Khamis, 17 Mei 2012
KOMSAS TINGKATAN 5
KOMPONEN SASTERA DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA (KOMSAS)
Latar Belakang
KOMSAS atau Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1999. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan teks yang wajib dipelajari dan diuji dalam peperiksaan awam. Pelaksanaan KOMSAS di sekolah dijalankan secara berperingkat mulai Mac, 2000 bagi murid tingkatan satu dan empat, tahun 2001 bagi tingkatan dua dan lima, serta tahun 2002 bagi tingkatan lima. Dengan terlaksananya dasar ini maka semua murid daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima telah mendapat pendedahan asas mengenai sastera Melayu. Mulai 2010, teks KOMSAS yang sedia ada telah ditukar kepada teks yang baharu bermula dengan Tingkatan 1 dan 4, 2011, Tingkatan 2 dan 5, dan 2012, Tingkatan 3. Penukaran teks KOMSAS yang baharu ini menekankan 3 dimensi penting iaitu :
i. dimensi bahan – teks yang dipilih itu berkualiti, terbaik, sesuai dan menepati kurikulum kebangsaan.
ii. dimensi guru – teks boleh dilaksanakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran, menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara.
iii. dimensi murid – teks mudah difahami, dekat dengan kehidupan murid, boleh menarik minat murid, mencetus kreativiti dan teks itu boleh dihayati oleh murid.
Teks yang dipilih bagi kesemua genre merangkumi atau mencakupi pelbagai tema. Antara tema yang dipilih adalah seperti patriotisme/ sejarah, ICT/ sains dan teknologi, jati diri/ kerohanian/ moral, kemanusiaan/ keamanan sejagat, perpaduan/ kemasyarakatan/ kewarganegaraan, setiakawan/ persahabatan/ kekeluargaan, alam sekitar/ pembangunan, sukan/ gaya hidup sihat/ kesihatan, budaya ilmu/ budaya saing, cinta dan kasih sayang, perniagaan dan keusahawanan, dunia remaja, wawasan negara, kebebasan/ hak asasi, kesenian/ adat/ warisan, keselamatan selaras dengan perubahan pendidikan negara.
Pertimbangan juga melibatkan aspek-aspek intrinsik teks misalnya tema dan persoalan, plot, teknik penceritaan, watak dan perwatakan, latar (latar masa, latar tempat dan latar masyarakat), nilai dan pengajaran, gaya bahasa dan sudut pandangan dalam teks serta boleh dianalisis oleh guru dan murid. Pertimbangan turut mengambil kira aras kesukaran untuk setiap teks agar murid yang mempelajari KOMSAS boleh mengikuti pengajaran guru dengan berkesan.
Jenis dan bilangan teks KOMSAS masih dikekalkan selaras dengan kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Enam waktu seminggu telah diperuntukkan kepada murid bagi mengikuti mata pelajaran Bahasa Malaysia dengan nisbah empat waktu untuk Bahasa Malaysia dan dua waktu untuk KOMSAS. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu semakan 2002 yang telah diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia, KOMSAS tergolong dalam bidang estetik. Bidang ini memberikan fokus pada keupayaan murid untuk menguasai aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa. Selain itu, ia juga menekankan kepada penghayatan penghasilan dan persembahan sesebuah teks yang dikaji itu.
Objektif
Hasrat memasukkan komponen sastera (KOMSAS) dalam kurikulum Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan murid:
• Meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca pelbagai genre sastera iaitu novel, cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden (sajak), dan puisi tradisional
• Mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis
• Mengenal dan menggunakan istilah sastera, iaitu tema dan persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, plot, sudut pandangan, nilai dan pengajaran
• Mengenal pengarang berdasarkan karya yang telah diperakui seperti pengarang Sasterawan Negara dan penulis terkenal
• Menghayati nilai murni dan pengajaran daripada karya sastera yang dibaca
• Menghasilkan karya sastera yang kreatif seperti menghasilkan novel, cerpen, sajak dan drama yang bermutu tinggi dan boleh dibanggakan
Oleh itu pendedahan komponen sastera bertujuan membolehkan murid menikmati dan mengapresiasi karya sastera, mengetahui ilmu sastera secara ringkas, mengenal penulis dan sejarah perkembangan tanah air berdasarkan karya yang dibaca serta mengukuhkan kemahiran berbahasa murid. Melalui pembacaan karya-karya ini, secara tidak langsung murid dapat memupuk tabiat minat membaca.
Senarai Judul Teks Baharu
Berikut adalah judul teks yang telah ditetapkan bagi Tingkatan 1 :
BIL NOVEL ZON
1 Hikmah
(Mohd Faris Ikmal) Zon 1
Perlis
Kedah
Pulau Pinang
Perak
2 Sukar Membawa Tuah
(M.Z. Erlysha) Zon 2
Selangor
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan
Putrajaya
Negeri Sembilan
3 Bukan Duniaku
(Aida Shahira) Zon 3
Melaka
Pahang
Terengganu
Kelantan
4 Istana Menanti
(Abd. Latip Talib) Zon 4
Johor
Sabah
Sarawak
Wilayah Persekutuan Labuan