu, mereka juga dapat mengaitkan setiap ayat dengan gaya bahasa yang betul dan sesuai jika diberikan sebarang latihan puisi atau sajak Secara keseluruhannya pencapaian murid dalam menguasai gaya bahasa KOMSAS dapat ditingkatkan dan ditambah baik.

 Refleksi.

Sebenarnya penguasaan murid dalam kemahiran estetika seperti gaya bahasa dalam KOMSAS dapat ditingkatkan jika guru menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang betul. Guru seharusnya mendedahkan kepada murid pelbagai cara untuk mudah memahami sesuatu aspek pembelajaran. Dengan menggunakan akronim misalnya murid akan mudah mengingati sesuatu isi pelajaran dengan baik. Kegagalan guru sebenarnya yang menyebabkan murid gagal dalam menguasai sesuatu kemahiran seperti kemahiran estetika ini atau gaya bahasa. Oleh itu usaha guru mendekati murid, latihan yang mencukupi dan penilaian yang teratur akan berjaya meningkatkan prestasi murid dalam pembelajarannya.


Tajuk                   Meningkatkan Penguasaan Pembelajaran Struktur Sastera dengan menggunakan  Domain Nilai Murid Tingkatan 5. ( 2010 )
Sekolah           :           Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning
                                    31920 Mambang DiAwan, Perak.
Fokus Kajian :
Fokus utama kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan pembelajaran elemen struktur sastera dalam pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) khususnya cerpen, drama dan novel serta pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tingkatan 5 Prinsip Akaun (PA). Kajian ini melibatkan 30 orang murid Tingkatan 5PA  sebagai responden.
Perancangan
Untuk melengkapkan kajian ini, guru telah melaksanakan ujian pra terlebih dahulu untuk membuat penilaian tentang tahap kemampuan murid menguasai elemen struktur sastera dalam cerpen, drama dan novel. Kebanyakan latihan menggunakan 2 cerpen, 1 drama dalam buku ‘Anak Laut’ dan novel ‘Perlumbaan Kedua’ iaitu buku Kompenan Sastera ( KOMSAS ) Tingkatan 4. Apabila ujian pra dilaksanakan terbukti bahawa sebenarnya murid-murid ini kurang faham cara pembelajaran KOMSAS kerana guru yang sebelum ini mengajar murid-murid tersebut secara pembelajarannya menekankan dalam bentuk pembelajaran ‘sastera perse’. Hal ini menyebabkan murid-murid tidak dapat membezakan pembelajaran elemen struktur sastera seperti tema dan persoalan, perwatakan, latar masyarakat, mesej, pengajaran dan nilai dalam KOMSAS. Murid juga turut dinilai melalui satu kaji selidik tentang pemahaman mereka terhadap elemen struktur sastera tersebut. Terbukti murid sebenarnya kurang faham dan keliru dengan penggunaan elemen struktur sastera tersebut apabila membaca cerpen dan novel KOMSAS.
Tindakan.
Dalam melaksanakan kajian ini , guru telah menjalankan tindakan dalam tiga sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu secara pendekatan induktif, deduktif, eklektif. Pada sesi pertama pengajaran guru menerangkan murid tentang skop elemen struktur sastera berdasarkan  “BULATAN DOMAIN NILAI”. Bentuk Bulatan merupakan karya sastera sama ada cerepn atau drama atau novel. Garisan Bulatan ialah “NILAI” yang mengandungi 16 nilai utama dan 187 subnilai. Di dalam bulatan tersebut terdapatnya titik-titik yang disebut sebagai elemen struktur sastera yang ada kaitan dengan domain NILAI. Titik pertama mewakili tema, titik kedua mewakil persoalan, titik ketiga mewakili perwatakan, titik keempat mewakili latar masyarakat, titik kelima mewakili mesej, titik keenam mewakili pengajaran dan titik ketujuh mewakili nilai itu sendiri. Dalam menerangkan konsep ini guru mengaitkan setiap titik dengan nilai beserta dengan kata kunci yang digunakan untuk menerangkan elemen struktur sastera tersebut. Sebagai contoh, nilai utama yang terdapat pada watak utama ialah kasih sayang jadi temanya menggunakan kata kunci berimbuhan ‘BeR__’ atau ke______an menjadi berkasih sayang. Daripada tema tadi diluaskan kepada elemen struktur sastera lain iaitu persoalan ialah seseorang yang penyayang, perwatakannya ialah lelaki atau perempuan yang penyayang, latar masyarakatnya ialah masyarakat yang saling menyayangi, mesejnya ialah pengarang mengajak kita supaya berkasih sayang, pengajarannya ialah kita hendaklah saling menyayangi dan nilai murninya ialah berkasih sayang. Guru menggunakan pendekatan deduktif →  contoh  → induktif dan membuat generalisasi.  Dengan menggunakan 3 buah peristiwa dalam sebuah cerpen dan sebuah drama dalam buku ‘Kerusi’ aktiviti individu dan kumpulan (pembentangan) dijalankan. Aktiviti yang sama turut dilakukan seperti sesi pengajaran kedua dengan menggunakan pendekatan induktif → contoh →  deduktif dan membuat generalisasi menggunakan sebuah cerpen dan sebuah drama yang lain. Seterusnya guru menggunakan pendekatan eklektif iaitu induktif → contoh → deduktif → contoh → generalisasi dalam pengajaran yang ketiga menggunakan novel ‘Julia’ Penilaian diberikan di akhir setiap sesi pengajaran dan pembelajaran.
Penilaian
Hasil kajian menunjukkan bahawa melalui penggunaan domain nilai dalam pengajaran dan pembelajaran struktur sastera dalam KOMSAS telah mendapati berlaku perubahan dalam meningkatkan penguasaan elemen satruktur sastera dalam kalangan murid Tingkatan 5PA. Murid-murid berjaya menguasai kemahiran elemen ini dan meningkatkan prestasi mereka dengan baik berbanding ujian pra sebelumnya. Mereka juga mudah mengingati maksud bulatan dan titik-titik yang terdapat dalam bulatan tersebut. Di samping itu, mereka juga dapat mengaitkan tiga contoh peristiwa dalam karya cerpen, drama dan novel dengan kata kunci yang digunakan dengan betul dan sesuai jika diberikan KOMSAS yang lain. Secara keseluruhannya pencapaian murid dalam menguasai elemen struktur sastera dapat ditingkatkan. Akhirnya murid juga faham untuk menjawab soalan 2(b)iii dan soalan 4 dalam soalan Kertas 2 dengan baik.
Refleksi.
Sebenarnya penguasaan murid dalam kemahiran elemen struktur sastera dalam KOMSAS dapat ditingkatkan jika guru menggunakan konsep pengajaran dan pembelajaran dengan betul. Hal yang demikian kerana pendekatan dan teknik yang berkesan ditambah dengan konsep yang betul murid dapat memahami pengajaran guru dengan baik. Guru seharusnya mendedahkan murid dengan pelbagai kaedah untuk mudah memahami dan menguasai sesuatu aspek pembelajaran. Dengan menggunakan konsep bulatan dan nilai domain misalnya murid akan mudah mengingati sesuatu isi pelajaran dengan baik. Kegagalan guru sebenarnya yang menyebabkan murid gagal dalam menguasai sesuatu kemahiran. Oleh itu, usaha guru mendekati murid melalui penerangan konsep yang jelas, pendekatan dan teknik yang betul latihan yang mencukupi dan penilaian yang teratur akan berjaya meningkatkan prestasi murid dalam pembelajarannya.


Tajuk                      Meningkatkan Kemahiran Menulis Pendahuluan Karangan dalam Kalangan Murid Tingkatan 5. (2011)
Sekolah           :           Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning
                                    31920 Mambang DiAwan, Perak.
Fokus Kajian :
Fokus utama kajian ini adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis pendahuluan sesebuah  karangan dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tingkatan 5 Sains (SN). Kajian ini melibatkan 31 orang murid Tingkatan 5SN  sebagai responden.
Perancangan
Melalui pembelajaran dan pengajaran yang lalu, guru telah berjaya mengesan masalah murid dalam membina pendahuluan sesebuah karangan dalam aspek penulisan. Terdapat juga murid yang asyik bertanya tentang cara hendak memulakan penulisan karangan. Bagi menyempurnakan kajian ini, seperti kajian yang lalu guru telah melaksanakan ujian pra terlebih dahulu. Guru memberikan tajuk karangan mengikut dimensi 1 dan meminta murid menulis hanya pendahuluan karangan sahaja. Apabila ujian pra dijalankan jelas meununjukkan bahawa murid-murid telah menulis pendahuluan secara yang tidak betul. Terdapat murid yang menulis definisi umum, memberi maksud tajuk karangan, yang menulis hanya beberapa baris sahaja dan jika diberikan markah hanya layak diberi di bawah 10 markah. Hal ini telah menunjukkan murid gagal dalam membina pendahuluan dengan betul. Murid juga telah diberikan suatu kaji selidik pemahaman mereka tentang cara membina pendahuluan  sesebuah karangan. Jelas membuktikan tahap pengetahuan murid tentang membina pendahuluan sesebuah karangan agak lemah dan kurang bermutu. Oleh itu, suatu kajian untuk mengatasi kelemahan murid-murid dalam membina pendahuluan dalam sesebuah karangan  perlu dilakukan.

Tindakan.
Dalam melaksanakan kajian ini , guru telah menjalankan tindakan dalam dua sesi pembelajaran dan pengajaran iaitu secara pendekatan induktif dan deduktif sahaja. Pada sesi pertama pengajaran guru menerangkan murid tentang konsep pendahuluan dengan menggunakan kaedah IKT2H. Kaedah ini dijelaskan sebagai huruf ‘I’ untuk ‘isu’, huruf ‘K’ untuk ‘kesan isu’ , huruf ‘T’ untuk ‘tindakan umum’ , huruf ‘2H’ untuk ‘hasil tindakan ( sama ada positif atau negatif ) dan hubung kait dengan kata kunci soalan. Guru menggunakan pendekatan deduktif →  contoh  → induktif dan membuat generalisasi.  Dengan menggunakan dua buah karangan berdasar dimensi diri dan keluarga guru membentuk aktiviti individu dan kumpulan (pembentangan) dijalankan. Aktiviti yang sama turut dilakukan seperti sesi pengajaran kedua dengan menggunakan pendekatan induktif → contoh →  deduktif dan membuat generalisasi menggunakan empat contoh pendahuluan karangan berdasarkan dua buah karangan dimensi diri, sebuah karangan dimensi keluarga dan sebuah karangan dimensi masyarakat. Penilaian diberikan di akhir setiap sesi pengajaran dan pembelajaran.
Penilaian
Hasil kajian menunjukkan bahawa melalui penggunaan kaedah IKT2H dalam pembelajaran dan pengajaran aspek penulisan telah mendapati berlaku perubahan dalam meningkatkan penguasaan membina pendahuluan karangan dalam kalangan murid Tingkatan 5SN. Murid-murid berjaya menguasai kemahiran tersebut yang akhirnya berjaya meningkatkan prestasi mereka dengan baik berbanding ujian pra sebelumnya. Mereka juga mudah mengingati konsep kaedah IKT2H tersebut. Di samping itu, mereka juga dapat mengaitkan contoh-contoh yang diberi dengan kaedah tersebut. Jelas murid berjaya membina pendahuluan dengan baik dan bersistematik dan menjurus kepada soalan karangan yang disoal.. Secara keseluruhannya pencapaian murid dalam menguasai kemahiran membina pendahuluan karangan dapat ditingkatkan. Akhirnya murid juga faham untuk menjawab dan membina karangan yang baik.
 Refleksi.
Sebenarnya penguasaan murid dalam kemahiran membina pendahuluan karangan dapat ditingkatkan jika guru menggunakan konsep pembelajaran dan pengajaran  dengan baik. Hal ini kerana pendekatan dan teknik yang berkesan, ditambah dengan konsep yang betul murid dapat memahami pengajaran guru . Guru seharusnya mendedahkan kepada murid pelbagai cara untuk murid mudah memahami sesuatu aspek pembelajaran. Sebagai contoh, konsep kaedah IKT2H, dapat membantu murid mengingati sesuatu isi pelajaran dengan baik. Justeru itu, apabila guru kurang mampu menyampaikan isi pengajarannya dengan berkesan telah menyebabkan murid gagal untuk menguasai sesuatu kemahiran dengan betul. Oleh itu, guru perlu bertanggungjawab memastikan isi pengajaran, penerangan konsep yang jelas, pendekatan dan teknik yang betul, latihan yang mencukupi dan penilaian yang teratur pasti akan meningkatkan prestasi murid dalam pembelajarannya.

Tajuk             :             Meningkatkan kemahiran Menulis Isi Karangan dalam kalangan Murid Tingkatan 5 (2011)
Sekolah           :           Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning
                                    31920 Mambang DiAwan, Perak.
Fokus Kajian :
Fokus utama kajian ini adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis isi sesebuah  karangan dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tingkatan 5 Sains (SN). Kajian ini melibatkan 31 orang murid Tingkatan 5SN  sebagai responden.
 
 
Perancangan
Melalui pembelajaran dan pengajaran yang lepas, guru telah mendapati ramai murid gagal untuk mendapat jumlah perkataan lebih daripada 350 patah perkataan iaitu syarat wajib untuk mendapat markah cemerlang dalam menulis sesebuah karangan. Setelah diteliti latihan yang diberikan, maka guru telah mendapati punca masalah tersebut kerana  murid gagal dalam membina dan mengembangkan isi atau idea karangan dengan baik. Oleh yang demikian, guru berpendapat bahawa suatu kajian untuk mengatasi masalah tersebut perlu dilakukan kerana kelas 5SN merupakan kelas yang terbaik namun gagal menulis karangan dengan betul. Oleh itu, dalam kajian ini guru telah melaksanakan ujian pra terlebih dahulu. Guru memberikan tajuk karangan mengikut dimensi diri dan keluarga dan meminta murid menulis hanya tiga isi atau idea karangan beserta dengan huraiannya sekali. Apabila ujian pra dijalankan jelas menunjukkan bahawa murid-murid telah menulis dan mengembangkan isi atau idea karangan dengan cara yang tidak bersistematik dan terdapat unsur yang ditinggalkan dalam mengembangkan isi atau idea karangan tersebut. Terdapat murid yang hanya menulis isi penting sahaja tanpa huraian, menulis beberapa baris ayat yang tidak koheren, isi penting bercampur aduk dalam satu perenggan serta tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai. Hal ini telah menunjukkan bukti murid gagal dalam membina dan mengembangkan isi karangan dengan baik yang mengakibatkan jumlah patah perkataan lebih daripada 350 patah tidak tercapai. Di samping itu,  murid juga telah diberikan suatu kaji selidik pemahaman mereka tentang cara membina dan mengembangkan isi atau idea dalam sesebuah karangan. Jelas membuktikan tahap pengetahuan murid tentang membina dan mengembangkan isi atau idea sesebuah karangan agak lemah dan kurang bermutu. Oleh itu, suatu kajian untuk mengatasi kelemahan murid-murid dalam membina dan mengembangkan isi atau idea  dalam sesebuah karangan  perlu dijalankan.
 
 
Tindakan.
Dalam melaksanakan kajian ini , guru telah menjalankan tindakan dalam tiga sesi pembelajaran dan pengajaran iaitu secara pendekatan deduktif, induktif dan eklektif 2. Pada sesi pertama pengajaran guru menerangkan murid tentang konsep menulis isi penting iaitu menggunakan hukum ‘Ayat Topik’ dan kaitan dengan Δ ( segi tiga ) 5W + 1H. Dalam ayat topik terdapat dua unsur iaitu Frasa 1 isi penting dan Frasa 2 pelengkap kepada isi penting. Sebagai contoh, kata kunci soalan langkah-langkah, isunya mengatasi krisis air. Maka Ayat Topik yang dibina ialah ‘Salah satu langkah untuk mengatasi krisis air ialah mengadakan kempen (F1) yang berkesan untuk menyedarkan orang ramai (F2). Di peringkat pengembangan isi pula guru menggunakan kaedah Δ ( segi tiga ) 5W + 1H. Dengan meminjam akronim Bahasa Inggeris 5W membawa maksud ‘apa’, ‘mengapa’, ‘siapa’, ‘bila’ , ‘mana’ dan ‘bagaimana’ guru menggunakan pendekatan deduktif →  contoh  → induktif dan membuat generalisasi.  Dengan menggunakan sebuah karangan berdasarkan dimensi diri guru membentuk aktiviti individu dan kumpulan (pembentangan) dalam PNPnya. Sementara itu, aktiviti yang seterusnya pada sesi pengajaran kedua guru menggunakan pendekatan induktif → contoh →  deduktif dan membuat generalisasi. Guru menggunakan sebuh karangan dimensi keluarga untuk aktiviti individu dan kumpulan termasuk pembentangan. Bagi sesi pengajaran ketiga pula, guru menggunakan dimensi masyarakat untuk melaksanakan aktiviti individu dan kumpulan (pembentangan) berdasarkan pendekatan eklektif 2 iaitu deduktif → contoh → induktif → contoh → membuat generalisasi . Penilaian diberikan di akhir setiap sesi pengajaran dan pembelajaran.
 
 
Penilaian
Hasil kajian menunjukkan bahawa melalui penggunaan Ayat Topik dan Δ(Segitiga) 5W+1H dalam pembelajaran dan pengajaran penulisan karangan, telah berlaku perubahan dalam meningkatkan penguasaan membina dan mengembang isi / idea sesebuah karangan dalam kalangan murid Tingkatan 5SN. Murid-murid berjaya menguasai kemahiran tersebut yang akhirnya berjaya meningkatkan prestasi mereka dengan baik berbanding dalam ujian pra . Mereka dapat dan faham akan  konsep Ayat Topik dan Δ(Segitiga) 5W+1H tersebut. Di samping itu, mereka juga dapat mengaitkan setiap langkah-langkah menulis karangan dalam rajah Δ (segitiga) bermula daripada ayat topik, huraian 1, huraian 2, contoh dan kesimpulan akhir perenggan (kesimpulan kecil). Akhirnya melalui kaedah tersebut jelas menunjukkan murid berjaya membina dan mengembangkan isi / idea dengan baik dan bersistematik dan menjurus kepada menjawab soalan karangan tersebut. Secara keseluruhannya pencapaian murid dalam menguasai kemahiran membina dan mengembang isi / idea sesebuah  karangan dapat ditingkatkan. Akhirnya murid juga faham untuk menjawab dan membina karangan yang baik dan mendapat markah yang cemerlang.
Refleksi.
Sebenarnya penguasaan murid dalam kemahiran membina dan mengembang isi / idea sesebuah karangan dapat ditingkatkan jika guru menggunakan suatu konsep yang mantap dan baik dalam pembelajaran dan pengajarannya. Hal ini kerana pendekatan dan teknik yang berkesan, ditambah dengan konsep yang betul murid dapat memahami pengajaran guru . Guru seharusnya mendedahkan kepada murid pelbagai kaedah menarik untuk murid mudah memahami sesuatu aspek pembelajaran. Justeru itu, apabila guru kurang mampu menyampaikan isi pengajarannya dengan berkesan telah menyebabkan murid gagal untuk menguasai sesuatu kemahiran dengan betul. Oleh itu, guru perlu bertanggungjawab memastikan isi pengajaran, penerangan konsep yang jelas, pendekatan dan teknik yang betul, latihan yang mencukupi dan penilaian yang teratur pasti akan meningkatkan prestasi murid dalam pembelajarannya.

Pengikut