Khamis, 17 Mei 2012

AKTIVITI KOAKADEMIK PSUB

KERTAS KONSEP
SYARAHAN PIALA PERPADUAN
SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA / TAMIL

A. PENGENALAN

Syarahan adalah salah satu cabang daripada perkataan rhetor, yang berasal daripada perkataan Yunani. Dalam Bahasa Melayu ia disebut ‘retorik’ yang bermaksud gaya berucap. Ia boleh ditakrifkan sebagai seni penggunaan kata-kata dengan cara yang berkesan dalam ucapan atau syarahan. Asas dalam retorik ialah ethos, patos, dan logos.

Ethos

Peserta syarahan harus meyakinkan khalayak bahawa dirinya memiliki pengetahuan yang luas, berkeperibadian yang boleh dipercayai dan mempunyai status yang terhormat.

Pathos

Peserta syarahan berkemampuan menyentuh hati khalayak dengan perasaan, emosi, harapan, kebencian dan kasih sayang .

Logos

Peserta syarahan harus mampu meyakinkan khalayak dengan mengemukakan bukti melalui penerobosan minda mereka

Definisi Syarahan

Syarahan ialah pengucapan umum yang memerlukan seorang pengucap menyampaikan idea-idea melalui pemikiran logik, menaakul, menganalisis dan berhujah dengan baik. Kemahiran berucap seperti ini selalunya memerlukan sokongan dan seterusnya bertujuan untuk mempengaruhi pendengar. Penyampaian yang menarik semasa bersyarah memerlukan penguasaan nada suara dan intonasi yang sesuai. Contohnya nada tinggi dan bersemangat untuk menarik perhatian, nada perlahan untuk merayu dan membujuk dan nada tinggi serta lantang untuk membakar emosi.

Penyusunan format syarahan

Sesuatu syarahan yang baik mestilah mengandungi pengenalan (introduction), isi (body) dan penutup (conclusion).

Pengenalan syarahan

Pada awalnya, syarahan harus mempunyai pembuka kata yang mengandungi perkara-perkara yang berkaitan dengan kaedah memberikan hormat dan mengucapkan salam kepada khalayak mengikut protokol dan pangkat mereka. Ucapan yang biasa digunakan seperti “Selamat Pagi”, “Selamat Sejahtera” dan sebagainya. Selepas pembuka kata, peserta akan memperkenal dan mendefinisikan tajuk yang akan diperkatakan secara mendalam.

Isi syarahan

Seterusnya susunan isi kandungan syarahan hendaklah disusun dengan rapi bagi memudahkan khalayak mengikutinya. Setiap isi perlu disertakan contoh, petikan, statistik dan bukti yang berfungsi untuk menyokong dan menguatkan sesuatu syarahan. Sebelum memulakan isi-isi yang baru, peserta-peserta hendaklah melafazkan kata-kata penegasan seperti “Hadirin yang dihormati”, “Hadirin sekalian”, “Hadirin yang dimuliakan” atau yang seumpamanya.

Penutupan syarahan

Penutupan syarahan merupakan bahagian akhir sebuah syarahan. Perlu diingat bahawa penutupan syarahan sama pentingnya dengan bahagian pengenalan syarahan. Jika pengenalan bertujuan menarik perhatian khalayak, penutupan syarahan adalah untuk mewujudkan kesan yang mendalam kepada khalayak.

Langkah yang perlu dititik beratkan semasa mengakhiri syarahan:

1. Membuat rumusan pada keseluruhan isi secara ringkas untuk mengembalikan tumpuan khalayak agar mereka mengingati semula fakta utama yang telah disampaikan.

2. Sediakan pantun atau petikan yang mudah diingati oleh khayalak.

3. Mengakhiri syarahan dengan lafaz ucapan terima kasih.



B. KERTAS KONSEP PERTANDINGAN

1.0 NAMA PERTANDINGAN

1.1 Pertandingan Syarahan dan Ujian Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan ( Cina ) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan 2012

2.0 OBJEKTIF

2.1 Untuk menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) menguasai serta mempertingkat tahap pengunaan bahasa Melayu.

2.2 Menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) bertutur dalam bahasa Melayu

2.3 Merapatkan hubungan antara guru serta murid SJK(Cina) SJK(Tamil) di Malaysia.

2.4 Menanam dan menyuntik semangat perpaduan dan muhibah

2.5 Menanamkan semangat ‘Cintailah Bahasa Melayu’.

2.6 Membiasakan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian mereka.

3.0 KELAYAKAN DAN SYARAT-SYARAT

3.1 Semua murid warganegara Malaysia bukan bangsa Melayu di SJK(Cina)dan SJK(Tamil) dan bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu Tahap 2 layak mengambil bahagian.

3.2 Peserta-peserta yang telah berjaya memenangi Johan dan Naib Johan Peringkat Kebangsaan pada tahun-tahun sebelumnya tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

3.3 Setiap murid hanya boleh meyertai SATU JENIS pertandingan sahaja.

4.0 BILANGAN PESERTA

Setiap negeri layak menghantar DUA (2) orang peserta sahaja untuk menyertai pertandingan ini di Peringkat Kebangsaan.


5.0 TAJUK

5.1 Tajuk pertandingan diperluaskan kepada isu-isu semasa tetapi masih mempunyai nilai-nilai yang berkaitan dengan:
i. Perpaduan dan muhibah
ii. Kesopanan dan kesusilaan
iii. Integrasi kaum
iv. Patriotisme
v. Kebudayaan kaum-kaum di Malaysia
vi. Kupasan syarahan tidak boleh menyentuh isu-isu politik, agama dan hal-hal perkauman yang agresif, negatif dan sensitif

6.0 HAD MASA

Setiap peserta diberi masa LIMA (5) minit sahaja. Sekiranya, peserta mengambil masa melebihi 5 minit, markah akan ditolak.Setiap 30 saat selepas LIMA (5) minit yang diperuntukkan, SATU (1) MARKAH akan DITOLAK daripada markah yang diperolehi. Loceng akan dibunyikan sekali SEMINIT (1) sebelum masa sebenar tamat. Loceng akan dibunyikan DUA (2) kali apabila masa sebenar tamat.

7.0 PERTANDINGAN SARINGAN

Pertandingan saringan akan diadakan pada sebelah pagi untuk memilih 10 orang peserta terbaik. 10 orang peserta terbaik ini akan bertanding di peringkat akhir pada pukul 2.00 petang hari yang sama.

8.0 CARA PENGHAKIMAN

8.1 Setiap peserta akan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
i. Kelancaran dan kefasihan berbahasa - 30 markah
ii. Sebutan dan intonasi - 30 markah
iii. Gaya penyampaian - 20 markah
vi. Isi - 20 markah
Markah penuh - 100 markah

8.2 Bagi peserta yang mendapat jumlah markah yang sama, kedudukannya akan ditentukan berdasarkan markah yang lebih tinggi mengikuti susunan kriteria-kriteria seperti di bawah:

i. Kelancaran dan kefasihan berbahasa
ii. Sebutan dan intonasi
iii. Gaya penyampaian
iv. Isi

9.0 HAKIM

9.1 Para hakim akan dilantik oleh Jawatankuasa Induk Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

9.2 Keputusan para hakim adalah MUKTAMAD

10.0 KUASA DAN TUGAS PENGERUSI PERTANDINGAN

10.1 Setiap sesi pertandingan akan dipengerusikan oleh seorang pengerusi pertandingan yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Pelaksana.

10.2 Kuasa dan tugas pengerusi pertandingan:
i. Mengelolakan pertandingan dari awal hingga akhir.
ii. Menasihati peserta supaya berhenti jika melebihi 7 minit.
iii. Berhak memberhentikan peserta yang menyentuh isu-isu sensitif.

11.0 PAKAIAN PESERTA

Peserta-peserta dikehendaki memakai blazer sekolah yang tidak menunjukkan identiti sekolah atau negeri. Warna blazer hendaklah berwarna gelap. Peserta lelaki juga dikehendaki tali leher dan berseluar panjang yang juga berwarna gelap.

12.0 HAL-HAL LAIN

13.1 Segala peraturan ini tertakluk kepada perubahan oleh
Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

13.2 Jika memerlukan sebarang maklumat lanjut, sila hubungi pegawai-
pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.




PERATURAN
PERTANDINGAN UJIAN BERTULIS


1.0 NAMA PERTANDINGAN

Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil), Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan 2012.

2.0 OBJEKTIF

2.1 Untuk menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) menguasai serta mempertingkatkan tahap pengunaan bahasa Melayu.

2.2 Menggalakkan murid-murd SJK(Cina) dan SJK(Tamil) bertutur dalam bahasa Melayu.

2.3 Merapatkan hubungan antara guru serta murid SJK(Cina) SJK(Tamil) di Malaysia.

2.4 Menanam dan menyuntik semangat perpaduan dan muhibah.

2.5 Menanamkan semangat ‘Cintailah Bahasa Melayu’.

2.6 Membiasakan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian mereka.

2.7 Memahirkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK (Tamil) mengarang esei bahasa Melayu.

3.0 KELAYAKAN DAN SYARAT-SYARAT

3.1 Semua murid warganegara Malaysia bukan bangsa Melayu di SJK (Cina) dan SJK (Tamil) dan bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu layak mengambil bahagian.

3.2 Peserta-peserta yang telah berjaya memenangi Johan dan Naib Johan Peringkat Kebangsaan pada tahun-tahun sebelumnya tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

3.3 Setiap murid hanya boleh meyertai SATU JENIS pertandingan sahaja.

4.0 BILANGAN PESERTA

Setiap negeri layak menghantar LIMA (5) orang peserta sahaja untuk menyertai pertandingan ini di Peringkat Kebangsaan.

5.0 SOALAN-SOALAN

5.1 Soalan-soalan Ujian Bertulis Peringkat Kebangsaan akan disediakan oleh panel yang dilantik oleh Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

5.2 Semua soalan berdasarkan aspek-aspek bahasa dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Perkara-perkara yang akan diuji termasuklah pemahaman, peribahasa, tatabahasa, perkataan berlawanan, perkataan seerti dan perkataan-perkataan lain yang termasuk dalam sukatan pelajaran.

5.3 Jumlah soalan ialah seratus (100) bagi bahagian I dan 20 soalan objektif tambahan
di bahagian II.

5.4 Masa untuk menjawab Bahagian I - 1 jam      (100 soalan)
                                           Bahagian II - 20 minit (20 soalan)

6.0 CARA PENGHAKIMAN

6.1 Jawapan akan disemak oleh satu panel pemeriksa yang dilantik oleh Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

6.2 Markah bagi tiap-tiap soalan ialah satu (1) markah dan markah penuh ialah (100).

6.3 Bagi peserta-peserta yang mendapat markah yang sama, pemenang akan ditentukan berdasarkan markah yang diperolehi pada bahagian II.

6.4 Jika masih mendapat markah yang sama, maka pemenang akan dirujuk kepada markah bahagian petikan.

6.5 Keputusan para hakim adalah MUKTAMAD.

7.0 PENGIRAAN MARKAH

7.1 Hadiah Berpasukan (Johan Kebangsaan)
Bagi menentukan hadiah berpasukan, jumlah markah purata bagi ujaian bertulis ditambah dengan jumlah markah purata syarahan untuk menentukan Johan Kebangsaan. Johan Kebangsaan akan menggondol Piala Perpaduan dan boleh menyimpan piala pusingan itu selam satu tahun. Jika terdapat negeri yang memperolehi jumlah markah yang sama, negeri yang mendapat merkah tertinggi dalam ujian bertulis akan diisytiharkan sebagai Johan Kebangsaan. Sekiranya jumlah markah masih sama, mereka akan diumumkan sebagai Johan Bersama.

7.2 Cara pengiraan markah :
i Syarahan - Jumlah markah syarahan                =                      X
                                   2
ii Ujian bertulis - Jumlah markah ujian bertulis =                      Y
                                                 5

Markah X dan Y akan dicampurkan untuk menentukan Johan Kebangsaan.

7.3 Semua peserta yang mengambil bahagian akan mendapat sijil penghargaan.

8.0 PAKAIAN PESERTA

Semua peserta wajib memakai pakaian seragam sekolah semasa pertandingan.

9.0 HAL-HAL LAIN

Segala peraturan ini tertakluk kepada perubahan oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

10.0 AM

Sebarang pindaan adalah tertakluk kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran Malaysia

Pengikut