Isnin, 3 Ogos 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TATABAHASA

Teknik Penerangan Untuk Mengajar imbuhan ‘ me ' .
1.1 Pengenalan
Pengajaran tatabahasa adalah pengajaran mengenai hukum-hukum dan peraturan sesuatu bahasa. Hal ini melibatkan struktur dan sistem bahasa tersebut. Pemahaman yang baik tentang selok-belok struktur dan sistem bahasa yang dipelajari akan membolehkan seseorang menguasai dan menggunakan bahasa itu dengan betul , cekap dan berkesan .
Perkataan ‘ tatabahasa’ adalah terjemahan daripada perkataan Inggeris iaitu ‘ grammar ‘ . Dalam bahasa Yunani ianya disebut ‘ gramatikos’ yang dimaksudkan sebagai seni membaca dan menulis.
Menurut Arbak Othman ( 1985 : 19 ) , pengajaran tatabahasa sebaik-baiknya dikendalikan untuk memahamkan para pelajar akan perkara-perkara berikut :
(a) bentuk unsur-unsur tatabahasa.
(b) fungsi unsur-unsur tertentu tatabahasa.
(c) makna tatabahasa unsur-unsur tatabahasa.
(d) pola-pola sebutan aspek tertentu tatabahasa.
Apabila pelajar telah mengetahui unsur-unsur tersebut , pelajar-pelajar dapat memahami peraturan-peraturan bahasa itu sendiri berdasarkan bentuk , fungsi , makna dan pola-pola sebutan aspek -aspek tertentu tatabahasa yang diajarkan itu. Menurut Arbak Othman terdapat beberapa teknik mengajarkan tatabahasa yang dianggap sesuai untuk dipraktikkan. Di antara teknik-teknik yang disyorkan ialah :-
(a) Teknik penerangan.
(b) Teknik keperihalan.
(c) Teknik perbandingan.
(d) Teknik binaan
(e) Teknik analisis.
1.2 Takrif Teknik Penerangan.
Untuk seseorang menguasai peraturan nahu sesauatu bahasa ia perlu memahami dan menguasai peraturan nahu bahasa berkenaan , misalnya menguasai peraturan pengimbuhan bahasa yang dipelajari. Cara yang paling berkesan untuk menyampaikan peraturan nahu sesuatu bahasa adalah dengan mengunakan teknik penerangan.
Teknik penerangan adalah merupakan langkah-langkah dan cara pengajaran yang meminta guru-guru memberikan penerangan , iaitu keterangan-keterangan secara lisan tentang aspek-aspek tatabahasa yang akan dipelajari atau disampaikan kepada pelajar. Melalui teknik ini , pelajar-pelajar hanya mendengar sambil cuba memahamkan secara berkesan semasa keterangan-keterangan disampaikan.
Melalui teknik penerangan ini , seseorang guru boleh mengajarkan semua imbuhan Bahasa Melayu dan untuk mengajarkan tiap-tiap satu daripada imbuhan itu, perkara -perkara yang harus diterangkan adalah :
(a) kejadian bentuk-bentuk sesuatu imbuhan yang diajar,
(b) fungsi imbuhan tersebut;
(c) makna imbuhan-imbuhan tertentu yang sesuai.
Teknik ini memerlukan guru-guru memberi penerangan selengkap-lengkapnya. Guru-guru juga disyorkan menyertakan contoh-contoh yang pratikal dan konkrit. Penerangan yang telah disampaikan hendaklah disusuli dengan latihan-latihan tertentu. Ini membolehkan guru mengesan sejauh manakah pelajar-pelajar telah dapat memahami pelajaran yang disampaikan . latihan-latihan ini boleh dibuat secara lisan atau secara latihan bertulis. Walaubagaimanapun , latihan bertulis perlu diberi untuk membolehkan pelajar-pelajar mengulangi dan mengamati kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan dan dapat membetulkannya sendiri.

1.3 Mengajarkan Imbuhan ‘ MeN’ Menggunakan Teknik Penerangan.
1.3.1 Menerangkan kejadian bentuk-bentuk imbuhan ‘ meN - ‘
Dalam mengajarkan imbuhan ‘ me ‘ dengan menggunakan teknik penerangan, guru semestinya terlebih dahulu menerangkan bentuk-bentuk kelainan imbuhan ‘ meN- ‘ . Hal ini adalah penting kerana kegagalan menguasai bentuk-bentuk imbuhan ‘meN-‘ boleh mengakibatkan kesalahan tatabahasa yang amat ketara iaitu jika dilihat daripada struktur perkataan-perkataan terbitan imbuhan ‘ meN-‘ .
Melalui teknik penerangan , guru dapat menerangkan bagaimana bagaimana bentuk-bentuk kelainan sesuatu imbuhan diwujudkan apabila ia diimbuhkan kepada kata-kata dasar tertentu berdasrkan bunyi pertama pada sesuatu kata dasar.
Bagi membolehkan pelajar-pelajar menguasai kelainan bentuk-bentuk imbuhan ‘ meN-‘ , penerangan guru hendaklah dibuat terhadap unsur-unsur morfofonemik yang terlibat dalam melahirkan kelainan-kelainan tertentu imbuhan ‘ meN-‘ iaitu sama ada sebagai unsur gantian atau sebagai unsur tambahan
Dalam pengajaran imbuhan ‘ meN-‘ , contoh bentuk-bentuk kelainan yang wujud yang mesti diterangkan adalah seperti berikut :-

I. Bentuk Kelainan Yang Mengandungi Unsur Gantian
(a) meN- + pesan à me- + mesan ( memesan )
(b) meN- + tunjuk à me- + nunjuk ( menunjuk)
(c) meN- + kaji à me- + ngaji ( mengaji )
(d) meN- + salin à me- + nyalin ( menyalin )

II. Bentuk Kelaianan Yang Mengandungi Unsur Tambahan.
(a) meN- + bantu à mem- + bantu ( membantu )
(b) meN- + cari à men- + cari ( mencari )
(c) meN- + dayung à men- + dayung ( mendayung )
(d) meN- + jemur à men- + jemur ( menjemur)
(e) meN- + ambil à meng- + ambil ( mengambil)
(f) meN- + ejek à meng- + ejek ( mengejek )
(g) meN- + gali à meng- + gali ( menggali )
(h) meN- + ikut à meng- + ikut ( mengikut
(i) meN- + olah à meng- + olah ( mengolah )
(j) meN- + ulang à meng- + ulang ( mengulang )
(k) meN- + bom à menge- + bom ( mengebom)
(l) meN- + cap à menge- + cap ( mengecap )
(m) meN- + lap à menge- + lap ( mengelap )
(n) meN- + pos à menge- + pos ( mengepos )
(o) meN- + sah à menge- + sah ( mengesah )
(p) meN- + tin à menge- + tin ( mengetin )
(q) meN- + kod à menge- + kod ( mengekod)

III. Bentuk-Bentuk Kecuali Imbuhan ‘ meN- '
Dalam Bahasa Melayu terdapat kelainan imbuhan ‘ meN-‘ yang terkecuali daripada rumus atau peraturan nahu pembentukan kata Melayu . Bentuk-bentuk kecuali terdapat pada kata-kata dasar asli dan kata dasar pinjaman yang tertentu Bahasa Melayu.
Bentuk-bentuk kekecualian daripada ombuhan ‘meN-‘ perlu diterangkan supaya pelajar-pelajar:-
(i) mengetahui selengkap-lengkapnya variasi bentuk sesuatu imbuhan.
(ii) dapat mengelakkan kekeliruan mengenai masalah salah penggantian alomorf tidak akan berlaku.
Di antara contoh-contoh bentuk-bentuk kekecualian yang mesti diterangkan ialah :-
I. Kekecualian Bentuk Imbuhan ‘MeN-‘ daripada kata dasar asli B.Melayu.
(a) meN- + bahaya à mer- + bahaya ( merbahaya)
Dalam penggunaan kata ‘ merbahaya ' terdapat ahli bahasa yang mencadangkan supaya ianya digantikan dengan ‘ berbahaya ' . Menurut Arbak Othman , terdapat konotasi yang mengizinkan bentuk ‘ merbahaya ' dikekalkan. Hal ini dapat dihuraikan melalui contoh ayat berikut:-
(i). Seelok-eloknya kita jangan menghampiri tebing sungai itu,sebab keadaan di situ sangat merbahaya.
Perkataan ‘ merbahaya’ dalam ayat di atas membawa maksud yang jelas , sekali tanpa sebarang keterangan tambahan selepas ayat itu. Jika dalam ayat yang sama , perkataan ‘ merbahaya’ digantikan dengan ‘berbahaya’ , ayat yang sama itu menjadi tidak lengkap maksudnya jika tidak ditambah selepas ayat itu, keterangan tertentu , seperti berikut :
(ii) Seelok-eloknya kita jangan menghampiri tebing sungai itu , sebab keadaan di situ sangat berbahaya kepada diri kita.
Kita barangkali bersetuju bahawa ayat tersebut akan menjadi salah nahunya , jika ayat tersebut mempunyai makna yang tidak lengkap, kalau perkataan ‘ berbahaya’ itu digunakan dalam ayat (I) di atas :
(iii) Seelok-eloknya kita jangan menghampiri tebing sungai itu , sebab keadaan di situ berbahaya.
(b) meN + kaji à meng- + kaji ( mengkaji )
Kekecualian pada kata dasar ‘kaji ' ialah huruf pertamanya tidak berubah menjadi bentuk sengau ( ng ) apabila bergabung dengan meng - iaitu menjadi ‘ mengkaji ' . Bentuk ini adalah untuk membezakannya dengan bentuk ‘ mengaji ‘

(c) meN- + pelawa -à mem- + pelawa ( mempelawa)
(d) meN- + punya à mem- + punyai ( mempunyai )
(e) meN- + ternak à men- + ternak ( menternak)
(f) meN- + tertawa à men- + tertawa ( mentertawa)
· Perhatian:-
Bentuk-bentuk kekecualian imbuhan ‘meN-‘ dalam contoh c, d, e, dan f adalah berdasarkan sebutan iaitu ianya terkecuali daripada rumus atau peraturan nahu pembentukan kata Melayu.

II. Kekecualian Bentuk Imbuhan “meN- ‘ daripada kata dasar pinjaman.
Bagi menerangkan kekecualian bentuk imbuhan ‘meN-‘ yang dimbuhkan kepada kata dasar pinjaman , guru hendaklah menerangkan bahawa bentuk-bentuk kelainan ini tidak mengikut peraturan pembentukan kata Melayu kerana kata-kata dasarnya iatu adalah terdiridaripada kata pinjaman daripada bahasa asing. Lantaran itu, kejadiannya tidak tertakluk pada rumus nahu Melayu.
Berikut adalah contoh-contoh bentuk kekecualian imbuhan “ meN-‘
(a) meN- + pamer à mem- + pamer ( mempamer)
(b) meN- + popular à mem- + popular ( mempopular)
(c) meN- + proses à mem- + proses ( memproses)
(d) meN- + protes à mem- + protes ( memprotes)
(e) meN- + plagiat à mem- + plagiat ( memplagiat)
(f) meN- + transitif à men- + transitif ( mentransitif )
(g) meN- + tadbir à men- + tadbir ( mentadbir)
(h) meN- + tafsir à men- + tafsir ( mentafsir )
1.3.2 Menerangkan Fungsi Imbuhan ‘ meN- '
Melalui teknik penerangan, guru mestilah menerangkan “ fungsi “ imbuhan dalam nahu iaitu lingkungan atau kedudukan ( gatra) yang diduduki oleh kata terbitan imbuhan tertentu dalam struktur ayat Bahasa Melayu. Fungsi imbuhan adalah sebagai;-
(a) penerbit kelas kata.
(b) penetap kelas kata,
(c) pengubah kelas kata.
1.3.2.1 Fungsi Imbuhan ‘ meN-‘ sebagai penerbit kelas kata.
Imbuhan ‘meN-‘ berfungsi sebagai penerbit kelas kata kerja transitif dan kelas kata kerja tak transitif. Sebagai penerbit kelas kata kerja transitif lingkungan atau kedudukan yang diduduki oleh kata terbitan imbuhan dalam struktur ayat adalah ; FN - FK -FN .
Contoh ayat :
(a) Mereka / menjaring ikan di Sungai Chenderiang.
FN FK FN (Ket)
(b) Pekerja Majlis Daerah Tapah / mengangkut sampah di taman itu.
FN FK FN (Ket)
(c) Pak Usu / menebas rumput di kebunnya.
FN FK FN ( Ket )
· Melalui contoh-contoh ayat di atas guru hendaklah menerangkan bahawa kata kerja berimbuhan ‘meN-‘ yang bercetak condong , menerima frasa nama selepas daripadanya berfungsi sebagai objek dalam ayat. Ini menunjukkan bahawa kata-kata kerja berimbuhan ‘meN-‘ dalam ayat- ayat di atas adalah transitif.
Sebagai penerbit kelas kata kerja tak transitif , lingkungan atau kedudukan (gatra) yang diduduki oleh kata terbitan imbuhan dalam struktur ayat adalah ;
FN - FK
Contoh ayat:
(a) Dia / menangis di dalam bilik.
FN FK (Ket)
(b) Ternakan kambingnya / sedang membesar.
FN (Ket) FK
Setelah pelajar diperdengarkan beberapa contoh ayat seperti di atas , guru bolehlah menerangkan bahawa kata-kata kerja yang berimbuhan ‘meN-‘ adalah kata kerja tak transitif kerana kehadirannya/ kedudukannya pada gatra FK dalam ayat dengan struktur FN - FK .


1.3.2.2 Fungsi Imbuhan ‘meN-‘ sebagai penetap kelas kata.
Melalui teknik penerangan, guru hendaklah menerangkan bahawa imbuhan meN- sebagai penetap golongan kata terdiri daripada imbuhan-imbuhan meN- , me- .........-kan , me-..........-i , memper- ........-i dan memper- ..........-kan.
Guru hendaklah menerangkan kuasa immbuhan-imbuhan ini sebagai penerbit golongan tertentu kata kerja ; iatu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Misalnya , guru perlu menerangkan bahawa dasar kata kerja transitif kekal sebagai kata kerja , walaupun selepas diimbuhkan dengan imbuhan-imbuhan yang berikut:

Contoh :-
(a) meN- + baca à membaca
Kata kerja Kata kerja
(b) meN- + jerit à menjerit
Kata kerja Kata kerja
(c) meN- + nyanyi à menyanyi
Kata kerja Kata kerja
(d) meN-.....-kan + tanya à menanyakan
Kata kerja Kata kerja
(e) meN- .......-i + ulang à mengulangi
Kata kerja Kata kerja
(e) memper-...-kan + hitung à memperhitungkan
Kata kerja Kata kerja
(f) memper-......-i + kenal à memperkenali
Kata kerja kata kerja.


Guru juga perlu menerangkan bahawa kata kerja tak transitif juga kekal sebagai kata kerja , walaupun setelah ia diimbuhkan dengan imbuhan-imbuhan yang berikut:-
(a) meN- + jerit à menjerit
Kata Kerja Kata kerja
(b) meN-.....-kan + diri à mendirikan
Kata kerja Kata kerja
(c) meN-....... -i + duduk à menduduki
Kata kerja Kata kerja

(d) memper- .......-kan + kata à memperkatakan
Kata kerja Kata kerja
(e) memper-......-i + setuju à mempersetujui
Kata kerja Kata kerja
1.3.2.3 Fungsi Imbuhan meN- Sebagai Pengubah Kelas Kata.
Menurut Arbak Othman , ( 1989 : 53) melalui teknik penerangan , guru hendaklah menerangkan bahawa imbuhan meN- sebagai pengubah golongan perkataan terdiri daripada semua jenis iaitu awalan meN- , meN-....-kan , meN-...-i, memper-.....-kan dan memper-......-i .
. Imbuhan meN- diterangkan fungsinya sebagai penerbit golongan tertentu kata kerja daripada kata-kata dasar tertentu sama ada kata nama , kata adjektif , kata keterangan dan partikel. Misalnya , Kata dasar tertentu daripada golongan nama , dan kata adjektif
Contoh:-
(i) Imbuhan meN- yang diimbuhkan pada kata nama.
(a) meN- + bukit --à membukit
Kata nama Kata adjektif
(b) meN- + rantau à merantau
Kata nama Kata kerja
(c) meN- + darat à mendarat
Kata nama Kata kerja
(d) meN-...-kan + cat à mengecatkan
Kata nama Kata kerja
(e) memper-... + hamba à memperhamba
Kata nama Kata kerja
(f) meN-.......-i + batas à membatasi
Kata nama Kata kerja
(f) memper- ...-kan + isteri à memperisterikan.
Kata nama Kata kerja
(g) memper-.....-i + dalang à memperdalangi
Kata nama Kata kerja
(ii) Imbuhan meN- yang diimbuhkan dengan kata adjektif.
(a) meN- + tinggi à meninggi
Kata adjektif Kata kerja
(b) me- ....-kan + dekat à mendekatkan
kata adjektif Kata kerja
(c) meN-....-i + hitam à menghitami
Kata adjektif Kata kerja
(d) memper- + kecil à memperkecil
Kata adjektif Kata kerja
(e) memper-...-kan + indah à memperindahkan.
Kata adjektif Kata kerja
(f) memper-.....-i + baik à memperbaiki
Kata adjektif Kata kerja

(iii) Imbuhan meN- yang diimbuhkan dengan kata keterangan.
(a) meN- + nanti à menanti
Kata keterangan kata kerja
(b) meN-...-kan + pesat à memesatkan
Kata keterangan Kata kerja
(c) me-......-i + lewat à melewati
Kata keterangan Kata kerja
(d) memper-...-kan + lengah à memperlengahkan
Kata keterangan Kata kerja
(iv) Imbuhan meN- yang diimbuhkan dengan kata partikel.
(a) me-...-i + atas à mengatasi
Kata partikel Kata kerja
(b) memper-.. + atas à memperatas
Kata partikel Kata kerja

1.3.3 Menerangkan Makna Imbuhan ‘meN- ‘.
Menurut Arbak Othman ( 1989: 89 ) , makna imbuhan ialah makna yang terbawa oleh sesuatu imbuhan pada sesuatu bentuk perkataan yang berbeza pula dengan yang terbawa oleh imbuhan yang sama pada bentuk perkataan yang lain dalam ayat.
Untuk menerangkan makna imbuhan ‘meN-‘ , guru terlebih dahulu hendaklah menerangkan fungsi perkataan -perkataan terbitan hasil daripada kata dasar yang diimbuhkan dengan imbuhan ‘meN-‘ Sebaik-baiknya guru hendaklah menggunakan pola-pola ayat semasa menerangkan fungsi-fungsi imbuhan ‘meN-‘ Berikut adalah contoh-contoh ayat yang dapat digunakan untuk menerangkan fungsi dan makna yang terbawa oleh imbuhan meN- apabila diimbuhkan dengan sesuatu kata dasar.
Contoh :
1. Azizah menggulai daging yang dibeli oleh ayah.
2. Kakak menanam sayur di belakang rumah.
3. Kucing jantan sentiasa mengiau .
4. Kerbau itu menguak memanggil anaknya.
5. Pak Husin merumput di belakang rumah.
6. Pendapatan sampingan Pak Abu ialah merotan di hutan.
7. Helikopter TUDM itu mendarat cemas di padang.
8. Bot itu menepi ke jeti untuk mengambil penumpang.
9. Adiknya mengekor sahaja ke mana dia pergi.
10. Sawah padi menguning ketika padi masak.
11. Dia masih lagi membujang walaupun sudah berumur.
12. Ombak memutih ke pantai.
13. Kain itu dipotong memanjang untuk dijadikan bendera.
Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas , guru meminta para pelajar memerhati kedudukan kata kerja terbitan berimbuhan meN-. Guru menerangkan bahawa fungsi awalan meN - dalam ayat-ayat di atas adalah sebagai penerbit kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja terbitan berimbuhan meN- dalam ayat 1 dan 2 adalah kata kerja transitif ; manakala kata kerja berimbuhan meN- dalam ayat-ayat 3 hingga 13 adalah kata kerja tak transitif
Setelah guru menerangkan fungsi imbuhan meN- sebagai penerbit kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif , guru menerangkan pula makna nahu imbuhan meN- yang berlainan sebagaimana yang terbawa melalui penggunaan perkataan terbitannya dalam contoh ayat-ayat yang diberikan di atas.
Makna nahu pada perkataan berimbuhan meN- dalam ayat-ayat di atas adalah seperti berikut:-
(i) Makna “ melakukan sesuatu " terdapat pada kata kerja menggulai ( ayat 1 ) dan menanam ( ayat 2)
(ii) Makna “ mengeluarkan suara/bunyi " terdapat pada kata kerja mengiau (ayat 3 ) dan menguak ( ayat 4)
(iii) Makna “ mencari dan mengumpulkan sesuatu " terdapat pada kata kerja merumput ( ayat 5) dan merotan ( ayat 6)
(iv) Makna “ menuju sasaran” tedapat pada kerja mendarat ( ayat 7 ) dan menepi ( ayat 8 ).
(v) Makna “ berlaku seperti atau menyerupai sesuatu " terdapat pada kata kerja mengekor ( ayat 9 ) dan menguning ( ayat 10 ).
(vi) Makna “ menyatakan keadaan/ hidup sebagai” terdapat pada kata kerja membujang ( ayat 11).
(vii) Makna “ menjadi " terdapat pada kata kerja memutih ( ayat 12) dan memanjang ( ayat 13)

2.1 Latihan Pengukuhan.
Latihan pengukuhan adalah wajar diberikan sama ada secara lisan atau bertulis untuk menguji dan menilai kefahaman pelajar tentang topik-topik yang telah dipelajari. Misalnya selepas , pengajaran imbuhan ‘ meN- , para pelajar bolehlah diberikan latihan - latihan berikut:-
I. Latihan Mengisi Tempat Kosong.
Latihan ini bermaksud , guru memberi ayat yang mengandungi tempat kosong untuk diisi oleh pelajar berpandukan perkataan dalam kurungan. Latihan ini bertujuan untuk untuk menguji kecekapan mengimbuhkan perkataan dengan imbuhan ‘ meN-‘ mengikut alomorf tertentu yang telah dipelajari.
Latihan A.
Tuliskan semula ayat- ayat di bawah dengan memberikan awalan ‘ meN- yang sesuai berdasarkan perkataan -perkataan dalam kurungan.
1. Pasukan keselamatan telah berjaya ............( tangkap ) lapan orang pencuri kereta dan ..........( bunuh ) ketuanya.
2. Sementara ............( nanti ) pada masak , petani itu ..........( tanam ) jagung.
3. Gopal ........( ngilai ) dengan kuatnya apabila .........( dengar ) kisah lucunya itu.
4. ............( lompat ) ialah sebahagian daripada latihan gerakan badan.
5. Cikgu Husin ..........( ajar) kami mata pelajaran Bahasa Melayu.
6. Ali ..........( lap ) cermin tingkap biliknya.
7. Kapal terbang tentera berjaya ..........( bom ) kubu musuh.
8. Janganlah kamu hampiri tempat latihan menembak itu kerana sangat ..............( bahaya )
9. Pak Ali fasih ...........( kaji ) al- Quran.
10. Pakar kimia sedang ------- ( kaji ) punca kebakaran itu.

Latihan B.
Pilih perkataan yang sesuai dari kurungan untuk mengisi tempat kosong dalam ayat .( Latihan ini bertujuan untuk menguji kefahaman pelajar mengenai tingkah laku alomorf-alomorf tertentu ( meN- ) walaupun daripada kata dasar yang sama.
1. Dia ................ ( membaca , membacakan , membacai , memperbacai) surat kakaknya .
2. Pak Abu ...........( membaca , membacakan, membacai , memperbacakan) isterinya surat dari Aminah.
3. Dia ...........( mempercayakan ,mempercayai mempercaya ) anaknya untuk menjalankan urusan perniagaan.
4. Tidak seorang pun .............( mempercaya , mempercayakan , mempercayai ) cerita hantu itu.
5. Dia .............( membesar , memperbesarkan , membesarkan ) anak-anaknya dengan berjual kuih-muih.
6. Orang kaya itu sedang ............( membesar , memperbesarkan , membesarkan ) rumahnya.
3.1 Kesimpulan
Pengajaran sesuatu imbuhan mestilah meliputi empat perkara iaitu kejadian bentuk-bentuk kelainan sesuatu imbuhan , fungsi imbuhan sebagai penetap atau pengubah kelas kata , fungsi imbuhan sebagai penerbit kelas kata dan makna nahu yang dibawakan oleh imbuhan tertentu .
Untuk menguasai empat perkara yang penting , ia memerlukan penerangan yang jelas agar ianya mudah difahami dan dikuasai. Oleh itu teknik peneranganlah yang paling sesuai digunakan dalam pengajaran sesuatu imbuhan kerana penerangan-penerangan perlu dibuat dalam mengajar apa saja perkara yang berkaitan dengan selok-belok pengimbuhan.
Tanpa penerngan yang jelas , pelajar tidak akan dapat memahami perkara-perkara yang berkaitan denga aspek yang dipelajari. Misalnya , walaupun ada guru yang menggunakan teknik lain iatu teknik perbandingan atau teknik keperihalan untuk mengajarkan aspek tertentu imbuhan ; guru berkenaan mesti juga membuat penerangan semasa menjelaskan kekaburan yang dialami oleh pelajarnya. Ini bermakna bahawa apa sahaja teknik yang digunakan ; penerangan tidak terkecuali untuk dilakukan oleh guru.




Bibliografi:-
Arbak Othman ( 1989) . Mengajar Tatabahasa . Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
---------------------( 1989) .Imbuhan Dalam Bahasa Melayu. Petaling Jaya :
Penerbit Fajar Bakti.
-------------------(1979) “ Pengimbuhan Dan Cara-Cara Mengajarkan Perkataan
Berimbuhan Menurut Golongannya “ dlm Dewan Bahasa Jilid 23(9).
-----------------(1979) “ Pengimbuhan Dan Cara-Cara Mengajarkan Perkataan
Berimbuhan Menurut Golongannya “ dlm Dewan Bahasa . Jilid 23(10)
Koh Boh Boon (1990 ) . Pengajaran Tatabahasa Bahasa Malaysia Prinsip
dan Teknik . Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Abdullah Hassan (1984) . Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia .
Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Abdullah Hassan , Ainon Mohd (1994) . Bahasa Melayu Untuk Maktab
Perguruan . Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Asmah Omar (1996) . Nahu Melayu Mutakhir .( Edisi baru) .Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim , dll ( 1993) .Tatabahasa Dewan - Edisi Baharu . Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengikut