Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah]
Baca petikaan di
bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor
berlakunya stres dan kepentingan menangani gejala
stres. Panjangnya rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Stres bermaksud
keadaan resah, cemas atau tegang akibat tekanan mental atau fizikal yang telah menjadi masalah lazim
bagi manusia pada zaman serba moden ini. Stres mula menjadi penyakit
bagi golongan remaja termasuklah murid sekolah.
Masalah ini walaupun kelihatan remeh, namun boleh menjejaskan
perkembangan sosial golongan remaja yang sedang membesar. Kajian psikologi dan
pembangunan manusia menjelaskan bahawa remaja memerlukan dorongan, bimbingan dan juga perhatian dalam
permasalahan sosial yang dihadapi oleh mereka.
Kajian yang dijalankan di enam buah sekolah menengah yang terbabit dalam projek
perintis kelolaan Majlis Penasihat
Promosi Kesihatan Mental telah
menunjukkan bahawa lebih 27 peratus atau 1,756 daripada 6,540 orang
murid dikesan mengalami tanda-tanda stres yang teruk yang berpunca daripada
masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga. Remaja yang kehilangan sahabat baik dikesan
tidak stabil emosi walhal sahabatnya itu
hanya berpindah rumah atau sekolah. Di
samping itu ada pula remaja yang sukar
menyesuaikan diri dengan suasana dan
persekitaran yang baru setelah berpindah
ke sekolah yang baru. Menyentuh soal hubungan kekeluargaan pula, gejala stres
boleh berlaku apabila remaja tidak dapat
menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seperti ipar, kelahiran adik atau
pasangan baru yang membabitkan ibu atau bapa. Kadang kala sikap ibu bapa yang
bersikap pilih kasih terhadap
anak-anak juga menyumbang permasalahan
ini. Kesannya, mereka bertindak menjauhkan diri daripada bergaul mesra dengan
ahli keluarga. Selain itu stres juga
berpunca daripada sikap malu dengan
kekurangan diri berbanding dengan adik-beradik yang lain. Tambahan pula, perbezaan umur yang terlalu jauh antara
adik-beradik menyebabkan mereka tertekan dan tidak dapat menjalinkan hubungan
yang baik dengan ahli keluarga sendiri.
Mengikut
pandangan tokoh psikologi, remaja daripada keluarga berpendapatan rendah dan
golongan etnik minoriti selalunya menghadapi tekanan di sekolah dan berdepan dengan pelbagai
masalah jika dibandingkan dengan rakan mereka
daripada golongan yang mempunyai
tahap sosioekonomi yang sederhana. Di rumah pula, ibu bapa yang tidak
mempunyai pendidikan tinggi akan menimbulkan keresahan remaja kerana ketidakmampuan ibu bapa mereka membantu
mereka dari segi pencapaian akademik. Walau bagaimanapun, semua masalah ini
akan mematangkan kehidupan seseorang remaja dalam menuju ke alam dewasa. Ibu bapa sewajarnya berperanan memberikan
nasihat dan bimbingan kepada anak-anak
dan tidak membiarkan mereka hanyut serta menyelesaikan masalah ini bersendirian. Ibu bapa perlulah mengambil inisiatif
memahami jiwa anak-anak. Akhirnya kita mengharapkan agar masalah stres dalam
diri remaja ini dapat ditangani secara
bijak dan berkesan.
(Dipetik dan diubah
suai daripada
‘Remaja Perlu Bijak
Tangani Stres’
Oleh Dr. Aminudin
Mansor,
Utusan Malaysia, 19 April 2013
Soalan 2(a)- Petikan Umum
Berdasarkan petikan
soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i)
Apakah maksud rangkai kata memerlukan
dorongan? [2 markah]
(ii)
Pengarang menyatakan beberapa tindakan yang
perlu diambil oleh ibu bapa untuk
membantu anak mereka menghilangkan stres.
Nyatakan tindakan-tindakan itu. [3 markah]
(iii)
Pada pendapat anda apakah usaha-uasaha yang dapat dilakukan oleh pihak sekolah
untuk menangani
gejala stres dalam kalangan murid?
[4 markah]
Soalan 2(b) Petikan Drama
Baca petikan drama
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
SHAHRUL : Cerita macam itu tak payahlah kamu cakap. Semua orang tahu.
MAN : Tadi abang suruh Man cakap, Man cakaplah
SABRI
tidak ambil pusing dengan cerita MAN BENGAP.
SHAHRUL : Cerita
itu abang sudah tahu.
MAN : (Merendah
diri) Orang belajar sekolah tinggi macam abang, tentulah tahu cerita nabi-nabi. Tapi orang macam Man , macam mana
hendak tahu? Anak yatim piatu. Sekolah darjah dua sudah kena berhenti. Atuk
suruh ikut dia ke laut. Jadi macam abang,
untung. Dapat masuk sekolah tinggi, dapat kerja bagus. Gaji pun banyak. Jadi manager, jadi enjin neor. Man rasa kalau abang cakap orang
putih mesti bunyi macam orang
putih, kan? (ketawa) Man ingin hendak
jadi macam abang, tapi atuk kata, Man jadi nelayan cukuplah, sebab Man tidak
sekolah tinggi. Sekolah Man setingkat saja. Lagipun, kata atuk, Man dapat jaga
atuk, jaga nenek. Kalau atuk sakit Man tidak payah hendak minta cuti. Kira Man
ini macam tauke sendiri, huh!
(Dipetik daripada drama
”Tiang Cengal
Dinding Sayung”
Oleh Suriani Mohd. Yusof,
dalam antologi Dirgahayu
Bahasaku,
Dewan
Bahasa dan Pustaka)
(i)
Nyatakan
kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh Shahrul seperti yang dinyatakan oleh
Man. [2 markah ]
(ii)
Sekiranya anda
Shahrul, apakah tindakan-tindakan yang akan anda lakukan untuk membantu Man
yang tercicir dalam pelajaran? [3 markah]
(iii)
Huraikan satu persoalan
yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan yang lain daripada
drama yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]
Soalan 2(c) Petikan Prosa
Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah sudah puteri mendengar pantun itu maka tuan
puteri pun tersenyum seraya katanya, “Hai bayan, dari manakah engkau datang ini
maka sampai ke mari ini?”Maka sahut bayan itu, “Adapun datang patik ini dari Negeri Lela Gambar.”
Maka kata tuan puteri, “ Dimanakah Negeri Lela Gambar itu?’ Maka kata bayan itu, “ Ya tuanku tuan
puteri adapun negeri Lela Gambar itu daerah matahari hidup.” Maka kata tuan
puteri, “ Besarkah negeri itu?” Maka kata bayan itu, “ Besar tuanku Negeri Lela
Gambar itu. Adalah baginda beranak seorang laki-laki bernama Raja Indera
Bumaya. Baginda itulah tuan patik serta baik budinya bahasanya lagi dengan
bijaksana. Syahadan rupanya terlalu elok.”
Maka kata dayang-dayang tuan puteri yang bernama Dang Sendaya seraya tertawa-tawa.
Katanya, “Hai, bayan, sungguhlah elok tuanmu itu?” Maka bayan itu pun
melompat-lompat ke ribaan Dang Sendaya itu seraya berpantun.
Gambar di dalam puan,
Dang Jirat
duduk menyuji;
Jika beta khabarkan tuan,
Tuan nescaya
ghairat dalam di hati.
(Dipetik daripada
”Hikayat Langlang Buana”
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan
Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikan maksud rangkai kata sungguhlah elok tuanmu. [ 2 markah ]
(ii) Berdasarkan
petikan di atas nyatakan perkara-perkara yang disampaikan oleh bayan
kepada
tuan puteri tentang Negeri Lela Gambar.
[ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda,
mengapakah wajah putera raja yang dilahirkan sering digambarkan sangat
elok dan sempurna.
[ 3 markah ]
Soalan 2(d) Petikan Pantun
Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
PANTUN
LAPAN KERAT
Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah
hutan buat halaman,
Di
tepi halaman menanam kubis,
Diselang
dengan pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah
tanda tuan beriman,
Tidak
patah digoncang iblis,
Akhirnya
tuan menang berjaya.
Ikan teluk parang-parang,
Anak
ketam disangka lelabi,
Berburu
musim tengkujuh,
Dapat
buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu
adam sepaian nabi,
Turun
dari langit ketujuh,
Jadi
khalifah kepada Allah.
Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku
jatuh patah dua,
Menjadi
riuh orang didarat,
Anak
Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana
lalai rosak binasa,
Kebudayaan
Timur dinodai Barat,
Bahasa
ibunda hina terbiar.
HARUN MAT PIAH
(Penyelenggara)
Puisi Melayu Tradisional : Nasihat dan pengajaran, 2004
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(i)
Berikan maksud rangkai kata bukan makhluk
sebarang-barang [2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang
dapat dilakukan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita? [3 markah]
(iii)
Jelaskan persoalan-persoalan yang
terdapat dalam puisi di atas.
[4 markah]
Soalan
3 : Pengetahuan dan kemahiran Bahasa
[ 30 markah ]
(a)
Tulis satu ayat bagi setiap
perkataan di bawah untuk
menunjukkan bahawa anda faham maksud dan penggunaanya. Anda tidak boleh
menambahkan imbuhan, atau menggunakan
perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i)
mengecil - mengecilkan
(ii)
mendatang - mendatangkan
(iii)
mengalah - mengalahkan
[ 6 markah ]
(b)
Tukarkan cakap ajuk di bawah
ini kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya.
(i)
"Bagaimanakah perasaan kamu apabila diumumkan sebagai Tokoh Pelajar
pada tahun ini?” tanya Amin kepada Iskandar
(ii)
”Janganlah kamu bersedih lagi kerana setiap peristiwa yang berlaku pasti
ada hikmah disebaliknya,” kata Cik Limah kepada Aisyah.
(iii)
”Wah, cantik sungguh awak berpakaian baju kurung serba kuning pada pagi
ini!” kata Cikgu Hamidah kepada Swee
Lan.
[ 6 markah ]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat tiga kesalahan penggunaan ejaan dan
tiga kesalahan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan
itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan
tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu
semula.
Ibu bapa sewajarnya tidak
mendeskriminasikan anak-anak dalam memberikan kasih sayang agar perasaan cemburu
antara mereka dapat dielak. Nilai kasih sayang dan sikap saling dihargai dalam
kalangan adik-beradik hendaklah diterapkan kedalam jiwa mereka. Eratkanlah
hubungan mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat mengalakkan
mereka bekerjasama antara satu sama lain. Untuk itu, komunikasi yang afektif
dapat membantu mengatasi masalah perasaan cemburu sesama mereka.
[ 6 markah ]
(d) Dalam ayat- ayat di bawah,
terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.
Senaraikan dan betulkan
kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih
daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan
tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Apabila muncul musim bunga, bunga-bunga
yang berkembang mekar telah memukau setiap pengunjung-pengunjung di kawasan
taman negara tersebut.
(ii) Puan Normah telah diseru untuk menyampaikan
sepatah dua kata didalam majlis yang
dianjurkan oleh kakitangan pejabat sempena persaraannya.
(iii) Malaysia mempunyai kumpulan hoki yang
setanding dengan negara lain-lain di persada antarabangsa.
[ 6 markah ]
(e) Baca ayat di bawah dengan
teliti dan kemudian kemukakan peribahasa yang
menggambarkan situasi yang terdapat dalam ayat tersebut.
(i) Salmi pernah gagal dalam perniagaannya.
Namun dia sentiasa mengambil pelbagai ikhtiar untuk memastikan perniagaannya
dapat dipulihkan. Usahanya yang tidak pernah kenal erti penat lelah akhirnya
membuahkan hasil. Kini Salmi merupakan salah seorang usahawan yang berjaya di
negara ini.
( ii ) Masyarakat di kampung itu hanya mampu melihat dan
bersimpati dengan keperitan hidup Puan Salmah. Mereka
sentiasa menghulurkan bantuan untuk meringankan beban kehidupannya. Namun hanya
Puan Salmah sahaja yang merasai dan menanggung betapa perit penderitaan
hidupnya.
( iii ) Pengetua sekolah itu mengadakan pelbagai
program motivasi sejak awal tahun lagi untuk meningkatkan pencapaian
murid-murid yang lemah dalam semua mata pelajaran. Beliau yakin dan percaya
melalui program yang berterusan dan usaha gigih guru-guru itu akhirnya
pelajar-pelajar yang lemah akan mencapai
kejayaan dalam peperiksaan.
[ 6 markah ]
Soalan 4: Novel
[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
i.
PAPA… (akhirnya kau
tewas jua!) karya Deana Yusof
ii.
Melunas Rindu karya
Hartini Hamzah
iv.
Renyah karya
Gunawan Mahmood
v.
Konserto Terakhir
karya Abdullah Hussain
vi.
Kembara Amira
karya Amer Hamzah L. Kadir
vii.
Kabus di Perbukitan
karya Mohamad Kholid Hamzah
viii.
Sutera dalam
Lukisan karya Abd. Talib Hassan
a)
Terdapat pelbagai
peristiwa yang dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua peristiwa yang menyebabkan anda
berasa bangga dengan watak utama dalam sebuah novel yang telah anda pelajari. [7 markah]
b)
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan latar tempat yang terdapat dalam novel
tersebut.
[8 markah]
KERTAS SOALAN TAMAT