Sabtu, 7 September 2013

Soalan Percubaan SPM Kertas 2 Tahun 2013 ( SELARAS BP )


Soalan 1 : Rumusan
 
[30 markah]
 
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang  usaha-usaha menghargai jasa veteran tentera dan sebab-sebab veteran tentera perlu diberikan penghargaan. Panjangnya  rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
 
Semenjak sekian lama, negara kita telah menikmati  keamanan yang berterusan kerana jasa yang tidak ternilai oleh para perajurit negara.  Setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan bergelar veteran tentera,  golongan ini tidak wajar dilupakan begitu sahaja.  Sehubungan dengan itu, Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) telah dirasmikan  oleh Perdana Menteri pada 15 Disember 2012 di Kuala Kangsar, Perak untuk memberikan sokongan yang lebih menyeluruh dalam meningkatkan taraf sosioekonomi  veteran tentera. 
 
Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat  veteran tentera yang masih tinggal di rumah yang kurang sempurna. Oleh itu,  kerajaan berusaha menyediakan rumah yang lebih selesa pada kos yang rendah untuk veteran tentera. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2012 dengan membina sebanyak 49 buah rumah. Kini veteran tentera yang tinggal di kawasan luar bandar dapat menikmati keselesaan tinggal di rumah sendiri dengan keadaan persekitaran yang lebih baik. Dalam memastikan veteran tentera tidak ketinggalan dalam arus kemajuan semasa, 31 kem tentera telah dijadikan sebagai  pusat sehenti veteran tentera yang tinggal di kawasan luar bandar . Di pusat ini, mereka boleh  mendapatkan khidmat nasihat , pelbagai kemudahan sosial dan memupuk hubungan yang lebih erat dengan pegawai Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).  Seterusnya, kerajaan juga bersedia  memenuhi  keperluan kebajikan  keluarga veteran tentera supaya kehidupan mereka lebih terjamin.
 
Kebanyakan veteran  tentera mempunyai kemahiran  dan kepakaran yang berharga kepada organisasi korporat. Oleh hal yang demikian JHEV telah memperkenalkan program penempatan kerja untuk veteran tentera dalam sektor swasta. Natijahnya, melalui kerjasama dengan sektor korporat, JHEV  sudah berjaya menempatkan sebanyak 1,354 orang veteran tentera untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan korporat.  Suatu hal yang menarik  lagi, lebih 90 peratus veteran tentera berminat untuk menjadi usahawan. Bagi merealisasikan cita-cita mereka, para veteran tentera   diberi bantuan kewangan dan khidmat nasihat untuk memulakan perniagaan seperti peruncitan, makanan dan minuman. Manakala untuk mendapatkan kemahiran yang lebih tinggi veteran tentera dipelawa mengikuti pelbagai  latihan dan kursus yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).  JHEV juga telah menyediakan sesi taklimat  mengenai Azam Niaga yang diadakan di seluruh Malaysia untuk membantu veteran tentera yang telah menceburi bidang perniagaan mengembangkan perniagaan mereka.
 
Sebagai golongan yang berjasa,  veteran tentera juga dibekalkan dengan Kad Bekas Tentera (KBT) . Seramai 117,051 pemegang KBT  telah dapat menikmati keistimewaan dan diskaun yang ditawarkan melalui program ini.  Diharapkan dengan adanya semua inisiatif ini veteran tentera bukan sahaja dapat  berdikari malah dapat meningkatkan kedudukan  moral  mereka dengan lebih ketara. Kita sewajarnya terus menyokong transformasi dalam kehidupan veteran tentera dan keluarga mereka sejajar dengan pelan pembangunan negara yang dibentuk untuk rakyat negara ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Mengenang Pengorbanan Wira Negara’
oleh Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan dan Laksamana Tan Sri Ilyas Din (B)
Berita Harian, 29 Julai 2013)

 

Soalan 2 : Pemahaman

 

Soalan 2 (a) - Petikan Umum
 
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 
 
  (i)
Berikan maksud rangkai kata menikmati keistimewaan.                         [2 markah]
 
 
 
 (ii)
Pengarang menyatakan beberapa harapan terhadap veteran tentera.
 Nyatakan dua harapan.                                                                          [3 markah]
 
 
 
(iii)
Nyatakan pendapat anda tentang cara-cara untuk menarik golongan remaja menyertai angkatan tentera.                                       
[4 markah]
 
 
 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan 2(b) - Petikan Drama
 
Baca petikan drama di bawah dengan teliti,  kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 
Romli              : Itu betul, Pak Sudin. Tapi kita tak tahu akan jadi sampai begini. Kuda-kuda itu
  membawa penyakit.
Pak Sudin        : Kita nak buat apa sekarang?
Kamar             : Kita pergi jumpa tuan Dollah. Kita ceritakan perkara yang sedang berlaku.
Pak Sudin        : Nak cerita apa?
Leman             : Kita katalah, sebelum dia datang dengan kuda-kudanya, air sungai bukan
                          begini.  Ikan banyak, udang banyak. Sekarang tengok apa dah jadi?
Romli              : Kuda- kuda dia mandi, meloncat-loncat, entah apa-apa lagi yang dibuatnya di
                          dalam sungai tu.
Kamar             : Anak- anak kita sakit, isteri kita sakit. Kita pun tak sedap badan. Apa nak jadi
                          ha?
Leman             : Penyakit yang bukan-bukan pula tu. Tengok apa jadi dekat anak aku? Anak
                          Romli, anak   Sudin? Mata budak tu tertangkup langsung. Ada yang lumpuh,
                          yang pekak, yang tolol.  Dulu mana pernah jadi semua ni? Lama-lama nanti
                          apa jadi pada masyarakat kita?
Pak Sudin        : Siapa kata semua ni kerana kuda-kuda Tuan Dollah?
Romli              : Mengapa dulu tak begini?
 
(Dipetik daripada
drama ‘1400’
oleh Noordin Hassan
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
 

 

 
 (i)
Nyatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak di  kampung tersebut.                     
                                                        [2 markah]
 
 
 
 (ii)
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mencegah penyakit berjangkit merebak dalam kalangan masyarakat.                                         
                                                                                                                [3 markah]
 
 
 
(iii)
Huraikan satu pengajaran  dalam petikan drama di atas dan satu pengajaran  lain
daripada  drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.                                                                                                                                        [4 markah]

    

 
 
 
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik
 
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 
              Setelah itu diberinya pula Awang Sulung sebilah parang, disuruhnya mencari kayu. Orang mengambil kayu bakau dan temu laut, tetapi Awang Sulung mengambil batang nipah.
            Apa gunanya menyimpan budak hitam ini? Disuruh mengambil air diambilnya air masin, disuruh mengambil kayu diambilnya batang nipah ...,” bebel jurumudi itu di depan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
            Waktu diadakan  kenduri, jurumudi menyuruh Si Kembang Cina memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu untuk Awang Sulung. Sedang Si Kembang Cina membuat kerja itu terpandanglah oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa lalu dimarahinya. “Mengapa kau buat begini, hai perempuan celaka? Bapa engkau atau laki engkaukah si jurumudi bedebah itu?”
            Kemudian disuruhnya Si Kembang Cina menyediakan hidangan istimewa untuk Awang Sulung dengan talamnya beralaskan kain kuning.
            “Sudah itu bawa buyung suasa berisi air masin itu ke mari,” perintahnya lagi.
            Tuan Puteri Dayang Seri Jawa merasa air masin di dalam buyung itu sudah bertukar menjadi manis bagai serbat, lalu disuruhnya pula Si Kembang Cina merasanya. Si Kembang Cina merasa takjub. Bagaimanakah air masin boleh bertukar menjadi serbat?
            “Lain kali ingat sedikit perbuatanmu itu!” kata Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sambil menunjal muka Si Kembang Cina.
 
 
(Dipetik daripada
                                                                                      ‛Pelayaran yang Penuh Peristiwa’
                                                                                            dalam antologi Harga Remaja,
                                                                                              Dewan Bahasa dan Pustaka)
 
 
 
  (i)
Berikan maksud rangkai kata  apa gunanya menyimpan                              [2 markah]
 
 
 
 (ii)
Setelah melihat Si Kembang Cina mengerjakan suruhan jurumudi,  nyatakan tindakan-tindakan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terhadap Si Kembang Cina.
                                                                                  
                                                                                                                       [3 markah]
 
 
(iii)
Sekiranya anda Si Kembang Cina, apakah yang wajar anda lakukan apabila disuruh oleh jurumudi menyediakan hidangan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu untuk Awang Sulung?
 
Kemukakan dua pendapat anda.                                                                             
                                                                                                                       [3 markah]                                                     

 

 

 

 

Soalan 2(d)Puisi Tradisional
 
Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 
 
Gurindam Tonggak Dua Belas
Mohd Sidek Mohd Dollah (Mas Adeki) (penyelenggara)
 
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
 
Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
 
Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.
 
Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
                                                Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.
 
Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
 
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.
 
Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.
 
Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.
 
Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.
 
Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
 
Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
 
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
 
Seuntai Kasih Secebis Harapan, 2007
 
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka
 
 
 
  (i)
Berikan maksud  perkara susah menjadi senang.
                            [2 markah]
 
 
 (ii)
Jangan dinanti esok lusa pada rangkap 1 baris kedua membawa maksud kita dilarang menangguh-nangguhkan kerja yang diberikan.
 
Pada pendapat anda, mengapakah kita dilarang menangguh-nangguhkan pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita?                                                                                                                                                                                                          [3 markah]
[3 markah]
 
 
(iii)
Huraikan  dua nilai murni yang terdapat dalam rangkap 4, 5 dan 6 gurindam di atas.
     [4 markah]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

 

[ 30 markah ]

 

Jawab semua soalan.

 

(a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk  menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
 
 
  (i)
kelihatan
 
 (ii)
penglihatan
 
(iii)
kekurangan
 
(iv)
pengurangan
 
 (v)
kepanasan
 
(vi)
pemanasan
 
 
[6 markah]

 

(b)
Tukarkan ayat bersusunan biasa di bawah kepada ayat bersusunan songsang tanpa
mengubah maksud asalnya.
 
 
(i)
Mereka diminta menyusun kerusi sebelum acara sukan  bermula di padang sekolah.
 
(ii)
Encik Hashim telah membeli rumah banglo di Cameron Highlands dengan duit titik peluhnya sendiri.
  
 
(iii)
Gadis dari Brunei Darussalam itu diperisteri oleh Encik Halim sebulan yang
lalu.  
 
 
[6 markah]

(c)
Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
     
 
      Semua anggota keluarga, jiran tetangga dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam kontek memupuk penghidupan berkeluarga yang sihat dan masyarakat yang dinamik untuk bina negara yang maju. Semua pihak haruslah bertanggung jawab  untuk membimbing keluarga ke arah kesejahteraan. Tambahan pula, kedudukan istemewa sebagai ibu bapa membolehkan mereka memain peranan yang lebih berkesan dalam menangani gejala yang tidak diingini.    
 
[6 markah]

 

 

 

(d)
Dalam setiap ayat di bawah  terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
 
  (i)
Jabatan Meteorologi telah mengenal pasti antara sebab-sebab berlakunya kejadian tanah runtuh ialah hujan kuat yang berpanjangan.
 
 (ii)
Pemberian bantuan dan beberapa intensif untuk membantu para penjawat awam telah kerajaan putuskan pada hari ini.
 
(iii)
Setelah dibicarakan ke mahkamah pada petang tadi, orang yang kena tuduh telah
ditemui bersalah dan dihukum penjara selama setahun.
 
 
[6 markah]

 

 

(e)
Baca maksud peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud peribahasa tersebut.
 
 
i)                     Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan.
 
ii)                    Menyesuaikan diri dengan budaya dan peraturan di sesuatu tempat.
 
iii)                  Berjaga-jaga sebelum mendapat sesuatu bencana

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan 4: Novel

 

[15 markah]

 

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
 
 
  (i)
 
(ii)
 
(iii)
 
(iv)
 
(v)
 
(vi)
 
(vii)
 
(viii)
 
PAPA … (akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusuf
 
    Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah
 
    Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
 
    Renyah karya Gunawan Mahmood
 
    Interlok karya Abdullah Hussain
 
    Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan
 
    Kembara Amira  karya Amer Hmzah L. Kadir
 
    Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid
 
 
(a)
Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, jelaskan bagaimanakah watak
sampingan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh watak utama?      
 
 
 
[7 markah]
 
 
 
 
 
 
(b)
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan satu persoalan daripada  
setiap novel tersebut.      
                                                                                            
 
[8 markah]

                                                                                                

           

                                                                                                                                   

 


KERTAS SOALAN TAMAT

Pengikut