Khamis, 17 Mei 2012

NOVEL TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5 MULAI 2011


NOVEL TINGKATAN 5

NOVEL KEMBARA AMIRA
(Amer Hmzah L.Kadir)

SINOPSIS

Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan. Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama pelajar tahun akhir. Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. Amira juga telah berkenalan dengan Malique.

Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut. Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.

Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung.

Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia. Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah. Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua. Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique. Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.

Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia. Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi). Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik Malique.
Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa. Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris. Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

TEMA

Pengembaraan seorang remaja perempuan dalam mematangkan hidupnya. Hal ini digambarkan melaui watak Amira. Amira sebagai watak utama menghabiskan cuti persekolahan dengan menyertai ibunya iaitu Profesor Zaidah dalam ekskavasi menjejak kewujudan tamadun manusia. Dalam pengembaraan tersebut, Amira bertemu dengan Malique dan Itai sehingga merungkai konflik keluarga, sejarah tragis keluarga Tau.

PERSOALAN

1. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Persoalan ini digambarkan melalui sikap Profesor Zaidah yang sanggup meninggalkan kerjanya demi mencari Amira di Gunung Gua Gajah.

2. Persoalan perkahwinan kedua menimbulkan konflik jiwa dalam diri anak-anak. Perkara ini dipaparkan melalui konflik jiwa yang dialami oleh Jacinta kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya yang dikahwini oleh bapanya setelah kematian ibu kandungnya. Konflik ini telah menyebabkan Jacinta selalu mengelak daripada berjumpa dengan keluarganya.

3. Persoalan kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar. Hal ini dapat dibuktikan melalui kerakusan manusia yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan khazanah hutan untuk mencari emas.

4. Persoalan kecintaan terhadap alam sekitar. Persoalan ini digambarkan melalui sikap dingin Tau terhadap kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya kerana risau kawasan tersebut akan musnah.

5. Persoalan konflik keluarga. Persoalan ini dipaparkan melalui konflik yang terjadi dalam keluarga Tau setelah isterinya iaitu Ipah melarikan diri bersama Johnny. Ipah telah meninggalkan anaknya yang baru dilahirkan dan membawa Sabi bersamanya menyebabkan terjadinya perpecahan keluarga.

6. Persoalan ilmu perubatan tradisional. Hal ini digambarkan melalui watak Ludin yang menggunakan cara perubatan tradisional untuk menyembuhkan Prof. Zaidah yang mengalami keretakan tulang tangannya.

7. Persoalan integrasi kaum. Contohnya, dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.


PLOT

Pembinaan Plot

(i) Permulaan

• Amira bersama Jacinta memulakan pengembaraan menaiki keretapi ke Bukit Mat Raya untuk menyertai ekskavasi menjejak kewujudan tamadun awal manusia.

(ii) Perkembangan

• Amira dihanyutkan oleh arus deras semasa menunggu Malique dan telah diselamatkan oleh Itai.
• Malique hilang apabila keretanya tergelincir ke dalam sungai semasa gerakan mencari salah seorang pekerja O’Hara yang hilang.
• Tau bersetuju untuk membantu Profesor Zaidah dalam usahanya menjejak kewujudan tamadun awal manusia.
• Malique merancang sesuatu untuk menggagalkan rancangan O’Hara.


(iii) Klimaks
• Kumpulan yang diketuai oleh Dr. Zawawi menjumpai Gunung Gua Gajah yang mengandungi artifak (kapak dan tulisan zaman purba di dinding) yang sangat berharga untuk memastikan kawasan tersebut tidak akan diterokai oleh manusia yang rakus mengaut keuntungan dari sumber alam kawasan tersebut.
(iv) Peleraian
• Akhirnya rahsia terbongkar bahawa makhluk yang berbulu adalah Tau manakala Malique dan Itai adalah anak-anak Tau.
• Akhirnya kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan peninggalan sejarah yang harus dilindungi.

1. Pemerian
Mereka berada di khemah ketiga selepas khemah Dr. Zawawi dan khemah Prof. Zaidah, khemah-khemah tersusun dalam bentuk separa bulatan, dengan paling hujung adalah khemah dapur.

2. Dialog
“ tentu tiket tu dah sampai, ” Amira bersuara antara dengar dengan tidak
“ Apa? ” Jacinta bagaikan tidak pasti dengan soalan Amira.

3. Imbas kembali
Amira ketawa kerana mengingatkan kembali kenangan semasa berada di Gua Niah ketika mereka turut serta dalam kerja lapangan yang dilakukan oleh ibunya. Ketika itu Dr. Zawawi sedang menyiapkan tesis sarjananya.

4. Kejutan
Pembaca terkejut apabila mendapat tahu bahawa Malique dan Itai merupakan anak kepada Tau.

5. Suspens

• Dia tidak pasti ke mana dan siapa manusia yang sering membawa makanan untuknya. Malique tidak sempat bertanya di mana dia sekarang. Tetapi siapakah manusia itu. Adakah manusia itu mempunyai kaitan dengan hidupnya? Kenapa manusia itu membantunya tetapi tidak berusaha mencari dari mana dia datang.

• Apa benda itu?” Jacinta turut tidak sabar. Hatinya berdebar-debar kencang dan setelah berminggu berada di perbukitan itu, Jacinta amat berharap mereka akan melakukan satu penemuan penting dan dia amat berharap perkara itu berlaku.

• Tiba-tiba Rusdi menjerit memanggil Dr. Zawawi. Dr. Zawawi yang sedang asyik merakamkan dinding gua terkejut dengan panggilan Rusdi lalu menghentikan rakaman dan berlari ke arah Rusdi dan Itai. Dia tahu Rusdi telah menemui sesuatu yang berharga dalam kajian mereka.

• Ingatannya kembali pulih lalu teringatkan emaknya yang berada di Melaka entah kenapa emaknya terlalu beria-ria menyuruhnya mengikut O’Hara ke dalam hutan itu. Apakah ada satu hubungan yang misteri antara emaknya dan O’Hara? Emaknya yang berambut keperangan dan bermata biru bagai ada kaitan dengan O’Hara yang berkulit putih.

WATAK DAN PERWATAKAN


Watak Utama
Amira

• Pelajar sekolah swasta.
• Anak Profesor Zaidah.
• Ayahnya bekerja sebagai jurutera IT.
• Seorang yang berani. Contohnya Amira berani mengikut Itai untuk mendaki Gunung Gua Gajah walaupun berbahaya.
• Seorang yang penyayang. Contohnya Amira amat menyayangi Jacinta dan dia menangis apabila Jacinta tidak sedarkan diri kerana sesat di hutan.
• Seorang yang mudah mesra. Contohnya Amira cepat menyesuaikan diri bersama pelajar-pelajar ibunya.
• Seorang yang penyabar. Contohnya Amira sabar dalam usaha menjalankan kerja lapangan yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

WATAK SAMPINGAN

1. Jacinta

• Berkulit cerah.
• Berbangsa Cina.
• Rakan sebilik Amira di sekolah swasta.
• Anak seorang jutawan.
• Telah kematian ibunya empat tahun lalu.
• Seorang yang memendam rasa. Contohnya Jacinta tidak berpuas hati dengan ayahnya yang berkahwin lain tetapi Jacinta tidak cuba untuk berterus terang.
• Seorang yang sensitif. Contohnya Jacinta cepat merajuk apabila isu keluarganya diungkit.
• Seorang sahabat yang setia. Contohnya Jacinta sentiasa bersama-sama dan menemani Amira dalam apa-apa jua keadaan.

2. Itai

• Berkulit gelap.
• Berbadan tegap.
• Anak orang asli yang bersekolah di bandar.
• Anak kepada Tau.
• Bakal ketua kampung.
• Seorang yang tahu selok belok hutan. Contohnya setelah belajar daripada Tau, akhirnya Itai berjaya mengenal selok belok hutan. Sebagai contoh, dia berjaya menyelamatkan Amira daripada dihanyutkan oleh arus deras.
• Seorang yang prihatin. Contohnya apabila mengetahui Jacinta mahu memiliki batu Kuartza seperti Amira, Itai berusaha memujuk Jacinta dengan mendapatkan emas untuk dijadikan loket.
• Seorang yang berani. Contohnya, Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.
• Seorang yang mempunyai keistimewaan deria keenam. Contohnya Itai dianugerahkan kelebihan deria keenam iaitu dapat mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin.

3. Profesor Zaidah

• Wanita pertengahan usia
• Ibu kepada Amira
• Pensyarah universiti
• Meminati bidang arkeologi
• Seorang yang penyayang contohnya, sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.


• Seorang yang tegas. Contohnya sebagai pengarah projek di Desa Karpus, Prof Zaidah tegas dalam memberi arahan kepada setiap gerak kerja yang akan dilakukan.

• Seorang yang tidak mudah berputus asa. Contohnya, Walaupun Prof Zaidah dihujani dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti keretanya pernah disabotaj sehingga terbabas, namun beliau bertegas untuk meneruskan projek cari gali tersebut.

4. Tau

• Seorang yang tinggi lampai.
• Berbadan tegap.
• Bapa kepada Malique dan Itai.
• Bekas suami kepada Ipah (Jennifer).
• Adik kepada Ludin.
• Seorang yang bersifat prejudis. Contohnya, Tau tidak menyenangi kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya walaupun tanpa mengetahui tujuan mereka.
• Seorang yang sanggup berkorban. Contohnya Tau sanggup menggantikan abangnya Ludin untuk berkahwin dengan Ipah agar abangnya dapat menjadi ketua kampung.
• Seorang yang prihatin. Contohnya, pada setiap malam, Tau sanggup berada di Desa Karpus untuk menjaga keselamatan pelajar-pelajar Prof Zaidah tanpa pengetahuan mereka.

5. Malique (Sabi)

• Berkulit gelap.
• Berambut kasar.
• Anak Tau dengan Ipah.
• Abang kepada Itai.
• Seorang yang mahir dalam bidang IT. Contohnya, O’hara menyuruh Malique menyiapkan laporan menggunakan kemahiran IT yang dimilikinya.


• Seorang yang mencintai alam sekitar. Contohnya, Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.

• Seorang yang bersopan-santun. Contohnya, semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.

GAYA BAHASA

1. Simile
Contoh:
• Nafasnya naik turun kerana bagai mengejar kelajuan Itai melangkah.

2. Personifikasi
Contoh:
• Ketika itu jugalah seorang lelaki menerkam lalu menikam bertalu-talu ke arah dada
• haiwan itu menyebabkan haiwan itu meraung dan dia akan tersedar dari tidurnya.

3. Hiperbola
Contoh:
• “Aku minta maaf kerana apa yang telah berlaku kerana ketika itu aku bukan manusia. Aku masih dipengaruhi oleh roh beruang yang menguasai kulit itu”

4. Sinkope
Contoh:
• “Oi... kau tak teringin benda ni?” Amira bersuara dengan kuat untuk menarik perhatian Jacinta

5. Inversi
Contoh:
• Kita hanya perlu berjalan mungkin satu atau dua jam dan di sana kamu nanti semua boleh lihat sendiri apa yang saya maksudkan.

6. Kata Ganda
Contoh:
• Jidin menyelak daun-daun hijau dan pertama yang dia lihat adalah mata biru Samantha.

7. Peribahasa
Contoh:
• Akhirnya ikan akan pulang ke lubuk jua walaupun kita cuba menghalang takdir.


NILAI


1. Nilai kerjasama
Contoh:
• Pelajar tahun akhir telah bertungkus-lumus dan bekerjasama untuk memastikan projek yang dijalankan berjaya.

2. Nilai kasih sayang
Contoh:
• Kasih-sayang antara Amira dan ibunya. Sebagai ibu, Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak menyedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.

3. Nilai keberanian
Contoh:
• Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.

4. Nilai cinta akan alam sekitar
Contoh:
• Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.

5. Nilai semangat bermasyarakat
Contoh:
• Dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.

6. Nilai kesopanan
Contoh:
• Semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.

7. Nilai ketaatan
Contoh:
• Itai taat dan mematuhi arahan bapanya Ludin supaya tidak membawa orang luar ke kawasan lubuk emas.

8. Nilai amanah
Contoh:
• Ludin sangat amanah dalam menjaga rahsia bahawa Itai adalah anak kepada Tau bertahun-tahun lamanya.


9. Nilai keikhlasan
Contoh:
• Amira ikhlas mengajak rakannya Jacinta untuk menyertai percutiannya di Bukit Mat Raya.

10. Nilai tolong-menolong
Contoh:
• Ludin menolong mengubati tangan Prof. Zaidah yang tercedera akibat kemalangan yang berlaku bersama Pak Lias.

PENGAJARAN

1. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya memberikan kasih-sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Contohnya, kasih-sayang antara Amira dan ibunya. Sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.

2. Kita seharusnya memelihara dan menghargai alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Contohnya, Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.

3. Kita seharusnya bekerjasama dalam pasukan bagi menjayakan sesuatu matlamat. Contohnya, pelajar tahun akhir telah bertungkus-lumus dan bekerjasama untuk memastikan projek yang dijalankan berjaya.

4. Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kita seharusnya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat yang berbilang kaum. Contohnya, dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.

5. Kita seharusnya tolong menolong antara satu sama lain terutamanya semasa dalam kesusahan. Contohnya, Ludin menolong mengubati tangan Prof. Zaidah yang tercedera akibat kemalangan yang berlaku bersama Pak Lias.

SOALAN LATIHAN

1. Jelaskan tiga persoalan yang digarap oleh pengarang dalam novel Kembara Amira.
2. Jelaskan tiga perwatakan Prof. Zaidah.


1. Persoalan yang digarap oleh pengarang dalam novel Kembara Amira ialah persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Persoalan ini digambarkan melalui sikap Profesor Zaidah yang sanggup meninggalkan kerjanya demi mencari Amira di Gunung Gua Gajah. Persoalan kedua ialah persoalan perkahwinan kedua menimbulkan konflik jiwa dalam diri anak-anak. Perkara ini dipaparkan melalui konflik jiwa yang dialami oleh Jacinta kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya yang dikahwini oleh bapanya setelah kematian ibu kandungnya. Konflik ini telah menyebabkan Jacinta selalu mengelak daripada berjumpa dengan keluarganya. Persoalan ketiga pula ialah persoalan kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar. Hal ini dapat dibuktikan melalui kerakusan manusia yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan khazanah hutan untuk mencari emas.


2. Prof. Zaidah ialah watak sampingan novel Kembara Amira. Perwatakan beliau ialah beliau seorang yang penyayang contohnya, sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus. Beliau juga seorang yang tegas. Contohnya sebagai pengarah projek di Desa Karpus, Prof Zaidah tegas dalam memberi arahan kepada setiap gerak kerja yang akan dilakukan. Selai itu beliau juga seorang yang tidak mudah berputus asa. Contohnya, Walaupun Prof Zaidah dihujani dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti keretanya pernah disabotaj sehingga terbabas, namun beliau bertegas untuk meneruskan projek cari gali tersebut.



NOVEL TINGKATAN 4
AZFA HANANI
(HALIS AZHAN MOHD HANAFIAH)

SINOPSIS

Novel ini memaparkan pengorbanan seorang gadis remaja, bernama Azfa Hanani ( Nani ). Azfa Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hanani diminta menyamar sebagai Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz.Hal ini demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.Datin Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu koma .Apabila Datin Maziah sedar daripada komanya dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah di jemput Illahi.
Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil buku rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah.Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya .Pada masa yang sama anak Pak Longnya Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang merasakan dirinya membebani keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran sebagai Tengku Murni.Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos rawatan Zuraini.
Azfa Hanani dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku Murni .Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak dapat mengesyaki apa-apa kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani.Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Taman Sari. Di situ,dia mengenali rakan-rakan Tengku Murni,seperti Tengku Ellina, Suzana,Adriani,Ekran dan lain-lain.Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak menyukai Tengku Murni iaitu Laili,Syafikah dan Fuziana.Di banglo Datin Maziah dan di sekolah barunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih dilalui.
Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni.Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang terhalang antara Tengku Murni dan Ekran.Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni,Tengku Muzaffar mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan.Hal ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar.Pertengkaran mereka telah didengari oleh Datin Maziah,akibatnya penyamaran Azfa Hanani terbongkar.Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani .
Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati.Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar kembali ke banglo mereka.Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun yang lalu.Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu dalam keadaan mabuk.Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung dan Azfa Hanani tercampak keluar.Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah menyusuinya.

Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka.Mereka memujuk agar Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka.Akhirnya Azfa Hanani bersetuju untuk kembali tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya.Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa Ekran sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin sebagaimana yang dikatakan oleh Tengku Muzaffar.

SINOPSIS BAB DEMI BAB
Takut

Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil oleh pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan. Dia takut dibuang sekolah kerana perbuatan mencuri yang dilakukannya. Semua hal ini terjadi disebabkan kemiskinan keluarga Pak Long Madi yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.

Siapa Mereka?

Di dalam bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahunya dia seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak angkat keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia memerlukan keizinan oleh pak long dan mak longnya.

Kerana Terdesak

Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanyanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program pertukaran pelajar ke Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini mampu sembuh, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.

Seawal Kehadiran

Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni . Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini, bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya melibatkan beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemunya. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.

Sebagai Murid Baharu

Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil,Kumpulan Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.
Imbalan Budi

Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan bahawa mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni .Dia membaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.

Kerenah Laili
Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih. Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.


Tertanya-tanya

Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya menjadi kelu ketika berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya akan hal Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia berangganggap bahawa dia tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah.

Ekran

Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya itu cuma ralasan untuk keluar dari rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.

Meluah Rasa

Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.

Bukan Dirancang

Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan agar Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.

Melulu

Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata hina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.

Hadiah Bererti

Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah. Ekran datang lewat lalu menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat menghubungi kawan-kawannya di kampung.

Misteri Yang Tersimpan

Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.

Kunjungan Mengejut

Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.




Hari Sumbangsih

Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet tersebut.


Terusir

Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teori fizik, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar dari banglo itu.


Hakikat

Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar menumpangkan Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.


Segala-galanya Berakhir

Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fuziana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.

Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah dinobatkankan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga yang susah. Ayah dan ibunya merupakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.



PERSOALAN

(a) Ketaatan kepada agama, Azfa Hanani sering berdoa dan membaca al – Quran kepada arwah ibu bapanya .
(b) Ketabahan seorang gadis remaja menghadapi kehidupan yang penuh ranjau. Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada.Dia juga tabah menghadapi liku – liku hidup di rumah banglo milik keluarga baharunya.
(c) Keberanian menghadapi risiko. Azfa Hanani, seorang gadis yang baru berumur 17 tahun tetap berani mengambil risiko menyamar sebagai Tengku Murni untuk membantu sepupunya.
(d) Kegigihan menimba ilmu pengetahuan. Sikap ini ditonjolkan Azfa Hanani, walaupun berasal daripada keluarga miskin dia gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga dan hidupnya.
(e) Sikap mementingkan darjat atau pangkat. Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka memandang hina terhadap Azfa Hanani. Rakan-rakan Azfa Hanani juga memandang rendah kepadanya kerana dia berasal dari kampung dan hidup miskin.
(f) Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, Datin Maziah terlalu menyayangi Tengku Murni / Azfa Hanani.


PLOT

Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
Permulaan
Pada peringkat permulaan cerita, pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa orang yang selalu mencuri buku-buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan ditangkap, Dia kemudiannya dipanggil ke bilik pengetua. Wajahnya dikatakan seiras Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan Kak Syafinaz. Tengku Mazran meminta Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni iaitu adiknya yang terbunuh dalam suatu kemalangan jalan raya. Memikirkan masa depan persekolahannya serta peluang untuk membantu sepupunya, Zuraini mendapatkan rawatan, Azfa Hanani bersetuju menerima tawaran Tengku Mazran.

Perkembangan

Pada peringkat perkembangan, Azfa Hanani dibawa ke Hotel Universe dan diajar cara bertutur, makan, dan bergaul dengan Datin Maziah. Di rumah Datin Maziah, Azfa Hanani berjaya memainkan peranan sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani kemudiannya dihantar ke Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah barunya, Azfa Hanani telah berkenalan dengan Tengku Ellina, sepupu Tengku Murni dan rakan-rakan yang lain seperti Suzana, Adriani dan Ekran. Azfa Hanani turut terlibat dalam pertandingan Forum Remaja sekolahnya.

Konflik
Cerita sampai pada peringkat perumitan apabila Azfa Hanani menerima bungkusan hadiah daripada Ekran ketika majlis sambutan ulang tahun Tengku Murni yang ke-17. Azfa Hanani mencari Ekran untuk mendapatkan penjelasan tentang hubungannya dengan Tengku Murni. Ekran mengaku bahawa hubungannya dengan Tengku Murni memang istimewa tetapi tidak disenangi oleh seseorang iaitu Tengku Muzaffar.




Klimaks
Klimaks cerita ini ialah apabila Azfa Hanani mengetahui bahawa abang Tengku Murni, iaitu Tengku Muzaffarlah yang menjadi penghalang hubungan Ekran dengan Tengku Murni. Pertengkaran antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar didengar oleh Datin Maziah. Rahsia penyamaran Azfa Hanani akhirnya terbongkar. Datin Maziah begitu marah kerana telah ditipu selama ini. Azfa Hanani telah ditamparnya lalu diusirnya keluar dari banglo tersebut.

Peleraian
Pada pengakhiran cerita, Datuk Tengku Makmur memberitahu bahawa dialah yang menyebabkan teksi yang dinaiki oleh ayah dan ibu Azfa Hanani terjunam ke dalam gaung 16 tahun yang lalu menyebabkan mereka terbunuh. Azfa Hanani kembali ke banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah dengan identitinya sendiri setelah dipujuk. Pasukan Forum Remaja. Sekolah Taman Sari yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani terpilih sebagai Pengerusi Forum Remaja Terbaik. Azfa Hanani juga telah mengetahui identiti sebenar Ekran dan berjaya mendapatkan kepastian daripada Ekran tentang hubungan mereka berdua.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama
Azfa Hanani
(a) Gadis cantik dan berwajah lembut serta penyayang.
(b) Remaja berusia 17 belas tahun yang kematian kedua-dua orang tuanya.
(c) Dibesarkan oleh Pak Long Madi dan Mak Long Diah dalam serba kekurangan.
(d) Lemah dalam subjek bahasa Inggeris.
(e) Baik hati dan sanggup berkorban.
(f) Tabah mengharungi dugaan hidup.
(g) Mengenang budi.
(h) Berjaya menerima anugerah Pengerusi Terbaik Forum Remaja peringkat daerah.
(i) Sanggup menyamar sebagai Tengku Murni supaya Datin Maziah pulih daripada masalah tekanan perasaan.
Watak Sampingan
Datin Maziah

(a) Isteri kepada Tengku Datuk Makmur.
(b) Ibu kepada lima orang cahaya mata, iaitu Tengku Murshadad, Tengku Mizran, Tengku Mazran,Tengku Muzaffar, dan Tengku Murni.
(c) Ibu yang penyayang, terutamanya terhadap anak perempuan tunggalnya, Tengku Murni.
(d) Tertekan sebagai akihat kematian anak bongsunya, Tengku Murni.
(e) Sering berasa kesunyian setelah Tengku Datuk Makmur bernikah dengan seorang gadis muda.

Tengku Murni

(a) Anak perempuan tunggal dalam keluarga Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah.
(b) Wajahnya seiras wajah Azfa Hanani.
(c) Anak yang taat kepada orang tuanya.
(d) Dia begitu manja dengan ibunya.
(e) Sikap mesranya menyebabkan dia disenangi oleh rakan-rakannya.
(f) Pernah menjalinkan hubungan dengan Ekran, tetapi ditentang oleh abangnya, Tengku Muzaffar.

Tengku Muzaffar

(a) Anak keempat Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah
(b) Pelajar Universiti Malaya tahun akhir dalam jurusan undang – undang
(c) Seorang yang sombong pada awalnya kerana statusnya
(d) Penyayang kerana mengambil berat akan keselamatan Azfa Hanani


Datuk Tengku Makmur

(a) Seorang hartawan dan berketurunan bangsawan
(b) Mempunyai dua orang isteri iaitu Datin Maziah dan seorang wanita muda
(c) Seorang yang bengis dan sombong kerana bertindak kasar terhadap Azfa Hanani
(d) Seorang yang berpegang pada janji kerana menerima semula Azfa Hanani setelah mengetahui identiti sebenarnya


LATAR

Latar Tempat

(a) Di makmal kimia. Azfa Hanani berasa bimbang setelah mendapat tahu perbuatannya
mencuri buku-buku rujukan dari perpustakan telah diketahui dan dia mungkin akan dihukum atas kesalahannya itu.

(b) Di bilik pengetua, iaitu ketika Azfa Hanani dikunjungi buat pertama kalinya oleh Tengku Mazran, Kak Finaz, dan Kak Rozan.

(c) Di Hotel Universe. Azfa Hanani telah diberi tunjuk ajar oleh Kak Finaz tentang cara Tengku Murni makan, bercakap, dan Iain-lain lagi.

(d) Di banglo milik Datin Maziah dan Tengku Datuk Makmur. Azfa Hanani akhirnya menetap di banglo ini.

(e) Di Sekolah Menengah Taman Sari. Perjumpaan diadakan oleh pelajar-pelajar tingkatan lima bagi berbincang tentang projek Hari Sumbangsih.

Latar Masa

(a) Selama beberapa bulan. Semasa Azfa Hanani menuntut di Sekolah Menengah Sri Dian dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Taman Sari selepas berpindah ke rumah Datin Maziah.

(b) Pada waktu malam. Contohnya, Azfa Hanani dengan bersungguh-sungguh membaca dan mengkaji diari Tengku Murni dalam usahanya mendapatkan jawaban siapakah yang menjadi penghalang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni.

(c) Pada waktu petang. Contohnya. semasa Datin Maziah mengadakan sambutan hari lahir Azfa Hanani/Tengku Murni yang ke-17.

(d) Pada waktu pagi. Contohnya, Azfa Hanani menjalani kehidupannya sebagai pelajar sekolah.


Latar Masyarakat

(a) Masyarakat yang sanggup berkorban demi kebahagiaan keluarga angkat serta kelangsungan masa depannya. Contohnya, Azfa Hanani sanggup memenuhi tawaran Abang Mazran bagi membantu sepupunya, Zuraini yang lumpuh mendapatkan rawatan.

(b) Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Tengku Datuk Makmur yang memandang hina terhadap Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin.

(c) Masyarakat pelajar yang gigih menuntut ilmu. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa Hanani melanjutkan pelajarannya dalam Tingkatan Lima Kenanga.

(d) Masyarakat yang berpegang pada janji. Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.

(e) Masyarakat yang sanggup menyamar untuk menelamatkan seseorang daripada menghadapi tekanan jiwa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menyamar menjadi Tengku Murni supaya Datin Maziah kembali pulih daripada tekanan perasaan sebagai akibat kematian anak perempuan tunggalnya.


TEKNIK PENULISAN

1. Pemerian
Pengarang memerihalkan perasaan Azfa Hanani sewaktu mula-mula tiba di rumah Datin Maziah.Contohnya , Begitu, aku terasa seperti berjalan di awang-awangan semasa mula- mula tiba di situ. Banglo itu terlalu besar,berganda – ganda kalau mahu dibandingkan dengan teratak buruk yang pernah kuhuni.

2. Dialog
Dialog antara Azfa Hanani dengan Ekran.Contohnya, “Saya nak Tanya satu pekara lagi. Abang Mus datang ke mari ni… ada kaitan dengan gerai burger Ran yang terbakar dulu ke ?” “ Saya tak perlu beritahu,sebenarnya. Setakat saya tahu dan Nani juga tahu, cukuplah,” jawab Ekran .

3. Imbas Kembali
Afza Hanani teringat akan pak long, mak long, dan sepupu- sepupunya di kampung.Contohnya “Masakan mama memang sedap,” Aku menokok bersahaja kerana wajah Zahidin melintas di ruang mata.Dia akan kecur liur kalau sesekali mak long menggoreng ayam.dia akan makan nasi dengan sayur sahaja dahulu agar dapat meratah ayam goreng selepas itu.

4. Suspens
Ketika Syafinaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Datin Maziah sudah sedar dan dia mengajak Azfa Hanani turun menemui Datin Maziah. Azfa Hanani berdebar- debar semasa menuruni anak tangga. Pembaca tertanya-tanya tentang apakah reaksi Datin Maziah apabila melihat Azfa Hanani buat kali pertama.


GAYA BAHASA

1. Peribahasa. Contohnya, cempedak menjadi nangka, hidung tinggi, beraja di mata, bersultan di hati, melukut di tepi gantang, rusa masuk kampong, kais pagi makan pagi kais petang makan petang, serkap jarang, panjang tangan dan ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .

2. Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh, problem, special boyfriend, We go straight to the point.

3. Simile. Contohnya, Mereka bagaikan kembar, dia seperti juara semasa perlumbaan motosikal 500 cc dunia, tapak kakiku seperti melekat di lantai simen dan aku umpama peragawati apabila diminta bergaya seperti Murni

4. Sinkope. Contohnya, ku, ni, tu, tak, nak.

5. Metafora. Contohnya pintu ilmu, batas kemelut

6. Penggunaan bahasa Arab . Contohnya Insya – Allah , Alhamdulillah


NILAI

a. Nilai pengorbanan. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berkorban dengan menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai Tengku Murni demi menjaga kebahagiaan semua pihak termasuklah keluarga Pak Longnya dan keluarga Datuk Tengku Makmur.

b. Nilai kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, walaupun Azfa Hanani berasal daripada keluarga miskin, namun dia tidak menjadikan kemiskinan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, dia gigih dan tekun belajar demi masa depannya dan keluarga pak longnya.

c. Nilai kasih sayang. Contohnya, Datin Maziah amat menyayangi Tengku Murni/Azfa Hanani. Dia begitu menyayangi anak gadisnya sehingga tidak membenarkan Azfa Hanani menaiki has ke sekolah kerana bimbang akan keselamatannya.

d. Nilai kerajinan. Contohnya, Ekran menjalankan perniagaan burger pada waktu petang dengan tujuan mencari duit poket bagi perbelanjaan hariannya, selain mempraktikkan segala teori yang telah dipelajarinya di sekolah.

e. Nilai kesyukur. Contohnya, Azfa Hanani bersyukur kerana sepupunya, Zuraini dapat berjalan semula selepas mendapatkan rawatan di Indonesia dengan bantuan keluarga angkatnya.


PENGAJARAN

a. Kita hendaklah berkorban demi kebahagiaan orang lain. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata kerana tidak mahu Datin Maziah terus tertekan sehingga mengganggu kesihatannya.

b. Dalam usaha untuk mencapai kejayaan kita perlu gigih berusaha dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berulang alik sejauh 30 kilometer semata-mata ingin melanjutkan pelajarannya dalam aliran sains.

c. Kita janganlah bersikap sombong atas kekayaan dan pangkat yang ada. Contohnya, Tengku Muzaffar tidak dapat menerima hubungan adiknya, Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga yang miskin. Sebaliknya, Tengku Mazran begitu sederhana sifatnya walaupun berasal daripada keluarga elit.

d. Kita hendaklah bersedia membantu orang yang memerlukan pertolongan. Contohnya, Abang Mazran bersusah payah mendapatkan rawatan bagi Zuraini yang lumpuh, sehingga akhirnya Zuraini dapat berjalan semula.

e. Kita hendaklah sentiasa bersikap sederhana dan merendah diri. Contohnya, Azfa Hanani sentiasa bersederhana dalam segala hal walaupun keluarga angkatnya adalah golongan yang elit dan berada.

f. Kita hendaklah sedar akan asal usul kita. Contohnya, Azfa Hanani tidak pernah melupakan asal usulnya yang datang dari kampung serta berasal daripada sebuah keluarga yang miskin. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Abang Mazran ataupun Datin Maziah.



SOALAN LATIHAN

i) Nyatakan secara kronologi perjalanan hidup Azfa Hanani bermula daripada awalnya sehingga ke peringkat klimaks.
ii) Nyatakan peristiwa menarik yang berlaku di rumah banglo milik Dato Tengku Makmur.


JAWAPAN

(i) Perjalanan hidup Azfa Hanani
a. Azfa Hanani hidup sebagai anak yatim piatu semenjak kecil lagi. Dia dipelihara oleh pak long dan mak longnya dalam keadaan kesempitan hidup. Menerima pendidikan di Sekolah Menengah Sri Dian dalam aliran sains setalah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP.
b. Berkonflik dalam dirinya kerana bimbang rahsia dia mencuri buku-buku rujukan di perpustakaan diketahui oleh pihak sekolah. Dia kemudian dipanggil ke bilik pengetua kerana wajahnya dikatakan seiras Tengku Murni dan diminta oleh Tengku Mazran untuk menyamar sebagi Tengku Murni
c. Tengku Mazran dan Kak Finaz membawanya ke Kuala Lumpur untuk menyamar sebagai Tengku Murni. Mendiami banglo Datin Maziah dan tinggal di bilik Tengku Murni. Beliau turut menghadapi masalah dengan Tengku Muzaffar yang tidak menyukai hubungannya dengan Ekran.
d. Ketika di sekolah Taman Sari,dia terpaksa berhadapan dengan konflik tingkah laku kumpulan budak-budak glamour. Berjaya menjadi pengerusi Forum Remaja dan meraih kemenangan. Mendapat maklumat bahawa penghalang perhubungan Murni dengan Ekran ialah Tengku Muzaffar .Kini Tengku Muzaffar turut menjadi penghalang hubungannya dengan Ekran .
e. Pertelingkahannya dengan Tengku Muzaffar berlaku kerana hubungannya dengan Ekran dihalang. oeh Datin Maziah terdengar perbalahan mereka lalu dia menyedari akan kedudukan Azfa Hanani yang sebenar dalam rumah itu.

ii) Peristiwa menarik yang berlaku di banglo
a. Kisah penyamaran Azfa Hanani sebagai Tengku Murni, Azfa memeluk dan bermesra dengan Maziah seperti kebiasaan yang dilakukan oleh Nini.
b. Azfa menyamar menyambut hari lahir Tengku Murni dalam suasana yang meriah, Ekran turut datang menghulurkan hadiah.
c. Tengku Muzaffar mengajar Azfa Hanani menggunakan komputer seperti yang dijanjikannya.
d. Pak long dan mak long datang berkunjung ke banglo tersebut menyebabkan rahsia tentang Azfa Hanani yang merupakan orang yang dicari oleh Datuk Tengku Makmur selama 16 tahun terbongkar.
e. Azfa Hanani ditampar dan diusir dari banglo oleh Datin Maziah.



Pengikut